Pada tahun ini, sejumlah pengeluar telah mula menggunakan dua kamera pada bahagian belakang dalam merakamkan gambar yang lebih jelas – ataupun pdengan kesan tambahan khusus. Terkini, Flash turut tidak ingin ketinggalan dan dilihat bakal hadir dengan empat kamera pada peranti terbaru mereka kelak.
Bagi anda yang tidak mengenali akan Flash, ia merupakan jenama telefon pintar baru yang diuruskan oleh TCL. Sebelum ini, mereka telah hadir dengan Flash Plus 2 yang menerima maklumbalas positif – terutamanya pada harga yang ditawarkan oleh mereka.
Daripada dua gambar yang diterima kami untuk peranti yang tidak diketahui lagi nama akhirnya ini, ia dilihat akan menyertakan dua kamera pada bahagian belakang, dan dua lagi pada bahagian hadapan.
Buat masa ini, ia tidak lagi diketahui sepenuhnya bagaimanakah kamera belakang dan hadapan ini akan berfungsi. Tetapi, daripada spekulasi awal, ia diperkatakan kamera hadapan dengan menggunakan dua lensa dapat merakamkan gambar selfie pada rakaman luas, sementara pada bahagian belakang pula ia mungkin membolehkan pengguna menghasilkan rakaman jelas dengan kesan tambahan seperti bokeh dan lain-lain.
Dari segi spesifikasi, ia diperkatakan mungkin hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci pada paparan HD penuh, dan dilengkapi cip pemprosesan MediaTek Helio X20 serta memori 3GB RAM.
Seperti biasa, buat masa ini, pihak Flash tidak mengesahkan spesifikasi dan sebagainya – tetapi ia semestinya sesuatu yang menarik untuk menantikan apakah kejutan yang bakal dibawakan oleh syarikat baru yang semakin meningkat popular dikalangan pengemar peranti berspesifikasi pertengahan ini.