Cari @ Amanz

Pada acara pengumuman Microsoft pada hari ini, selain dari pengumuman mengenai Windows 10 Creators Update yang membawakan pelbagai pembaharuan, mereka turut mengumumkan siri Surface mereka yang terbaru yang hadir dalam bentuk AIO (All-in-one) pertama mereka dikenali sebagai Surface Studio.

Dari segi rekaan, ia hadir dengan paparan monitor yang sangat nipis, iaitu senipis 12.5mm. Paparan monitor ini juga berfungsi sebagai skrin sentuh, membolehkan pengguna terus berinteraksi padanya. Ia mempunyai paparan bersaiz 28” inci, dan hadir pada nisbah paparan 3:2 dan 192 PPI. Pada ketajaman sebegitu, dokumen dapat dipaparkan hampir pada saiz sebenar menggunakan teknologi True Scale.

screenshot_1587 screenshot_1586

Kawalan warna yang terdapat pada monitor ini juga boleh ditukar secara terus, iaitu antara DCI-P3 dan juga sRGB. Ini sekaligus memudahkan pereka grafik melihat karya mereka dengan warna yang lebih tepat.

Salah satu perkara menarik mengenai badan Surface Studio adalah ia boleh diposisikan daripada monitor menjadi condong untuk kegunaan melukis secara terus. Menggunakan Surface Pen, pelukis mahupun pengguna komputer ini boleh berinteraksi seperti menggunakannya seperti papan lukisan.

screenshot_1592 screenshot_1588

Salah satu komponen khusus yang dicipta untuk Surface Studio adalah Surface Dial. Ia merupakan tombol pintar yang boleh digunakan baik diatas meja mahupun diatas skrin. Apabila ia dipusingkan, menunya boleh berubah mengikut aplikasi, seperti membesarkan atau mengecilkan lakaran atau karya, atau memilih warna mengikut ‘color wheel’.

Antara spesifikasi lain Surface Studio termasuklah ia menggunakan kad grafik Nvidia GTX 980M GPU. Pada tapak yang berfungsi sebagai badannya, ia terdapat palam audio, slot kad SD, palam Mini DisplayPort, Ethernet, dan juga 4 palam USB 3.0.

Surface Studio ini akan dijual tidak lama lagi pada harga USD 2,999 (~RM 12,400+) dalam unit yang terhad. Memandangkan penjualannya di Amerika Syarikat merupakan dalam kuantiti yang terhad, ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum komputer ini hadir untuk pasaran tempatan.

Boleh dikatakan penciptaan Surface Studio ini dikhususkan untuk menarik minat para pengkarya dan dengan penambahan terbaru yang diperkenalkan menerusi Windows 10 Creators Update, seperti Paint 3D contohnya, ia menampakkan usaha Microsoft bagi membolehkan pengguna peranti mereka mencipta sesuatu yang kreatif seiring dengan visi mereka.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd