Cari @ Amanz

Syarikat pemetaan HERE Map dibeli oleh konsortium yang dianggotai oleh Audi, BMW dan Daimler-Benz Disember tahun lalu. Ramai yang tertanya-tanya apakah motif pembelian mereka. Mereka baru sahaja mengumumkan HERE Open Location Platform (HOLP) yang menggunakan data dari sensor kenderaan nagi mendapatkan situasi trafik serta keadaan jalan secara automatik. Maklumat ini kemudian dikongsi kepada kenderaan lain yang juga menggunakan HOLP.

here-open-location-platform-1

Sensor brek, lampu hadapan, lampu kecemasan, pengelap cermin, ABS dan ESC dikumpul bagi memberikan maklumat kepada kenderaan lain yang akan menggunakan jalan yang sama. Pemandu tidak perlu melakukan sebarang aksi untuk berkongsi maklumat terkini trafik. Video kamera pada bahagian hadapan pula boleh merakam video kesesakan jalan raya dan kemudian ditonton oleh pengguna lain. Automasi ini mengurangkan gangguan kepada pemandu. Sebagai contoh sekiranya menggunakan aplikasi Waze, maklumat kemalangan, cuaca buruk, kenderaan rosak serta kesesakan jalan raya perlu dilaporkan secara manual. Ini mendatangkan bahaya kepada pemandu yang cuba melakukan dua perkara serentak.

Kereta buatan Audi, BMW dan Daimlez-Benz yang mempunyai sistem peranti berhubung (IoT) akan menyokong HOLP. Walaubagaimanapun mereka membuka platform ini kepada pengeluar lain yang berminat. Maklumat lebih lanjut sistem kereta berhubung HOLP ini akan dikongsikan di Pameran Kereta Paris yang akan berlangsung dari 1 sehingga 16 Oktober hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd