Carian
Samsung Pay Kini Dalam Ujian Beta Di Malaysia – Menyokong Kad Maybank Visa Sahaja Buat Masa Ini
October 11, 2016 Aman

Samsung Pay merupakan perkhidmatan daripada Samsung yang membolehkan pengguna membuat pembayaran pada pelbagai terminal kad kredit dengan hanya menggunakan telefon pintar sahaja. Ini bermakna, anda tidak lagi perlu mengeluarkan dompet anda ketika di kaunter pembayaran, sebaliknya hanya menggunakan telefon pintar untuk membuat pembayaran.

Samsung Pay telah diperkenalkan dibeberapa buah negara sebelum ini, dan kini ia sedang dalam proses ujian beta terbuka di Malaysia. Samsung sendiri hari ini telah mengaktifkan laman khusus Samsung Pay untuk Malaysia dan berkongsi pelbagai maklumat tambahan untuk perkhidmatan mereka di Malaysia.

Samsung Pay

Samsung Pay dilihat hanya menyokong kad Maybank Visa sahaja buat masa ini – termasuk kad debit, kredit dan prabayar. Mungkin kita akan melihat Samsung menambah sokongan bank lain dalam masa terdekat ini.

Untuk menggunakan Samsung Pay, ia akan berfungsi pada Galaxy S6 Edge+, Galaxy S7, Galaxy S7 Edge, Galaxy Note5, Galaxy A7 (2016) dan juga Galaxy A5 (2016). Namun, memandangkan ia masih pada peringkat beta, pihak Samsung tidak berkongsi bagaimana pengguna boleh memuat-turun aplikasi berkenaan. Percubaan kami untuk memuat-turun aplikasi dari Google Play Store dilihat tidak berjaya kerana ia masih tidak diterbitkan untuk pasaran tempatan buat masa ini.

Samsung Pay

Untuk menjana Samsung Pay ini, mereka menyokong pelbagai terminal berasaskan MST (Magnetic Secure Transaction) yang digunakan secara meluas di seluruh negara, selain turut boleh digunakan bersama penggunaan NFC.

Samsung melalui halaman Samsung Pay turut mengatakan buat masa ini ia tidak menyokong pengeluaran wang melalui ATM, dan ia akan hadir pada versi akan datang.

Dengan kehadiran ujian secara lebih terbuka ini, kita mungkin akan dapat melihat Samsung Malaysia melancarkannya secara rasmi dalam masa terdekat ini.

Komen