Cari @ Amanz

Apple dan inovasi memang tidak boleh dipisahkan. Antara inovasi yang dimulakan oleh mereka ialah penggunaan skrin sesentuh kapasitif pada peranti pintar, aplikasi mobil, penggunaan kaca Gorilla dan tablet nipis. Cuma sejak kebelakangan ini kadar penghasilan inovasi sudah semakin perlahan. Inovasi “berani” mereka yang terkini ialah membuang bicu audio 3.5 mm pada iPhone. Mereka kini dilaporkan sedang dalam perbincangan menggunakan papan kekunci e-ink yang boleh berubah mengikut aplikasi yang digunakan.

Papan kekunci rekaan Sonder Keyboard menggunakan teknologi ini. Setiap kekunci dilengkapi skrin e-ink yang berubah mengikut keperluan pengguna. Ia boleh memaparkan sususan DVORAK, QWERTY, Arab dan juga singkatan Photoshop dengan mudah.  Apple dilaporkan dalam perbincangan dengan Sonder untuk menggunakan teknologi ini pada komputer riba mereka di masa hadapan.

Keluarga komputer riba MacBook Pro dan Air dijangka dikemas kini bulan ini dengan panel OLED sesentuh di atas papan kekunci fizikal. Sekiranya kekunci Sonder digunakan, ia pasti kelihatan lebih futuristik dan menjadikannya MacBook lebih unik berbanding komputer riba lain di pasaran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd