Dell XPS 13 Bakal Hadir Dalam Rekaan Hibrid Dua-Dalam-Satu

Dell XPS 13 Bakal Hadir Dalam Rekaan Hibrid Dua-Dalam-Satu

Diterbitkan pada Okt 11, 2016 oleh .

Dell XPS 13 merupakan salah satu komputer riba yang sangat cantik dipasaran, apatah lagi dengan penawaran rekaan skrin Infinity Edge yang membawakan bingkai sangat nipis. Perkara ini sekaligus membolehkan komputer riba ini hadir pada saiz yang lebih kompak berbanding pesaing lain.

Kini, bergerak ke hadapan, Dell dikatakan akan mengubah penawaran Dell XPS 13 daripada sebuah komputer riba, kepada sebuah peranti hibrid dua-dalam-satu. Ini adalah kali kedua kami mendengarnya. Sebelum ini, ketika pelancaran produk Dell di Malaysia, pihak Dell Malaysia turut berkongsi perkara sama.

Dell XPS 13

Dengan rekaan dua-dalam-satu, ia membolehkan pengguna menggunakan peranti ini sebagai sebuah komputer, atau sebuah tablet. Perkara ini biasanya dijayakan dengan rekaan boleh-ditanggalkan ataupun dengan melipat skrin 360-darjah. Fungsi seumpamanya sedia diimplementasi oleh beberapa pengeluar, termasuk Microsoft melalui Surface Book.

Namun, akan menjadi cabaran untuk Dell menjadikan penggunaan XPS 13 mereka selesa memandangkan ia menawarkan rekaan skrin dengan bingkai yang sangat nipis – sekaligus membuatkan ia agak sukar untuk dipegang dan digunakan sebagai sebuah tablet.

Apa pun, sama-sama kita nantikan CES 2017 kelak untuk melihat apakah yang bakal dilancarkan oleh Dell.


TIPS & ULASAN