Cari @ Amanz

Humble Bundle sering hadir dengan penawaran permainan yang menarik pada harga sangat rendah – yang mana pengguna boleh tentukannya sendiri. Kini, bersempena dengan ulang-tahun ke-10 permainan Company of Heroes, Humble Bundle bersama penerbitnya menawarkan koleksi permainan berkenaan pada harga serendah $1 (~RM4.14).

Humble Bundle Company of Heroes

Company of Heroes adalah permainan komputer strategi masa-nyata (real-time strategy, RTS) yang dibangunkan oleh syarikat Relic Entertainment. Berlatarkan Perang Dunia Kedua, permainan ini memberikan pemain menyelesaikan kempen-kempen dengan mengepalai dua unit ketenteraan Amerika Syarikat semasa Pertempuran Normandy dan pembebasan Perancis oleh Tentera Berikat. (Wikipedia)

Melalui Humble Company of Heroes Bundle ini, pengguna boleh mendapatkan permainan Company of Heroes, Opposing Fronts, Tales of Valor dan juga Company of Heroes 2 pada nilai yang ditentukan anda. Pengguna turut boleh mendapatkan koleksi permainan tambahan dengan membuat bayaran purata, atau mendapatkan keseluruhan siri Humble Company of Heroes Bundle pada harga $10 (~RM41.40).

Permainan ini akan ditawarkan melalui kod Steam, dan pengguna perlu memuat-turunnya, sama ada untuk Windows atau Mac.

Bagi anda yang meminati permainan strategi masa-nyata ini, mungkin boleh mendapatkannya pada harga sangat rendah melalui Humble Bundle untuk tempoh 14 hari akan datang ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd