Cari @ Amanz

Produk cetak rompak sering dikaitkan dengan negara China. Fikirkan sahaja apa yang anda mahu dan pasti ada kilang di China yang mampu meniru rekaan yang sedia. Kemampuan mencetak mereka amat mengagumkan sehingga telur ayam sekalipun boleh dipalsukan. Majoriti produk palsu adalah dihasilkan oleh syarikat yang berpangkalan di China dan dijual pada harga yang jauh lebih murah. Zetta, sebuah syarikat pengeluar peranti yang berpangkalan di Sepanyol kini dituduh “mencetak rompak” peranti buatan Xiaomi yang kemudiannya dijual pada harga lebih mahal.

zetta-xiaomi-cetak-rompakPengguna Forocoches mengemukakan beberapa bukti yang amat kukuh taktik keji yang digunakan Zetta. Sebagai contoh Xiaomi Redmi Note 2 dijenamakan semula sebagai Zetta Conquistador 5.5 Plus. Logo Xiaomi digantikan dengan logo Zetta yang kelihatan seperti logo Apple yang diubahsuai. Harga jualan Note 2 di Eropah ialah €160 (~RM 733) manakala Conquistador 5.5 Plus dijual pada harga € 235.95 (~RM 1081).

Perisian CyanogenMod yang telah diubahsuai digunakan pada peranti jualan mereka. Paling menarik apabila pelekat pada bateri Zetta ditangalkan, ia jelas menunjukkan ia adalah bateri keluaran Xiaomi. Pihak Xiaomi sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Zetta.

Facua, sebuah persatuan pengguna Sepanyol kini menyarankan pengguna supaya meminta wang mereka dikembalikan kerana mereka telah diperdayakan oleh Zetta. Laman Zetta dan akaun media sosial Zetta kini sudah tidak lagi beroperasi sungguhpun pihak mereka menyangkal segala tuduhan peranti mereka mencetak rompak peranti Xiaomi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd