Cari @ Amanz

Honor hari ini telah mengadakan sebuah acara khas di China, dan telah melancarkan telefon pintar berspesifikasi pertengahan terbaru daripada mereka, iaitu Honor 6X.

Menjadi fokus utama pada Honor 6X adalah sokongan dwi-kamera pada bahagian belakang yang disusun atas-dan-bawah, berbeza dengan Honor 8 yang disusun secara bersebelahan. Kami masih kurang pasti berkenaan bagaimanakah dwi-kamera ini akan berfungsi sama ada memfokuskan kepada warna hitam-putih seperti Huawei P9, ataupun untuk merakamkan gambar yang lebih luas.

Honor 6X

Dari segi spesifikasi, ia hadir dnegan skrin 5.5-inci pada resolusi HD penuh, dilengkapi skrin hadapan 2.5D, dijana menggunakan cip Kirin 655 16nm, GPU Mali T830-MP2, memori dalam pilihan 3GB RAM dan 4GB RAM, selain ruangan storan turut dalam pilihan 32GB dan 64GB.

Dwi-kamera pada bahagian belakang dilengkapi dengan sensor 12-megapixel PDAF dan juga sensor 2-megapixel pada bahagian bawah. Pada bahagian hadapan pula adalah sensor 8-megapixel. Sebuah pengimbas cap jari turut disertakan pada bahagian belakang telefon pintar Honor 6X ini.

Honor 6X menjalankan Android 6.0 Marshmallow dengan antaramuka EMUI 4.1. Ia turut dijana bateri 3340mAh yang menyokong pengecasan pantas.

Buat masa ini, peranti dengan sokongan 4G VoLTE ini dijual di pasaran China sahaja pada harga bermula 999 Yuan (~RM621).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd