Kodak sebelum ini telah memperkenalkan telefon pintar mereka pada tahun lepas, dan hari ini mereka memperkenalkan Kodak Ektra – telefon pintar terbaru mereka dengan fokus terhadap fotografi.
Kodak Ektra dibangunkan oleh Bullitt, hadir dengan beberapa fungsi rakaman gambar yang selari dengan jenama Kodak sebelum ini – termasuk untuk Landscape, Sport, Macro dan lain-lain. Kodak turut menyertakan aplikasi yang dicadangkan untuk penyuntingan gambar seperti VSCO, Adobe Lightroom, dan lain-lain.
Menjana kamera belakang peranti ini adlaah sensor 21-megapixel dengan lensa f/2.0. Ia menggunakan sensor Sony IMX230 seperti terdapat pada Xperia Z3+, tetapi membawakan binaan sedikit bonjol pada bahagian belakang – lebih kurang seperti kamera biasa. Kodak Ektra turut menyertakan sebuah butang rakaman fizikal pada peranti ini.
Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan skrin 5-inci dengan paparan 1080p, menggunakan cip MediaTek Helio X20, memori 3GB RAM dan ruangan storan 32GB. Peranti ini hadir dengan bateri berkapasiti 3000mAh yang dilengkapi sokongan pengecasan pantas. Menjana Kodak Ektra adalah Android 6.0 Marshmallow.
Kodak turut menyertakan aplikasi Print mereka bagi memudahkan percetakkan gambar fizikal. Disamping itu, ia turut didatangi dengan Snapseed sebagai penyunting gambar.
Buat masa ini, telefon pintar ini disasarkan untuk pasaran Eropah, dan mungkin diperluaskan ke negara-negara lain sekitar 2017 kelak.