Di dalam dunia fotografi, jenama Leica ialah antara yang paling gah. Kamera mereka terkenal dengan kualti gambar yang baik dan dijual pada harga amat premium. Oleh sebab itulah apabila mereka bekerjasama dengan Huawei untuk menghasilkan P9 ia menerima sambutan yang menggalakkan. Leica masih lagi menghasilkan kamera digital dan Leica M-P (Typ 240) Rolf Sach mungkin antara model yang paling unik dihasilkan.
Kamera ini dilengkapi kemasan getah raket ping pong yang direka oleh artis Rolf Sach. Hanya 79 unit kamera ini akan dihasilkan. Selain kemasa getah ping pong, warna merah digunakan pada tombol dan ukiran nombor pada tubuh kamera. Dari segi spesifikasi ia mengekalkan sensor 24-Megapixel bingkai penuh M-P (Typ 240) biasa dengan lensa Summilux-M 35 mm f/1.4 ASPH. Turut disertakan ialah flash Leica SF 40. Harga jualan ialah $14950 (~RM 63107) sebuah. Sebagai perbandingan harga model Leica M-P (Typ 240) biasa dijual pada harga $7950 (RM 33558) sebuah tanpa flash.