Carian
Huawei Dilaporkan Menolak Peluang Menghasilkan Peranti Google Pixel
October 4, 2016 Effi Saharudin

Google Pixel dan Pixel XL akan dilancarkan secara rasmi pagi esok. Tiada lagi misteri mengenai dua peranti Android 7.1 ini kerana ianya sudah tertiris sejak semalam. Hari ini timbul laporan yang mengatakan Huawei sebenarnya pilihan pertama Google untuk menghasilkan peranti Pixel. Walau bagaimanapun mereka menolak tawaran ini selepas apa yang berlaku dengan Google Nexus 6P.

huawei-nexus-6p_02

Menurut laporan Android Police, Huawei kecewa dengan Google kerana tidak memenuhi beberapa janji selepas mereka menghasilkan Nexus 6P. Antaranya ialah ia sepatutnya ditawarkan oleh keempat-empat syarikat telekomunikasi besar di Amerika Syarikat.  Ini tidak berlaku dan sehingga kini tiada pakej khas untuk Nexus 6P ditawarkan.

Pada waktu yang sama Google mahu penjenamaan lebih ketara pada peranti Pixel dan Huawei kurang bersetuju dengan permintaan mereka. Kedua-dua Pixel dan Pixel XL mempunyai logo huruf G untuk Google pada panel belakang. Ini berbeza dengan Nexus 6P yang mempunyai jenama Huawei pada panel belakang. Oleh sebab inilah Pixel dihasilkan oleh HTC.

Sungguhpun begitu hubungan Huawei dan Google masih dilaporkan baik. Mereka dijangka bekerjasama untuk menghasilkan tablet menggunakan sistem operasi baru Andromeda yang menggabungkan Android dan Chrome.

Komen