Selamat tinggal Blackberry. Mereka mengumumkan penarikan diri dari arena penghasilan peranti. Sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian kepada pembangunan perisian yang mensasarkan pengguna perniagaan dan bekerjasama dengan pengeluar lain. Satu perkara yang tidak dapat disangkal ialah kualiti papan kekunci QWERTY fizikal mereka yang sehingga ini tidak dapat ditandingi. Kepada yang merinduinya ada berita baik buat anda.
John Chen, CEO Blackberry mengesahkan mereka akan melesenkan penggunaan kekunci mereka kepada pengeluar yang berminat. Mereka walaubagaimanapun akan memilih pengeluar manakah yang layak bagi menjaga imej jenama yang gah hanya sedekad yang lalu. Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa papan kekunci fizikal yang meniru rekaan mereka seperti Typo. Kesemuanya berjaya disaman kerana melanggar hak cipta intelek. Sekiranya anda dibenarkan memilih, pengeluar manakah yang anda mahu melesenkan penggunaan kekunci QWERTY Blackberry?