Penggunaan dron amat meluas di Malaysia sejak dua tahun kebelakangan ini. Ia amat kerap dilihat ketika majlis kenduri kahwin, fiesta makanan dan juga ketika Hari Raya. Komuniti pengguna dron juga kami lihat tumbuh seperti cendawan di media sosial. Walaubagaimanapun pemilik dron kini diingatkan bahawa penggunaannya dilarang sama sekali ketika berlakunya perhimpunan besar-besaran.
Amaran ini diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam. Menurut beliau hanya dron milik Polis Diraja Malaysia dibenarkan beroperasi di ruang udara ketika berlakunya perhimpunan. Pihak media juga dilarang menggunakan dron untuk melakukan liputan. Beliau dipetik berkata halangan ini diberikan adalah atas sebab keselamatan. Jadi kepada pemilik dron, simpan pesawat anda di rumah apabila menghadiri perhimpunan massa di masa hadapan.