Cari @ Amanz

Adakah anda pengguna Mac atau pengguna PC. Di Amanz majoriti sidang redaksi menggunakan MacBook kerana ketahanan bateri yang lebih berbanding komputer riba Windows. Harga jualan komputer Mac sering menjadi sebab mengapa ramai tidak memilih untuk memilikinya. Pada spesifikasi yang sama, sebuah MacBook secara purata adalah RM 2000 lebih mahal berbanding sebuah komputer riba PC. Menarik sekali menurut IBM, memiliki komputer Mac sebenarnya jauh lebih murah dalam jangka masa panjang.

IBM - Apple

Kenyataan ini diberikan oleh Fletcher Previn, timbalan presiden bahagian Workplace As A Service di IBM. Sejak 2015 IBM membenarkan kakitangan mereka menggunakan Mac di pejabat. Beliau menyedari dalam masa empat tahun, kos memiliki sebuah Mac adalah $543 (~RM 2270) lebih murah berbanding PC dalam tempoh empat tahun. Kos baik pulih adalah lebih rendah kerana ia tidak kerap mengalami masalah. Pada waktu yang sama jumlah panggilan telefon dapat dikurangkan bagi mendapatkan bantuan teknikal apabila pekerja mengalami masalah.

Menarik sekali di dalam sebuah kaji selidik di IBM, 73% kakitangan memilih untuk menggunakan Mac berbanding PC di pejabat. Ini berita yang kami rasakan amat mengejutkan kerana IBM ialah syarikat yang amat sinonim dengan Windows sejak mereka bekerjasama dengan Microsoft lebih tiga dekad yang lalu. Jadi sekiranya anda berbelanja lebih untuk Mac hari ini, ia sebenarnya menjimatkan pengeluaran wang di hari esok.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd