Informasi Teknologi Terkini

Xiaomi Mi Note 2

Pada awal 2015, Xiaomi telah memperkenalkan telefon pertama mereka dibawah keluarga Mi Note. Melaluinya, Xiaomi pertama kali menyertakan panel belakang yang melengkung pada bahagian tepi – bagi menawarkan keselesaan ketika pengguna memegangnya. Selain itu, Mi Note juga ketika itu menawarkan pelbagai spesifikasi terkini berbanding sejumlah peranti lain di pasaran ketika itu.

Kini, selang lebih setahun daripada pengenalan Mi Note generasi pertama, akhirnya Xiaomi telah memberikan kemaskini baru untuk keluarga Mi Note. Seperti biasa, ia dinamakan sebagai Mi Note 2.

Jikalau pada generasi pertama, hanya panel belakang sahaja ia melengkung tepi, kini pada Mi Note 2, Xiaomi turut menyertakan skrin hadapan yang melengkung pada kiri dan kanan.

Dari segi penggunaan, tiada sebarang perbezaan berbanding peranti lain. Xiaomi tidak menyertakan sebarang sokongan perisian tambahan seumpama Edge pada Mi Note 2 ini, sebaliknya ia menggunakan versi MIUI 8 seperti terdapat pada beberapa peranti Xiaomi yang lain.


Rekaan Dan Spesifikasi

Xiaomi Mi Note 2
Skrin 5.7-inci
Pemproses Snapdragon 821
Memori 6GB RAM
Muatan Dalaman 128GB UFS 2.0
Kamera Utama 22.56 Megapixel f/2.0
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.0
Bateri 4070mAh
Telefoni 4G LTE
Sensor Pengimbas Jari, NFC
Sistem Android 6.0 Marshmallow

Melalui Mi Note 2, pihak Xiaomi menyertakan spesifikasi terkini pada peranti berkenaan, termasuk menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 821, memori sehingga 6GB RAM, penggunaan ruangan storan sehingga 128GB, termasuk bateri berkapasiti sehingga 4070 mAh yang dilengkapi sokongan pengecasan pantas Quick Charge 3.0.

Xiaomi melalui pengenalan produk Mi Note 2 ini sendiri beberapa kali menekankan mengenai penawaran nisbah skrin yang lebih luas berbanding beberapa peranti lain pada saiznya – dan salah satu faktor yang menyumbang kepada penambahan ini adalah penggunaan skrin melengkung pada kiri dan kanan.

Pada bahagian bawah, Xiaomi menyertakan pengimbas cap jari untuk sekutiri tambahan, dan juga berfungsi sebagai butang Home.

Daripada penggunaan saya sendiri, peranti ini tidak begitu janggal di tangan – mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan S7 Edge. Memandangkan saya tidak mengaktifkan fungsi Edge pada peranti saya, maka ia tidak begitu memberikan kesan kepada saya apabila pihak Xiaomi tidak menyertakan sokongan perisian tambahan pada peranti ini. Namun, sekiranya anda sudah terbiasa dengan fungsi Edge, mungkin akan memerlukan anda meluangkan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan Mi Note 2 ini.

Selain daripada itu, rekaan peranti ini boleh dikatakan agak selesa ditangan tetapi memerangkap kesan jari pada bahagian belakang mahupun pada bahagian hadapan. Salah satu perkara yang membuatkan kami terasa sedikit janggal ketika menggunakan peranti ini adalah bahagian depan-atas peranti. Memandangkan tiada sebarang logo seperti peranti Samsung, ia membuatkan ruangan tersebut terasa sedikit lebar berbanding kebiasaan.



Kamera

Pada hari ini, ramai pembeli memfokuskan kepada keupayaan kamera setiap kali ingin membeli peranti. Xiaomi Mi Note 2 tidak ingin kalah dalam arena ini, dan menyertakan sensor belakang 22.56-megapixel. Untuk tujuan ini, Xiaomi menggunakan sensor daripada Sony, iaitu IMX318.

Melengkapkan kamera ini adalah sokongan PDAF yang memudahkan pemfokusan kepada objek rakaman, dan hanya hadir dengan sokongan penstabilan imej secara elektronik sahaja. Dengan sensor terkini ini, ia sekaligus menyertakan sokongan rakaman video pada resolusi 4K, selain beberapa mod rakaman khusus untuk para pengguna. Disebabkan masa yang sangat singkat untuk mencuba produk, kami gagal untuk menguji sebarang keupayaan rakaman untuk peranti ini.

Xiaomi Mi Note 2

Untuk kamera hadapan pula, Xiaomi menggunakan sensor 8-megapixel dengan autofokus. Salah satu ciri baru yang disertakan oleh Xiaomi pada bahagian kamera adalah sokongan rakaman selfie berkumpulan dinamakan sebagai GroupShot.

Apa yang menariknya mengenai GroupShot ini adalah ia akan merakamkan beberapa gambar selfie, dan seterusnya mengoptimasikan gambar dalam memastikan pelbagai rakaman yang dihasilkan adalah cantik – termasuk semua dalam keadaan mata terbuka ketika merakamkan gambar.


Perisian

Xiaomi menggunakan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow pada telefon pintar ini, dan ia dilengkapi dengan antaramuka khusus dinamakan sebagai MIUI. Xiaomi menggunakan MIUI8 yang membawa perubahan bukan sahaja pada antaramuka, tetapi turut menyertakan beberapa fungsi tambahan, termasuk antaranya adalah:

  • Dwi-Tap Untuk Aktifkan Skrin – Pengguna boleh mengaktifkan sokongan dwi-tap untuk aktifkan skrin, dan mengakses peranti dengan lebih mudah tanpa perlu menekan butang Home atau kuasa.
  • Dual-Apps – Kebolehan menggunakan aplikasi sama dengan dua akaun berbeza. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan dua akaun WhatsApp pada peranti yang sama.
  • Second Space – Memudahkan pengguna mengasingkan kandungan untuk tugasan kerja berbanding dengan peribadi.
  • Kemudahan Menggunakan Satu Tangan – Dengan saiz skrin besar, mungkin ada kalanya anda ingin menggunakan ia dengan mudah pada sebelah tangan. Xiaomi menyertakan pengoptimasian khusus pada bahagian perisian untuk memudahkan ia digunakan dengan sebelah tangan.
  • …dan beberapa yang lain termasuk seperti Child Mode dan sebagainya.

Xiaomi Mi Note 2


Penutup

Xiaomi melalui Mi Note 2 sekali lagi memperlihatkan kebolehan mereka untuk hadir dengan peranti pada binaan yang cantik dan kukuh. Ia tidak memberikan sebarang perasaan “murah” ketika menggunakannya, dan bagi anda yang sering menggunakan sebuah phablet, mungkin tiada sebarang masalah untuk menyesuaikan diri untuk menggunakan peranti bersaiz 5.7-inci ini. Dengan penawaran rekaan yang lebih kurang sama seperti peranti keluaran Samsung, tidak mustahil ramai yang akan memilihnya – apatah lagi dengan ketiadaan sebarang penawaran menarik daripada pengeluar lain untuk suku ke-4 2016 ini selain iPhone. Namun, agak mendukacitakan kerana Mi Note 2 ini hanya ditawarkan di China sahaja dan tiada perancangan untuk negara luar buat masa ini.

Xiaomi Mi Note 2

TIPS & ULASAN