Cari @ Amanz

iphone-7-plus001Di dalam artikel 7 Peranti Alternatif Kepada Note 7 tempohari, saya menobatkan Apple iPhone 7 Plus sebagai peranti alternatif yang terbaik. Keputusan ini diambil kerana pada hemat saya dari segi rekaan, kemampuan memproses, kamera dan kualiti kemasan tiada peranti lain mampu berdiri sama tinggi dengan Galaxy Note 7 kecuali iPhone 7 Plus. Selepas Note 7 terpaksa dipulangkan semula kepada Samsung, saya terus menantikan iPhone 7 dijual dan Jumaat lalu tanpa berfikir panjang membelinya. Berikut ialah pandang pertama saya mengenai phablet keluaran Apple ini.

Spesifikasi

Apple iPhone 7 Plus
Skrin 5.5″ IPS LCD HD penuh (401 PPI)
Pemproses Apple A10 Fusion Empat Teras
Cip Grafik M10
RAM 3 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 32/128/256 Gigabyte
Kamera Utama 2 x 12 Megapixel OIS ( f/1.8 + f/2.8)
Kamera Depan 7 Megapixel f/2.2
Kalis Air IP 67
Bateri 2900 mAh (Tiada Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni SIM Nano
Jalur LTE 1/2/3/4/5/7/8/12/13/17/18/19/

20/25/26/27/28/29/38/39/40/41

NFC Ya
Infra Merah Tiada

Skrin 5.5″ IPS LCD yang digunakan mempunyai resolusi HD penuh sahaja bagi mengekalkan resolusi retina. Secara ikhlas sebenarnya perbezaan di antara QHD dan FHD hanya dapat dilihat apabila anda meletakkan mata seinci dari skrin. Dari pengalaman peribadi tiada manusia yang siuman akan menggunakan peranti pada jarak sebegini. Paparan masih lagi cantik dengan warna yang cukup hidup. Tetapi kerana menggunakan LCD, ia kurang jelas apabila di bawah sinaran mentari yang terang berbanding skrin AMOLED.

Cip pemproses A10 Fusion empat teras memperkasakan iPhone 7 Plus dengan RAM sebesar 3 Gigabyte. Di atas kertas A10 Fusion ialah pemproses paling berkuasa di pasaran sekarang. Ia turut merupakan pemproses mudah alih pertama Apple dengan empat teras. Dua teras untuk tugasan berat manakala dua lagi teras untuk tugasan ringin. Ini membayangi sistem big.LITTLE yang sudah digunakan agak lama pada peranti Android. RAM sebesar 3 Gigabyte mungkin kelihatan kecil bagi peranti utama Android yang kini mula menggunakan 4 Gigabyte secara purata. Tetapi iOS tidak memerlukan saiz RAM gergasi untuk melancarkan penggunaan peranti.

Sistem dwi-kamera digunakan pada iPhone 7 Plus tidak seperti pada iPhone 7. Dua sensor bersaiz 12-Megapixel (28mm f/1.8 + 56 mm f/2.8) digunakan. Salah satu kamera ditugaskan untuk mengambil gambar biasa manakala sebuah lagi dengan sistem telefoto untuk zoom optikal 2X. Kamera selfie pula dilengkapi sensor 7-Megapixel f/2.2. Ini adalah peningkatan berbanding 5-Megapixel pada iPhone 6S sebelum ini. Akhir sekali iPhone 7 Plus dilengkapi bateri 2900 mAh yang masih tidak menyokong sebarang sistem pengecasan pantas.

Kepada yang menharap sokongan kad MikroSD dan pemancar infra merah, penantian anda akan terus berterusan seperti penantian untuk sokongan pengecasan pantas. Tidak seperti pada peranti Android, Apple tidak tergesa-gesa untuk menyertakan fungsi terkini yang diperlukan pengguna. Sebaliknya fungsi baru hanya akan diperkenalkan apabila tiba masa yang sempurna.

 

Rekabentuk

iphone-7-plus-kolajBercakap tentang fungsi-fungsi baru, terdapat pelbagai fungsi baru diperkenalkan pada model tahun ini.

Pertama sekali ialah sistem butang home yang kini lagi bukan lagi dalam bentuk fizikal. Ia hanya butang kapasitif dengan sistem timbal balas 3D Touch terbina. Harus saya akui penggunaan butang kapasitif ini terasa sedikit canggung untuk digunakan. Selepas bertahun menggunakan iPad dengan butang yang boleh ditekan, timbal balas 3D touch sebagai ganti suis yang bergerak akan mengambil masa untuk dibiasakan.

Fungsi timbal balas haptik 3D Touch pada skrin peranti 6S digunakan semula. Skrin mampu mengesan tekanan dan memberikan pilihan fungsi tambahan bergantung kepada aplikasi yang dipilih.

Perubahan drastik tidak berakhir pada butang home. Sebaliknya yang paling hangat diperkatakan ialah ketiadaan bicu audio 3.5mm. Kesemua sambungan aksesori audio dilakukan menerusi port Lightning pada bahagian bawah peranti. Sebagai ganti ketiadaan bicu audio, Apple menggunakan sistem audio stereo buat pertama kali. Terdapat pembesar suara pada bahagian hadapan skrin dan sebuah lagi pada bahagian bawah. Konfigurasi pembesar suara ini agak aneh. Sama seperti yang digunakan pada HTC 10.

Fungsi baru terakhir ialah akhirnya peranti iPhone kalis air dengan ketahanan IP67. Biar lambat asalkan dapat ialah moto yang boleh saya gunakan mengenai fungsi baru ini. Tiada lagi kerisauan peranti akan rosak apabila ia menyelam di dalam air.

Saya belum mengulas mengenai rekaan tubuh peranti. iPhone 7 Plus ialah peranti kedua tercantik yang pernah kami ulas tahun ini dan sedikit sahaja di belakang Note 7 yang telahpun dibatalkan. Badan logam dengan garisan antena baru digunakan. Peranti yang saya ulas berwarna hitam dan jalur antena langsung tidak kelihatan pada model ini. Ini membuatkannya kelihatan seperti batu marmar gelap yang diukir menjadi sebuah peranti. Panel logam pada bahagian belakang mempunyai kemasan matte yang masih memerangkap cap jari dengan mudah. Pada model Jet Black masalah ini jauh lebih teruk.

Kekurangan yang boleh kami katakan ialah terdapat bonjolan kamera yang menyebabkan ia tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Pembelian kerangka adalah perlu bagi memastikan lensa kamera tidak tercalar dan peranti boleh diletakkan rata pada permukaan meja.

Kombinasi tubuh logam sisi bulat membuatkannya kelihatan amat seksi. Pada waktu yang sama ia masih selesa dipegang walaupun mempunyai saiz yang agak besar. Jika anda mahukan peranti dengan rekaan yang cantik tetapi masih selesa dipegang, iPhone 7 Plus saya rasakan adalah pilihan terbaik pada waktu ini.

Antaramuka

iPhone 7 Plus hadir dengan sistem operasi terkini iOS 10. Perubahan dapat dilihat dari skrin kekunci. Sistem “slide to unlock” yang menjadi harta intelek Apple sejak iPhone pertama kini tidak lagi wujud. Sebaliknya pengguna perlu menekan butang home untuk mengaktifkan sistem Touch ID. Sekiranya cap jari gagal diimbas barulah skrin kod laluan masuk muncul. Pada iOS9 pengguna boleh menatal ke kanan untuk mengakses skrin kod laluan ini. Apabila skrin ditatal ke kiri aplikasi kamera akan dilancarkan. Tatalan ke kanan pula memberi akses kepada widget. Kedua-dua fungsi ini baru bagi pengguna iOS tetapi sudah wujud pada Android sejak sekurang-kurangnya 2014.

Perubahan seterusnya dapat dilihat pada Action Center yang kini memaparkan butang AirDrop, AirPlay dan Night Shift dengan lebih ketara. Sistem kawalan muzik kini tidak terpapar pada skrin utama. Sebaliknya untuk mengaksesnya tatalan ke kiri perlu dilakukan.

Talam notifikasi turut diberi nafas baru dan hanya memaparkan notifikasi. Untuk melihat widget, pengguna perlu menatal ke kanan dari skrin utama. Perubahan-perubahan ini dilakukan bagi mempercepatkan proses membaca notifikasi dan melakukan tugasan. Sebagai seorang pengguna Android harus saya akui antaramuka baru iOS10 ini bercelaru dan tidak mesra pengguna. Ini adalah perkara yang aneh untuk ditulis kerana Apple selama ini dikenali sebagai pembangun perisian yang mesra pengguna dan minimalis. Selama ini mereka menggunakan motto “It just works”. Untuk iOS 10 mereka boleh menggunakan motoo baru.

Berikut ialah beberapa fungsi menarik yang disertakan dengan iOS 10.

Raise To Wake – Skrin akan hidup secara automatik apabila peranti diangkat.

Home – Hab untuk mengawal peranti-peranti berhubung yang menyokong sistem Apple HomeKit di rumah.

Membuang Aplikasi Terpasang – Aplikasi terpasang Apple kini boleh dibuang oleh pengguna.

Assisitive Touch – Sekiranya pengguna tidak mahu menggunakan butang home fizikal, mereka boleh menggunakan butang maya yang terapung di atas skrin menggunakan fungsi ini.

Widget – iOS 10 kini menyokong widget untuk memaparkan maklumat tertentu dengan pantas. Ia lebih informatif dan mudah dikustomasi berbanding yang ditemui pada iOS 9 sebelum ini.

Reachability – Fungsi menggunakan peranti dengan sebelah tangan. Kesemua elemen antaramuka akan dipaparkan pada bahagian bawah skrin. Ini diaktifkan dengan melakukan sentuhan dua kali pada butang home.

iphone-7-plus-ui-1 img_0016 iphone-7-plus-ui-3

 

Kesimpulan

iphone-7-plus001Umum diketahui oleh pembaca Amanz saya seorang pengguna tegar Android. Saya memiliki beberapa peranti iOS tetapi tidak digunakan sebagai peranti kegunaan harian. Selepas menggunakan iPhone 7 Plus selama beberapa hari saya mula faham mengapa ada yang sanggup berbelanja lebih untuk memilikinya. Dari segi bahan buatan dan keperincian kemasan, peranti ini dengan selesa berada di tangga teratas. Dengan “kematian” Note 7, saya tiada masalah menobatkan iPhone 7 Plus sebagai peranti paling premium buatannya untuk tahun 2016.

Rekaan sahaja tidak mencukupi tanpa spesifikasi dan sistem operasi yang setanding. Sukacita dimaklumkan dalam kedua-dua kategori ini sekali lagi iPhone 7 Plus tidak mengecewakan. Peranti berfungsi dengan cukup pantas. Maaf pengguna Android, tetapi perbezaan kepantasan iOS 10 berbanding beberapa peranti Android (termasuk Nexus 6P)  yang saya ulas tahun ini adalah ketara. Masa untuk melancarkan dan bertukar aplikasi sedikit lebih pantas. Jurangnya tidak besar tetapi jika anda mahukan yang terpantas, iPhone 7 Plus ialah jawapan tulus dari saya.

Ulasan penuh iPhone 7 Plus akan hadir minggu hadapan. Setakat ini saya menyukai apa yang dilihat dengan beberapa kelemahan yang juga agak nyata. Apakah yang kami sukai dan tidak gemari ini akan ditulis dengan lebih kerap pada ulasan penuh kelak. Nantikan kemunculannya di Amanz kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd