iPhone 6 Plus Pula Terbakar Di Dalam Poket

iPhone 6 Plus Pula Terbakar Di Dalam Poket

Diterbitkan pada Okt 3, 2016 oleh .

Jenaka Note 7 masih kami lihat di ruangan komen. Sekiranya komen anda tidak diluluskan ini adalah kerana jenaka ini sudah tiba tarikh luputnya dua minggu yang lalu dan tidak seharusnya dikitar semula setiap hari. Hari ini kami ingin melaporkan insiden sebuah iPhone 6 Plus yang terbakar ketika di dalam poket seorang pengguna di New Jersey Amerika Syarikat.

iphone-6-plus-meletupTelefon iPhone Plus milik Darin Hlavaty terbakar di dalam poket jeans ketika beliau di dalam kelas. Beliau menyedari asap mula keluar dari poket seluar dan apabila dikeluarkan peranti mengeluarkan asap. Peranti tidak dapat diselamatkan dan poket jeans kini berlubang.

Adakah ini bermakna iPhone 6 Plus juga bom jangka yang menanti untuk meletup seperti Note 7? Tidak sama sekali. Pertama sekali setiap peranti pintar yang menggunakan bateri LiOn mempunyai risiko untuk terbakar. Di dalam kes Darin Hlavaty, beliau meletakkan peranti di dalam poket belakang dan duduk di atasnya. Ini bukanlah tindakan bijak kerana bateri peranti mudah alih sensitif terhadap tekanan dan haba. Jika ingin duduk, keluarkan peranti dari poket anda.

Peranti pintar sudah wujud hampir sedekad. Nampaknya ramai lagi pengguna yang tidak mengetahui bahaya yang tersembunyi di dalam peranti mereka. Kami secara peribadi mengeluarkan peranti dari poket ketika memandu. Takut jika kemalangan berlaku peranti menerima tekanan dan bateri meletup secara tiba-tiba. Jadilah pengguna yang pintar sekiranya memiliki peranti pintar.


TIPS & ULASAN