Cari @ Amanz

Touch N Go dan NFC ialah dua sistem pemindahan data yang dilakukan secara sentuhan. Maklumat dari satu peranti dipindahkan ke sistem pengimbas dengan pantas dengan hanya melakukan sentuhan. Anda masih memerlukan sebuah kad pintar atau peranti mudah alih untuk melakukan pemindahan ini. Di masa hadapan ini tidak akan lagi diperlukan. Sebaliknya pembayaran tiket di stesen kereta api misalnya boleh dilakukan dengan hanya meletakkan telapak tangan pada sensor di pintu masuk.

Prototaip Human Body Communication Device ini diperlihatkan oleh Panasonic di pameran CEATECH yang sedang berlangsung di Jepun.Pengguna hanya perlu memakai jam tangan pintar yang bersentuhan dengan permukaan kulit. Keseluruhan permukaan kulit pemakai kini menjadi sebuah kad Touch N Go dan pemancar NFC. Aplikasi lain sistem ini ialah berkongsi maklumat peribadi dengan rakan perniagaan dengan hanya bersalam dan pintu rumah dinyahkunci dengan memegang tombol tanpa sebarang kunci fizikal.

Ini ialah teknologi yang kami rasakan akan membuatkan jam tangan pintar berbaloi dimiliki. Bayangkan pergi ke tempat kerja dan mampu membayar parkir, melepasi pintu pejabat, log masuk punch card dan membayar makanan di kafeteria dengan hanya sentuhan tangan. Ini cukup futuristik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd