Huawei Memperkenalkan Cip Pemprosesan Kirin 960 – Dijangka Bakal Digunakan Pada Mate 9

Huawei Memperkenalkan Cip Pemprosesan Kirin 960 – Dijangka Bakal Digunakan Pada Mate 9

Diterbitkan pada Okt 19, 2016 oleh .

Huawei, selain daripada pengeluar peranti mudah-alih dan juga penyedia rangkaian telekomunikasi terkemuka, mereka juga turut memfokuskan kepada pengeluaran cip pemprosesan tersendiri melalui HiSilicon.

Terkini, hari ini mereka telah memperkenalkan cip pemprosesan terbaru mereka, Kirin 960. Ia merupakan cip pemprosesan terkini dan terpantas pernah dihasilkan oleh Huawei setakat ini. Kirin 960 dilengkapi empat-teras Cortex A73 dan empat lagi teras Cortex A53. Perubahan paling menarik ialah penggunaan cip grafik Mali-G71 MP8 yang menurut Huawei adalah 180% lebih berkuasa berbanding Mali-T880 sebelum ini.

Kirin 960

Teknologi 16 nm digunakan dalam penghasilan pemproses yang dipercayai akan digunakan pada Huawei Mate 9 kelak. Selain kemampuan grafik yang lebih tinggi, pihak Huawei mendakwa pelancaran aplikasi adalah jauh lebih pantas pada peranti yang menggunakan Kirin 960 berbanding iPhone 7 dan Galaxy S7.

Kirin 960 turut menyokong Cat 12 LTE dan dilengkapi ISP baru untuk kamera bagi memberikan kemampuan “seperti mata manusia”. Penjimatan penggunaan bateri turut diberikan penekanan. Huawei juga dilihat melengkapkan cip ini dengan sokongan beberapa teknologi terkini, termasuk sokongan realiti-maya dan juga Augmented Reality melaluinya.

Kirin 960

Dengan sistem terbaru, sebuah peranti Kirin 960 boleh bermain aplikasi Pokemon Go selama 1.2 hari berbanding hanya sekitar 12 jam pada peranti lain di pasaran.

Sejauh manakah kemampuan sebenar HiSilicon Kirin 960 ini hanya akan kita ketahui November ini melalui pengenalan Huawei Mate 9 kelak.


TIPS & ULASAN