Dell Memperkenalkan Keluarga Komputer Riba Dengan Cip Intel Core Generasi Ketujuh

Dell Memperkenalkan Keluarga Komputer Riba Dengan Cip Intel Core Generasi Ketujuh

Diterbitkan pada Sep 26, 2016 oleh .

Dengan pengenalan cip pemprosesan terbaru daripada Intel, pelbagai pengeluar komputer turut bersaing dalam memperkenalkan kemaskini kepada keluarga komputer riba mereka. Terkini, pihak Dell Malaysia turut telah mengemaskini penawaran mereka, dan menawarkan sejumlah komputer riba berasaskan cip Intel Core generasi ketujuh.

Beberapa komputer riba diperkenalkan dengan cip Intel Core generasi ketujuh, iaitu Dell Vostro 14 5000, dan Dell Vostro 14 3000. Pihak Dell Malaysia juga turut telah mula menawarkan komputer dua-dalam-satu mereka, Latitude 13-3000 untuk pasaran tempatan. Seperti biasa, semuanya dijana menggunakan sistem operasi Windows 10.

Dell Malaysia

Dell Vostro 14 5000 hadir dengan rekaan yang cantik, dilengkapi skrin bersaiz 14-inci dengan pilihan paparan HD penuh. Menjana komputer riba ini adalah cip pemprosesan Intel Core generasi ketujuh, dan memori 16GB RAM, ruangan storan sehingga 1TB HDD atau 256GB SSD – dan kad grafik GDDR5 4GB. Komputer riba ini turut hadir dengan sokongan pengimbas cap jari, selain sokongan seperti HDMI dan VGA.

Dell Vostro 14 3000 pula memfokuskan kepada pengguna yang inginkan komputer riba berkuasa pada harga sedikit rendah. Ia hadir dengan skrin 14-inci, dijana menggunakan cip Intel Core generasi ketujuh, storan sehingga 1TB HDD, dan pilihan kad grafik tambahan. Beberapa pilihan tambahan turut ditawarkan termasuk antaranya adalah pengimbas cap jari dan juga pilihan kad grafik tambahan.

Dell Latitude 13 3000 2-in-1

Dell Latitude 13 3000 pula merupakan komputer dua-dalam-satu yang membolehkan pengguna menggunakannya sebagai komputer riba, tablet atau untuk menikmati multimedia. Ia hadir dengan cip Intel Core, memori sehingga 16GB DDR4, sokongan Intel HD Graphics 520, ruangan storan sehingga 512GB SSD, dan skrin bersaiz 13.3-inci dengan paparan HD penuh.

Dell Vostro 14 5000 ditawarkan pada harga RM2630 untuk versi Core i5, dan Dell Vostro 14 3000 pula ditawarkan pada harga RM2194 untuk versi Core i3. Dell Latitude 13 3000 2-dalam-1 pula berharga RM3499 untuk model Core i5.

Bersama-sama dengannya, pihak Dell Malaysia turut telah menawarkan Precision Tower 5810,7810 dan 7910 pada harga bermula RM5483.


TIPS & ULASAN