Apakah keperluan asas manusia? Jawapan buka teks UPSR ketika saya menduduki peperiksaan ini pada tahun 1991 ialah makanan, tempat teduh dan pakaian. Pejam celik sudah 27 tahun berlalu dan senarai keperluan asas kini sudah banyak berubah. Memiliki peranti pintar dengan capaian internet saya rasakan boleh dimasukkan sebagai keperluan asas rakyat Malaysia sekiranya mengikut kaji selidik “Tabiat Membeli-belah, Perbankan dan Pembayaran Menggunakan Peranti Mudah Alih” yang dilakukan oleh Nielsen.
Keputusan kaji selidik menunjukkan tiga daripada lima (58%) rakyat Malaysia merasakan mereka tidak boleh hidup tanpa peranti pintar. Separuh mengakui merasa tidak selesa sekiranya tidak mempunyai peranti berhampiran. Pada waktu yang sama satu daripada tiga rakyat Malaysia mengaku pernah membeli secara atas talian menggunakan peranti pintar mereka.
Tabiat pembelian atas talian turut memberikan beberapa maklumat menarik. Sebanyak 64% melakukan carian internet untuk mendapatkan maklumat produk sementara 68% menggunakannya untuk mencari perbezaan harga. Kepercayaan terhadap perbankan atas talian masih rendah dengan 74% masih meragui keselamatannya.
Jadi benarlah kata-kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak bahawa 2017 bakal menjadi tahun ekonomi internet Malaysia. Ekonomi internet alah lombong emas yang harus segera dilombong kekayaannya oleh usahawan dengan idea atas talian yang bernas.