Cari @ Amanz

dsc07894-priime-silverlake

ZTE Axon 7
Chipset Qualcomm Snapdragon 820
CPU 2 x 2.15 GHz Kryo
2 x 1.6 GHz Kryo
GPU Adreno 530
Memori 4GB RAM LPDDR4
Storan 64GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 20MP, f/1.8, PDAF, rakaman 2160p
Kamera Hadapan 8MP, f/2.2, rakaman 1080p
Skrin 5.5-inci AMOLED, 1440×2560, 538 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n/ac, A-GPS, Bluetooth 4.2
Sistem Android 6.0.1 Marshmallow
Bateri 3250 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 175g, 7.9mm

Peranti flagship sememangnya menjadi pilihan sekiranya anda mahukan produk terbaik yang pernah dihasilkan oleh pengeluar (untuk tempoh waktu tertentu). Ia dioptimasikan untuk memberi pengalaman yang paling baik terutama dari segi kepantasan, kamera, binaan, dan juga kemaskini yang diberikan. Namun memiliki sesebuah flagship boleh membawa kepada perbelanjaan yang cukup besar, lebih-lebih lagi memilih flagship-flagship popular seperti Samsung Galaxy S7 edge dan LG G5.

Mujur sejak kebelakangan ini, banyak pengeluar dari negara dengan populasi tertinggi di dunia telah tampil dengan flagship mereka tersendiri sekaligus memberikan tawaran yang lebih berpatutan. Kita lihat pada tahun-tahun sebelum ini, peranti flagship berpatutan ini dipelopori oleh beberapa pengeluar dari sana terutama dari dua syarikat baru seperti OnePlus dan Xiaomi. Sehingga hari ini, mereka masih menawarkan peranti flagship berpatutan melalui OnePlus 3 dan Xiaomi Mi 5 yang mana kedua-duanya ditawarkan pada harga di bawah RM2000. Namun kedua-dua peranti ini dilihat ada beberapa kekurangan yang nyata terutama dari segi kualiti audio yang tidak begitu memuaskan.

Di sinilah ZTE mempersembahkan kepada kita dengan Axon 7 — menawarkan spesifikasi yang cukup hebat bersama keupayaan audio berkualiti tinggi. Bahagian ini semestinya mengingatkan kita kepada HTC yang terkenal dengan penawaran audio berkualiti pada flagship mereka menerusi HTC One (M7) sehinggalah ke One M9 (dan agak sedikit mengecewakan pada HTC 10). Namun pada saat ini, peranti flagship HTC boleh dikatakan kurang berpatutan sekaligus membawa pengguna untuk melihat penawaran yang lebih baik.

ZTE Axon 7 juga dilihat cukup gah di atas spesifikasi — seperti kehadiran skrin 5.5-inci Quad HD berasaskan panel AMOLED, cip Snapdragon 820, dan penggunaan memori 4GB RAM. Ia juga dilihat alternatif terbaik bagi OnePlus 3 apabila dibandingkan dengan spesifikasinya yang berada dalam lingkungan yang hampir serupa. Namun dengan harga yang berpatutan, adakah ia mempunyai beberapa kekurangan yang perlu dihadapi pengguna? Bolehkah ia menawarkan nilai yang lebih hebat berbanding OnePlus 3?

dsc07901-priime-silverlake

Rekabentuk

Rekaan ZTE Axon 7 bagi saya ia tidaklah semenarik peranti OnePlus 3 yang dilihat hadir dengan rekaan yang lebih minimal dan elegan. Perkara ini mungkin disebabkan Axon 7 dibina dengan fungsi yang memfokuskan kepada audio, jadi ia menampilkan rupa fizikal yang terdedah dengan dua bahagian pembesar suara pada bahagian hadapan. Perletakkan butang kapasitifnya juga dilihat agak kecil, sedikit sebanyak mengundang kepada masalah untuk menekan butang berbeza secara tidak sengaja. Alangkah lebih baik sekiranya ZTE menawarkan butang on-screen pada Axon 7 ini untuk penampilan yang lebih jelas dan mudah untuk digunakan.

dsc07910-priime-silverlake-downBinaan pada bahagian hadapan peranti ini menampilkan skrin bersaiz 5.5-inci yang dijana berasaskan kepada panel AMOLED. Paparannya dilihat sangat terang dan jitu atas kehadiran resolusi 1440×2560 atau lebih dikenali sebagai Quad HD (2K). Dengan resolusi seperti ini, ia menampilkan ketumpatan piksel sebesar 538 ppi yang dilihat lebih menawarkan keupayaan sempurna untuk penggunaan Virtual Reality (VR).

Axon 7 sebenarnya adalah sebuah peranti yang memenuhi kriteria untuk teknologi Google DayDream VR seperti kehadiran paparan beresolusi tinggi (QHD/2K) dan cip pemprosesan berkuasa (Snapdragon 820), namun memerlukan sokongan Android terkini iaitu Android 7.0 Nougat dan ke atas. Perkara ini mungkin bakal menjadi realiti apabila pihak ZTE di dalam blog rasmi mereka telah mula menunjukkan sedikit teaser untuk membawakan Nougat pada Axon 7.

Paparan ini juga dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 4 sama seperti yang terdapat pada peranti OnePlus 3. Menariknya, sekiranya paparan skrin Axon 7 ini retak, pengguna boleh mendapatkan khidmat penukaran skrin secara percuma (untuk sekali penukaran) melalui perlindungan waranti ZTE selama 6 bulan selepas proses pembelian. Tidak banyak pengeluar yang memberikan khidmat perlindungan fizikal terutama dari segi penjagaan skrin, jadi ini amat memberikan nilai tambahan bagi yang ingin memiliki peranti Axon 7.

Binaan pada bahagian belakangnya pula menawarkan rekaan yang sedikit membulat dalam memberikan keselesaan apabila dipegang. Namun ia boleh dikatakan agak licin apabila anda tidak memakai sebarang aksesori perlindungan pada peranti ini. Mujur pihak ZTE ada memberikan silicon case sebagai perlindungan asas yang telah tersedia bersama-sama dengan pakej pembelian peranti.

Di bahagian belakang ini juga menempatkan kamera 20MP yang dilihat menawarkan rekaan yang sedikit terkeluar seperti kebanyakan peranti flagship pada tahun ini. Di bawahnya menempatkan dual-tone LED flash dan pengimbas cap jari yang turut berdekatan pada bahagian ini. Seperti kebanyakan peranti yang lain juga, ia tidak boleh dibuka untuk proses penukaran bateri.

Kedudukan butang pelarasan suara dan butang kuasa pada peranti ini dilihat sangat selesa atas kedudukan pada bahagian sisi kanan peranti. Untuk slot SIM pula, ia berada pada bahagian sisi kiri yang menawarkan slot hibrid bersama slot untuk meletakkan kad microSD. Pada bahagian atas, ia membawakan satu lubang mikrofon bersama-sama dengan lubang earphone jack 3.5mm. Akhir sekali, di bahagian bawah peranti ini turut membawakan satu lagi lubang mikrofon bersama-sama dengan port USB Type-C untuk pengecasan dan sambungan data.

ZTE Axon 7 didatangkan dengan muatan storan sebanyak 64GB yang boleh ditingkatkan melalui storan luaran microSD sehingga 128GB. Namun ia dikongsi pada ruang sim kedua sekaligus tidak dapat memanfaatkan kedua-dua kad sim dan kad microSD untuk digunakan secara serentak. Namun dengan kehadiran sokongan storan luaran ini memberikan nilai tambah pada Axon 7 atas ketiadaan sokongan yang serupa pada peranti OnePlus 3.

Pengimbas Cap Jari

Pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti Axon 7 ini memberikan kepantasan yang baik namun tidak sepantas seperti OnePlus 3. Begitu juga dengan kadar kecekapannya, saya boleh kata sekitar 70% untuk mampu menyahkunci peranti dengan sempurna. OnePlus 3 dilihat mampu mencapai kecekapan sekitar 90% melalui ujian menyahkunci peranti.

dsc07910-priime-silverlake

Dari segi fungsi, ia membawakan beberapa sokongan seperti akses pantas ke beberapa aplikasi pilihan yang boleh ditetapkan untuk jari berbeza. Ia juga membolehkan anda mengambil gambar selfie dan menjawab panggilan dengan hanya meletakkan jari anda pada pengimbas cap jari ini untuk seketika. Seperti peranti OnePlus 3 dan Nexus 6P, ia membenarkan anda untuk terus mengimbas cap jari dan seterusnya menyahkunci peranti tanpa perlu menghidupkan skrin terlebih dahulu.

Namun ia tidak menampilkan beberapa fungsi menarik seperti app dan file locker yang membenarkan akses kepada fail dan aplikasi selepas imbasan jari, seperti yang terdapat pada peranti Huawei P9. Ia juga tidak menawarkan fungsi gesture yang menyeluruh seperti kehadiran fungsi gesture untuk menggerakkan gambar pada Gallery dan menurunkan notification drawer melalui gerakan jari.

Sistem

Axon 7 membawakan antaramuka tersendiri iaitu MiFavor UI 4.0 yang berasaskan kepada sistem operasi Android 6.0.1 Marshmallow. Ia membawakan paparan launcher tanpa sebarang kehadiran app drawer seperti yang terdapat pada MIUI daripada Xiaomi dan Emotion UI daripada Huawei. Antaramukanya boleh dikatakan agak kurang menarik dari segi ikonografinya atas rekaan ikon yang sedikit bercelaru. Ada sesetengah aplikasi menyokong rekaan ikonografi penuh dan selebihnya, hanya diletakkan dengan bentuk ikon yang sedikit membulat. Namun yang baiknya, ia masih menawarkan penampilan yang minima pada notification drawer dan paparan pada halaman settings.

axon-7-ui-1

ZTE turut memberikan 5 tema utama yang boleh digunakan tanpa sebarang pilihan tema berasaskan stock Android seperti yang terdapat pada Axon 7 versi US. Perkara ini mungkin berikutan dengan pilihan orang Asia yang dilihat lebih memihak kepada penampilan yang ceria pada antaramuka peranti. Tetapi bagi anda penggemar peranti dan teknologi, pastinya anda akan memihak kepada antaramuka stock seperti yang terdapat pada peranti Nexus, Pixel mahupun peranti daripada OnePlus. Satu perkara lagi, ZTE juga tidak menampilkan sebarang aplikasi untuk memuat-turun tema luaran, jadi pengguna hanya terhad untuk menggunakan 5 tema ini sahaja pada saat ini.

Beberapa fungsi tambahan turut dibawa pada Axon 7 seperti Mi-POP dengan menampilkan butang terapung pada skrin untuk memudahkan navigasi melalui sebelah tangan. Ia membolehkan anda menetapkan butang ini untuk bertindak sebagai butang back, home, menu, dan multitasking selain memudahkan anda untuk mengambil screenshot. ZTE turut menawarkan Axon 7 dengan fungsi gesture namun sokongannya sangat terhad seperti kebolehan untuk double tap to wake dan mengambil screenshot dengan penggunaan tiga jari.

Fungsi motion dilihat lebih menawarkaan keupayaan yang menarik seperti kebolehan menjawab panggilan dengan hanya meletakkan telefon berdekatan dengan telinga tanpa perlu menekan sebarang butang pada skrin. Ia juga membolehkan alarm dan sebarang panggilan masuk dimatikan dengan hanya meletakkan peranti dengan menghalakan paparan bahagian hadapan peranti ke bawah. Apa yang menarik sekali, ia juga memudahkan anda mengaktifkan fungsi lampu suluh pada keadaan gelap dengan hanya menggongcangkan peranti dari kiri dan ke kanan. Beberapa fungsi lain turut hadir pada Axon 7 ini seperti Glove Mode dan kebolehan untuk menetapkan peranti dihidup dan dimatikan secara berkala melalui fungsi Schedule Power On/Off.

axon-7-ui-2

Namun perkara yang kurang menyenangkan pada antaramuka ini adalah pengurusan notifikasi pada lock screen. Setiap notifikasi yang hadir pada lock screen ini tidak dipaparkan secara secara terus — ia memerlukan anda menekan ikon loceng terlebih dahulu untuk melihat kesemua notifikasi ini. ZTE mungkin melihat idea ini untuk mengekalkan paparan lock screen untuk berada dalam keadaaan yang sentiasa kemas, tetapi ini bukanlah idea yang bernas untuk digunakan. Sehingga hari ini, saya masih mengharapkan ZTE memberikan kemaskini untuk memilih tetapan penampilan notifikasi pada lock screen ini atau menggantikannya terus kepada paparan lock screen seperti biasa.

Bercakap mengenai aplikasi stock dan bloatware, ZTE mendatangkan aplikasi stock mereka yang terdiri daripada Gallery, Browser, dan Email yang dilihat agak membebankan kepada peranti. Ia membebankan kerana ZTE turut memasang aplikasi Google secara terbina seperti aplikasi Photos, Google Chrome, dan Gmail yang dilihat sebagai alternatif yang lebih baik daripada penawaran beberapa aplikasi stock ZTE. Namun bloatware yang didatangkan begitu minima dengan hanya penawaran aplikasi seperti AccuWeather, WPS Office, dan WeShare sahaja yang terpasang pada peranti ini.

Prestasi

Sebagai sebuah peranti flagship, Axon 7 sememangnya menawarkan prestasi yang sangat cemerlang atas penggunaan cip Snapdragon 820 — iaitu cip yang sama digunakan pada OnePlus 3, LG G5, dan HTC 10. Ia menawarkan cip pemprosesan empat-teras yang terdiri daripada dua kluster penggunaan iaitu untuk penggunaan berat dan penggunaan kasual. Kluster untuk penggunaan berat terdiri daripada CPU dwi-teras Kyro 2.15 GHz manakala CPU dwi-teras Kyro 1.6 GHz bertindak untuk penggunaan kasual.

zte-axon-7-benchmarkUntuk ujian prestasi, bacaaan daripada AnTuTu Benchmark mencatatkan skor sebanyak 139,659 — sekaligus meletakkannya antara barisan peranti terpantas. Ia menewaskan Galaxy S7 edge (Snapdragon 820/US) yang mencatatkan bacaan sekitar 134,599 namun sedikit tewas dengan OnePlus 3 melalui bacaan skor sekitar 140,288. Perbezaan RAM iaitu 4GB RAM (ZTE Axon 7) dan 6GB RAM (OnePlus 3) nampaknya tidak memberikan jurang markah yang begitu besar apabila melibatkan ujian benchmark pada peranti.

Apabila tiba untuk penggunaan di dunia sebenar, kebanyakan peranti Snapdragon 820 menawarkan prestasi yang cukup pantas dengan bukaan aplikasi yang hanya mengambil dalam masa singkat. Ia tidak memberikan sebarang isu lagging mahupun hiccup apabila meneroka keseluruh bahagian antaramuka apatah lagi untuk digunakan secara harian.

Membuat penukaran dari aplikasi ke aplikasi lain juga tidak memberi sebarang masalah atas penggunaan memori setinggi 4GB RAM pada Axon 7 ini. Ia mampu menahan sekitar 20-30 aplikasi atau tab pada Chrome di belakang tabir tanpa perlu membuat reload semula apabila ia dibuka. Namun dengan kehadiran 6GB RAM pada OnePlus 3, ia membenarkan lagi lebih banyak aplikasi berjalan di belakang tabir berbanding peranti 4GB RAM seperti Axon 7 ini.

Prestasi permainan bergrafik tingi pada Axon 7 tampil dengan prestasi yang cukup lancar atas penggunaan GPU Adreno 530. Memainkan permainan seperti Modern Combat 5, Asphalt 8, dan Dead Trigger 2 tidak memberikan pengurangan frame rate dengan bacaan FPS yang sangat konsisten. Memainkan permainan konsol melalui emulator seperti FPse (PlayStation 1), uoYabause (Sega Saturn), dan PPSSPP (PSP) juga tidak memberi sebarang masalah atas keupayaan prestasi dan paparan permainan yang sangat cemerlang.

Kamera

ZTE Axon 7 membawakan kamera 20MP f/1.8 pada bahagian belakang yang dijana dengan sensor ISOCELL daripada Samsung. Ia dilindungi dengan kaca sapphire bersama kehadiran Optical Image Stabilization (OIS) dalam membantu untuk mengurangkan gegaran pada gambar dan video. Ia juga menampilkan Phase Detection Auto Focus (PDAF) untuk pemfokusan pantas bersama dual-tone LED flash untuk perwarnaan yang lebih neutral.

Prestasi yang tampil pada kamera Axon 7 ini dilihat membawakan hasil gambar yang sangat baik terutama pada waktu siang dan situasi mesra cahaya. Mengambil gambar di sekitar Berlin pada acara IFA 2016 memberikan imej keseluruhan yang agak tajam dengan perwarnaan yang hampir neutral. Ia masih tidak sebaik OnePlus 3 yang bagi saya perwarnaannya dilihat lebih menyerlah dengan ketajaman imej yang lebih jitu. Namun saya cukup menyukai kawalan dynamic range kamera peranti ini yang mampu mengawal highlights pada gambar dengan pencahayaan yang hampir sekata.

Kamera peranti ini walau bagaimanapun tidak memberi prestasi yang begitu baik apabila tiba pada waktu malam. Ia sering memberikan masalah gambar yang soft walaupun dibekalkan dengan aperture sebesar f/1.8. Namun hasilan noise pada kamera Axon 7 ini dilihat agak baik atas pengurangan noise pada gambar. Sekiranya anda inginkan penggambaran yang baik untuk malam, penggunaan LED flash sangat disyorkan untuk dalam memberikan perwarnaan dan kejituan imej yang lebih sempurna.

[amanz-gallery]

Prestasi kamera hadapannya juga beraksi hampir menyerupai kamera di belakang atas hasilan imej yang baik untuk penggambaran pada waktu siang. Mengambil selfie pada waktu siang dilihat tajam namun perwarnaannya pudar apabila tiba pada keadaan kurang bercahaya. Walau bagaimanapun, kamera hadapan ini turut dibekalkan dengan fungsi Beautify dengan lima aras kecantikan untuk ditetapkan pada selfie anda.

ZTE turut membekalkan beberapa fungsi menarik pada Axon 7 seperti fungsi Super Night dan Magic Exposure untuk mencantikkan lagi penggambaran pada waktu malam. Ia juga menampilkan Slow Motion, Panorama, Multi Exposure, dan Timelapse dalam membantu penggambaran anda menjadi lebih kreatif.

axon-7-camera-ui

Sekiranya anda menyukai penggambaran manual, Axon 7 mempunyai tetapan shutter speed sehingga 23 saat dan ISO sehingga 1600. Ia turut didatangkan dengan fungsi Live Photos iaitu imej bergerak pada sebelum dan selepas gambar diambil, seumpama yang terdapat pada iPhone (dan Living Images pada peranti Lumia). Menariknya, ia disimpan dalam format .mp4 bagi memudahkan perkongsian Live Photos ini ke beberapa perkhidmatan utama seperti Google Photos dan Instagram.

axon-7-camera-ui-2

Saya juga menyukai dengan fungsi rakaman video pada peranti ini yang mana sangat lancar dengan pengurangan gegaran yang sangat baik. Merakam video sambil berjalan mahupun berada di dalam kenderaan memberikan hasil rakaman video yang stabil atas kemampuan sistem penstabilan OIS dan EIS yang terbina pada kamera peranti ini. Ia juga mampu merakam video 4K@30fps dengan dua pilihan codec berbeza yang boleh dipilih iaitu H.264 & H.265 bersama rakaman video 60fps pada resolusi 1080p.

Bateri

screenshot_2016-10-24-19-08-22Jangka hayat bateri Axon 7 saya boleh kata katakan agak baik dengan bacaan Screen on Time (SoT) melebihi 4 jam. Peranti berkapasiti 3250 mAh ini mampu bertahan sekitar 6 jam 13 minit dengan penggunaan sepanjang hari. Sebagai perbandingan, OnePlus 3 menawarkan bacaan SoT yang lebih singkat dengan bacaan sekitar 4 jam 37 minit untuk tetapan stock tanpa pengubahsuaian dari segi kernel dan ROM peranti. *Pengubahsuaian kernel seperti penggunaan kernel ElementalX mampu mencapai sehingga 10 jam SoT pada OnePlus 3.

Namun apabila bercakap mengenai sistem pengecasan Axon 7, ia mempunyai pro dan kontra apabila dibandingkan dengan OnePlus 3. Axon 7 dibekalkan dengan fungsi pengecasan pantas Quick Charge 3.0, jadi anda boleh menggunakan aksesori pihak ketiga yang menyokong teknologi pengecasan daripada Qualcomm ini. Namun masa pengecasannya sedikit tewas berbanding Dash Charge daripada OnePlus 3 — yang mampu mengecas peranti sekitar 60% dalam masa hanya 30 minit — berbanding Quick Charge 3.0 yang mampu mengecas sekitar 50% dalam masa 30 minit.

Tetapi dengan penggunaan sistem pengecasan hasilan persendirian (proprietary) seperti Dash Charge, ia menyukarkan anda untuk mencari pengganti aksesori pengecas ini atas ketiadaan sokongan standard seperti Quick Charge 3.0. Mengecas OnePlus 3 menggunakan aksesori pengecas lain menyebabkan peranti tidak dapat mengenal pasti status “Dash Charging” — sekaligus memakan masa melebihi 1 jam untuk mengecas penuh peranti.

Sebagai peranti yang menyokong fungsi pengecasan terpantas daripada Qualcomm, ZTE turut membekalkan pengecas Quick Charge 3.0 di dalam kotak pembelian peranti ini. Perkara ini mungkin menyebabkan saya dilabel sebagai #KaptenKetara, tetapi perlu diingatkan tidak semua pengeluar membekalkan pengecas yang menyokong standard pengecasan pantas yang sama pada peranti. Ia terjadi pada sebuah flagship pada tahun ini — ia mempunyai sokongan Quick Charge 3.0 namun pengecas yang hadir di dalam kotak pembelian peranti hanya menyokong Quick Charge 2.0.

Audio

Perkara yang menjadi fokus kepada peranti ini semestinya dari segi sokongan audio yang menampilkan audio berteknologi tinggi Dolby Atmos. Ia menawarkan kesan bunyi surround 7.1 dalam memberikan pengalaman audio yang imersif melalui hasilan bunyi dari channel berbeza. Mendengar dan memainkan video melalui pembesar suara peranti ini mampu menawarkan audio cukup mengagumkan seolah-olah ia berada berdekatan dengan diri saya. Ia seperti berada di dalam sebuah panggung wayang yang menampilkan bunyi dari arah yang berbeza.

ZTE turut memberi kemampuan Axon 7 dengan kebolehan memainkan “Hi-FI audio” 32-bit 192 kHz melalui penggunaan cip AK4961 DAC yang dilihat “jauh ke hadapan” untuk pendengaran audio loseless. Implementasinya dilihat tidak begitu mensasarkan pengguna biasa atas lambakan audio pada hari ini adalah pada quantization accuracy 16-bit (audio berkualiti CD) dan 24-bit. Saiz untuk audio 32-bit terutama pada kadar 192 kHz memerlukan jumlah storan yang tinggi — mampu mengambil sekitar 92MB untuk audio berdurasi satu minit. Tetapi kehadiran sokongan audio 32-bit ini menunjukkan ZTE juga amat komited (selain LG pada LG V10/V20) dalam mengetengahkan pengalaman audio berkualiti 32-bit dan pastinya, ada golongan yang memerlukan sokongan audio seperti ini terutama dalam bentuk telefon pintar.

Rumusan

ZTE Axon 7 mampu menawarkan sebuah peranti berspesifikasi tinggi yang sangat baik terutama dinilai dari sudut prestasi, paparan, dan audio. Gandingan cip Snapdragon 820 bersama memori 4GB RAM sangat membantu dalam memainkan permainan bergrafik tinggi selain melancarkan pembukaan aplikasi. Paparannya juga sangat tajam dengan penggunaan skrin berteknologi AMOLED bersama-sama dengan resolusi QHD untuk memberi pengalaman VR yang lebih sempurna. Begitu juga dengan keupayaan audionya, ia menawarkan kebolehan memainkan audio setinggi 32-bit disamping memberikan pengalaman audio yang imersif melalui sokongan Dolby Atmos.

dsc07874-priime-silverlake

Keupayaan bateri peranti ini juga memberikan ketahanan yang amat baik dengan bacaan SoT sekitar 6 jam 13 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Ia juga hadir dengan fungsi pengecasan terpantas daripada Qualcomm iaitu Quick Charge 3.0 yang mampu mengecas peranti sekitar 50% dalam masa 30 minit.

Kameranya juga dilihat menawarkan hasil gambar yang baik apabila digunakan pada waktu siang atau situasi mesra cahaya. Namun apabila tiba pada waktu malam, ia memberikan hasil imej yang begitu soft walaupun dibekalkan dengan aperture f/1.8. Dari segi perisian MiFavor UI 4.0 juga dilihat mempunyai beberapa kekangan terutama dari segi rekaan ikonografi dan pengurusan notifikasi pada lock screen yang kurang memuaskan. Ia juga tidak menampilkan fungsi IR Blaster seperti Honor 8 dalam memudahkan pengguna mengawal perkakasan elektrik terus melalui telefon pintar.

dsc08713-priime-cobalt-down

Pro
  • Kualiti audio yang cukup lantang dengan penataan Dolby Atmos
  • Skrin AMOLED QHD sangat tajam dengan perwarnaan yang terang dan jitu
  • OIS banyak membantu dalam mengurangkan gegaran pada gambar dan video
  • Prestasi harian dan permainan menawarkan prestasi yang sangat pantas
  • Mampu mengecas sehingga 50% dalam masa 30 minit melalui Quick Charge 3.0
  • Ketahanan bateri yang baik dengan SoT sekitar 6 jam 13 minit untuk masa penggunaan sekitar 18 jam
  • Harga yang berpatutan bagi sebuah peranti berspesifikasi tinggi
  • Hadir dengan jaminan waranti selama 2 tahun
Kontra
  • MiFavor UI 4.0 perlu diperbaiki terutama dari segi antaramuka dan pengurusan notifikasi pada lockscreen
  • Kamera pada penggambaran malam tidak tajam dan sering memberi masalah gambar soft yang ketara
  • Rekaan yang kurang menarik apabila dibandingkan dengan OnePlus 3
  • Tiada fungsi IR Blaster

Secara keseluruhannya, Axon 7 memberikan lebih banyak nilai positif walaupun ditawarkan di bawah RM2000. Ia sebuah flagship yang setanding dengan sejumlah flagship utama yang lain dengan kehadiran spesifikasi yang tinggi bersama penawaran audio yang cukup mengagumkan. Ia ditawarkan pada harga RM1999 sekaligus menjadi pesaing utama kepada OnePlus 3 yang ditawarkan pada harga RM1888.

Axon 7 atau OnePlus 3?

Satu persoalan yang sering ditanya, bagaimana peranti ini dibandingkan dengan OnePlus 3? Kedua-dua peranti ini dilihat menawarkan spesifikasi yang hampir serupa namun menawarkan kelebihan yang berbeza apabila diteliti.

OnePlus 3 dilihat membawakan kamera yang lebih baik dari segi kejituan imej dan perwarnaannya lebih menarik berbanding Axon 7 yang tidak konsisten pada bahagian ini. Ia juga menawarkan masa pengecasan pantas yang lebih singkat melalui Dash Charge dengan masa sekitar 30 minit untuk mencapai sehingga 60%. OnePlus 3 juga didatangkan dengan memori 6GB RAM dalam memberikan pengalaman multitasking yang pantas dan lebih sempurna.

Bagi anda yang terdedah dengan dunia IT dan mementingkan rekaan antaramuka minimal, pastinya anda akan lebih memihak kepada OnePlus 3 di atas penggunaan antaramuka berasaskan stock pada Oxygen OS. Ia juga mempunyai sokongan pembangun yang begitu ramai sekaligus menyajikan lambakan custom ROM yang sedia untuk dipasang. Apa yang menarik sekali, ia ditawarkan dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing iaitu RM1888 berbanding RM1999 untuk harga ZTE Axon 7.

Namun kelebihan yang hadir pada Axon 7 telah memperlihatkan kelemahan OnePlus 3 secara nyata seperti ketidakhadiran sokongan penambahan kad microSD. Ia juga menawarkan ketahanan bateri yang lebih singkat iaitu sekitar 4 jam 37 minit SoT (tanpa pengubahsuaian kernel) berbanding 6 jam 13 minit pada Axon 7. Begitu juga dari segi skrin, OnePlus 3 hanya didatangkan dengan skrin AMOLED 1080p yang dilihat tidak memberikan paparan yang tajam apabila melibatkan penggunaan Virtual Reality (VR).

Selain itu, disebabkan teknologi Dash Charge daripada OnePlus 3 adalah hasilan persendirian (proprietary), ia menyebabkan anda tidak dapat menikmati fungsi pengecasan pantas apabila menggunakan pengecas Quick Charge yang lain. Satu perkara lagi, audio pada OnePlus 3 tidak menawarkan kualiti bunyi sebaik Axon 7 yang didatangkan dua pembesar suara di bahagian hadapan bersama teknologi audio Dolby Atmos.

Pendek kata, sekiranya penggunaan anda lebih kepada kustomasi Android dan kamera, OnePlus 3 dilihat lebih disyorkan untuk anda. Bagi anda yang ingin mendapatkan peranti dengan paparan yang terang, ketahanan bateri yang lebih lama, dan pengalaman audio yang lebih baik, ZTE Axon 7 mampu memenuhi keperluan anda.

axon-7-markah-3

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd