Cari @ Amanz

Kami masih kurang percaya dengan pembelian di atas talian menggunakan kad kredit. Setiap tahun maklumat kad kredit ribuan pengguna berjaya dicuri oleh penggodam dan disalah gunakan. Masalah ini menyebabkan bank kerugian beratus juta setiap tahun. Masalah ini cuba diselesaikan oleh Oberthur Technologies dengan sistem kad kredit Motion Code mereka.

Kad kredit Motion Code mempunyai paparan LCD terbina yang memaparkan kod pin CVV (Card Verification Value) yang berubah-ubah setiap sejam. Dengan sistem ini maklumat nombor kad kredit mungkin boleh dicuri tetapi tanpa kod CVV yang sah transaksi tidak akan dapat dilakukan. Menurut Oberthur, bateri pada kad kredit ini dapat bertahan selama tiga tahun sebelum perlu diganti. Kad juga masih tahan lasak seperti kad kredit biasa.

Bank Société Générale dan Groupe BPCE di Perancis telah mula menggunakan kad kredit ini selepas menjalankan program percubaan tahun lalu. Kami berharap teknologi Motion Code ini akan turut digunakan di Malaysia dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd