Cari @ Amanz

Xiaomi Mi Mix

Dua peranti telah diperkenalkan oleh Xiaomi, iaitu Mi Note 2 dan juga sebuah peranti yang dipanggil sebagai peranti eksperimental daripada Xiaomi, dinamakan sebagai Mi Mix. Peranti ini boleh dikatakan salah satu kejutan daripada Xiaomi, apatah lagi dengan tiada perkara tertiris mengenainya yang kami dengar sebelum ini.

Menjadi fokus utama oleh Xiaomi pada peranti ini adalah rekaan skrinnya yang membawakan bahagian bingkai yang sangat-sangat nipis – seolah-olah ia tidak wujud. Xiaomi sendiri melabelkan ia sebagai peranti konsep, tetapi berbeza dengan kebiasaan, peranti ini dijual.

Bercakap mengenai terma peranti konsep berkenaan sendiri, Hugo Barra menerangkan mengatakan ia dipanggil sedemikian kerana sebelum ini ia sukar direalisasikan, tetapi kini mereka telah berjaya melakukannya. Nama peranti ini sendiri dipanggil MIX adalah kerana gabungan perkataan Mi dengan X (yang sering dikaitkan dengan perkara baru atau akan datang).


Binaan Dan Spesifikasi

Xiaomi Mi Mix
Skrin 6.4-inci
Pemproses Snapdragon 821
Memori 4GB RAM
Muatan Dalaman 128GB
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0
Kamera Depan 5 Megapixel
Bateri 4400mAh
Telefoni 4G LTE
Sensor Pengimbas Jari, NFC
Sistem Android 6.0 Marshmallow

Xiaomi Mi MIX ini boleh dikatakan sedikit tebal berbanding beberapa peranti lain di pasaran. Ini mungkin kerana mereka ingin menyertakan sejumlah komponen, selain menjadikan peranti sangat seksi pada masa yang sama.

Mi MIX hadir dengan skrin bersaiz 6.4-inci yang menyertakan bingkai skrin sangat nipis. Dari segi panel, ia menawarkan panel dengan resolusi 2040×1080 pixel – dimana membawakan paparan pada nisbah 17:9. Xiaomi menggunakan paparan dengan nisbah begini kerana ia menggunakan butang maya atas skrin, dan apabila pengguna menggunakannya bersama-sama ketika memaparkan kandungan, maka ia memberikan paparan 16:9.

Disamping itu, untuk kerangka pula, Xiaomi menggunakan binaan berasaskan seramik. Ini memberikan binaan yang kukuh apabila dipegang. Bagi kami sendiri, ia nampak selesa, tetapi disebabkan oleh saiz peranti yang sedikit besar membuatkan ia sedikit janggal di atas tangan kami yang kecil.

Selain daripada itu, Xiaomi menyertakan sejumlah spesifikasi terkini pada telefon pintar ini, termasuk menggunakan cip Snapdragon 821, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 128GB. Pihak Xiaomi turut menyediakan sebuah versi khusus yang hadir dengan memori 6GB RAM dan ruangan storan 256GB – selain turut hadir dengan salutan emas 18k pada gelang sekeliling kamera dan juga pengimbas cap jari.



Kamera

Dengan fokus terhadap skrin, Xiaomi tidak begitu berkongsi mengenai kamera. Secara kasar, melalui kamera belakang 16-megapixel, kita mungkin dapat melihat rakaman gambar yang jelas dan cantik seperti pada beberapa peranti Xiaomi sebelum ini.

Untuk rakaman hadapan, Xiaomi mengubah posisi kamera hadapan pada penjuru bawah kanan peranti. Perkara ini dilakukan kerana ruangan atas peranti menggunakan skrin dengan bingkai yang sangat nipis, membuatkan mereka tidak boleh menyertakan sensor kamera pada bahagian atas.

Xiaomi Mi Mix

Penyertaan kamera hadapan dibahagian bawah membuatkan anda perlu mengubah atau memusingkan peranti ketika ingin membuat rakaman gambar selfie. Anda masih juga boleh merakamkan gambar seperti biasa dengan posisi kamera dari bawah – tetapi ia mungkin tidak menghasilkan rakaman seperti yang diinginkan anda, apatah lagi dengan kebarangkalian tampak lemak dari dagu dan sebagainya.


Teknologi Audio

Xiaomi Mi Mix

Dengan bingkai atas yang sangat nipis, Xiaomi tidak menyertakan sebarang speaker untuk mendengar panggilan seperti biasa kita lihat di telefon pintar. Sebagai ganti untuknya, Xiaomi menggunakan sebuah teknologi khusus yang dinamakan sebagai Cantilever Piezoelectric Ceramic Acoustic Technology. Melaluinya, ia menggantikan penggunaan speaker biasa, dan ia diletakkan dibahagian belakang skrin – sekaligus membolehkan anda membuat panggilan telefon seperti biasa walaupun tiada speaker. Kami tidak berpeluang untuk mencubanya ketika sesi ujian peranti ini.

Disamping itu, Xiaomi turut menyertakan sebuah sensor ultrasonic proximity dibahagian belakang skrin dalam mengenal-pasti bila skrin perlu dimalapkan ketika anda membuat panggilan dan sebagainya.


Penutup

Secara keseluruhan, pengumuman dan pengenalan Mi MIX ini mengejutkan saya sendiri memandangkan tiada ketirisan yang saya dengar mengenainya sebelum ini. Apatah lagi dengan rekaan skrin yang agak seksi berbanding dengan sejumlah peranti lain di pasaran pada hari ini. Seperti Mi Note 2, peranti Mi Mix juga tiada perancangan untuk dipasarkan di Malaysia buat masa ini. Malah, Hugo Barra mengatakan kuantiti Mi Mix akan dihasilkan adalah agak terhad berbanding Mi Note 2. Namun, bagi saya sendiri, saya lebih meminati peranti ini berbanding dengan Mi Note 2 – dan lebih ingin mencuba bagaimana kualiti panggilan suara menggunakan teknologi tanpa speaker ini. Dan saya mungkin akan lebih gemari peranti ini jikalau ia dapat dihasilkan dengan saiz mesra tangan dan poket seluar – apatah lagi dengan kini nisbah saiz skrin kepada peranti yang lebih besar.

Xiaomi Mi Mix

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd