Cari @ Amanz

Google hari ini telah memperkenalkan sejumlah produk baru dibawah bahagian perkakasan mereka, termasuk telefon pintar Pixel yang ditujukan kepada pengguna umum. Perkara ini, sekaligus membawa kepada persoalan mengenai keluarga peranti Nexus yang popular sebelum ini, dan lebih memfokuskan para pembangun.

Bercakap mengenainya, kini beberapa laporan hadir mengatakan Google mengesahkan yang mana mereka tiada perancangan untuk hadir dengan produk Nexus baru buat masa ini.

LG Nexus 5X

Peranti Nexus telah diperkenalkan sebelum ini dalam usaha membolehkan para pembangun mendapatkan peranti berkenaan, dan mengoptimasikan aplikasi mereka untuk versi terkini Android. Google sering hadir dengan peranti Nexus baru hasil kerjasama bersama pengeluar lain dan menawarkan kemaskini langsung terus untuknya.

Pixel yang diperkenalkan Google hari ini turut membawa konsep sama, dan Google turut akan menawarkan kemaskini langsung untuknya. Google mengatakan Pixel akan menerima kemaskini yang dimuat-turun pada latar, dan akan memberikan notifikasi untuk pengguna hanya memulakan semula peranti.

Jadi, bagi anda yang menantikan peranti Nexus, mungkin boleh beralih fokus anda kepada Pixel baru, dan turut menikmati beberapa ciri-ciri tambahan yang disertakan – termasuk Google Assistant padanya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd