Carian
5 Perkara Mengenai Samsung Galaxy Note 7 Yang Akan Kami Rindui
October 12, 2016 Effi Saharudin

Masalah yang melanda Samsung Galaxy Note 7 akhirnya berakhir dengan Samsung mengambil langkah drastik menghentikan jualan serta penghasilannya. Peranti terus mengalami masalah letupan secara rawak walaupun selepas menjalani proses penarikan semula dan peranti lama digantikan dengan peranti baru. Insiden penarikan ini adalah yang paling besar pernah dilakukan dalam sejarah penghasilan peranti pintar. Ini adalah sedikit menyedihkan kerana kami sempat menggunakannya selama tiga minggu. Dalam tempoh tersebut kami cukup menggemari lima perkara di bawah yang bakal membuatkan kami merindui Note 7.


01 – Rekaan

Kami merasakan Samsung Galaxy Note 7 ialah peranti paling menarik dari segi rekaan yang kami lihat sepanjang 2016. Kali pertama ia dikeluarkan daripada kotak seluruh sidang redaksi Amanz cukup kagum dengan kualiti kemasan yang digunakan. Panel depan dan belakang yang melengkung membuatkannya selesa di dalam genggaman sungguhpun dilengkapi skrin sebesar 5.7″. Sekilas pandang ia tidak kelihatan lebih besar daripada sebuah Galaxy S7 Edge. Sisi logam bertemu dengan panel kaca dengan cukup sempurna. Kualiti binaan ini tidak pernah dilihat pada peranti Samsung sebelum ini. Hanya beberapa tahun yang lalu kualiti kemasan, pilihan bahan binaan dan rekaan industri Samsung dikecam kerana terlalu plastik. Dalam tempoh pendek mereka berjaya menghasilkan peranti dengan rekaan secantik Note 7.

Samsung Galaxy Note 7


02 -Stylus S Pen Terbaik Pernah Dihasilkan

Apabila Samsung Galaxy Note muncul pada tahun 2010 fungsi stylus menjadi fokus setiap promosi pengiklanan. Ramai pada waktu tersebut merasakan penggunaan stylus S Pen adalah ketinggalan zaman kerana skrin sesentuh kapasitif sudah digunakan secara meluas. S Pen asal hanya mampu mengesan 128 tahap tekanan sebelum dipertingkatkan ke 1024 pada Note 2. Pada Note 4 ia meningkat ke 2048 dan akhirnya pada Note 7 ia mencecah 4096 tahap tekanan. Hasilnya ialah lakaran yang lebih tepat seperti menggunakan pen sebenar boleh dilakukan. Mata stylus yang lebih kecil (0.7 mm vs 1.6 mm ) membolehkan pengguna melihat apa yang sedang dilakarkan dengan lebih mudah.

Hasilnya ialah stylus yang terbaik yang pernah dihasilkan untuk peranti pintar. Melakar di atas skrin terasa lebih semula jadi. Tiada lagi sela masa (letancy) seperti pada model-model terdahulu. Penggunaan teknologi Wacom pada Note juga memastikan S Pen tidak perlu dicas. Ini berbeza dengan stylus keluaran pengeluar lain seperti Apple Pen dan Surface Pen.

Samsung Galaxy Note 7


03 – Fungsi Penghasilan GIF Beranimasi Terbina

Fungsi ini mungkin boleh dianggap niche tetapi ianya sekali lagi unik pada Note 7. Sekiranya anda mengikuti akaun Twitter Amanz, anda akan sedari kami banyak menggunakan thumbnail GIF beranimasi. Ini adalah kerana kerap kali dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai artikel yang kami tulis. Pada desktop proses penghasilan GIF beranimasi adalah mudah dilakukan. Pada peranti mudah alih ia lebih kompleks.

Fungsi penghasilan GIF beranimasi menggunakan S Pen pada peranti ini amat mudah digunakan. Kami hanya perlu mencari video yang ingin diubah. Pilihan kawasan video yang ingin diubah menjadi GIF dan tekan butang rekod. GIF yang dikehendaki akan terhasil dengan pantas. Setakat ini kami belum lagi menemui sistem yang lebih mudah digunakan pada peranti pintar lain. Nampaknya kami perlu menanti kemunculan Note 8 untuk menggunakannya sekali lagi.

galaxy-note-7006


04 – Sistem Imbasan Mata

Galaxy Note 7 bukanlah peranti pertama dengan sistem imbasan mata. Microsoft Lumia 950 dan ZTE Blade S6 adalah dua peranti yang pernah kami gunakan turut mempunyai fungsi yang serupa. Apa yang membezakan sistem Note 7 dengan pesaing ialah kepantasan sistem imbasan. Pengesanan dapat dilakukan dengan pantas dan tepat.

Samsung Galaxy Note 7


05 – Kamera

Kamera Galaxy S7 Edge yang kerap dinobatkan sebagai kamera terbaik pada peranti pintar 2016 digunakan semula pada Note 7. Hasilnya ialah Note 7 pada hemat kami ialah phablet dengan kemampuan kamera yang terbaik di dalam kelasnya buat masa ini. Perubahan dilakukan pada aplikasi kamera yang menggunakan antaramuka Grace UX. Rekaan semula ini memudahkan lagi penggunaan. Menukar di antara kamera utama dan selfie dilakukan dengan menatal di atas skrin (seperti pada sebuah peranti HTC). Berita baik bagi pengguna peranti Samsung yang lain ialah antaramuka baru ini akan hadir dengan kemas kini Android Nougat kelak.

galaxy-note-7-sample

Komen