5 Perkara Menarik Mengenai Honor 8

5 Perkara Menarik Mengenai Honor 8

Diterbitkan pada November 7, 2016 oleh .

honor-8-premiumHonor 8 sudah memasuki pasaran Malaysia sejak bulan September lalu. Sejak kali pertama ia diperlihatkan kami amat kagum dengan rekaannya. Walaupun di bawah jenama Honor yang sering dilihat sebagai peranti kelas pertengahan, peranti ini sebenarnya mampu menyaingi beberapa peranti utama yang wujud di pasaran sekarang. Berikut ialah lima perkara menarik yang kami temui pada Honor 8. Setiap satunya membuatkan ia menjadi peranti yang mungkin boleh dimasukkan ke dalam senarai pendek peranti yang perlu dimiliki anda.


01 – Pengimbas Cap Jari Pelbagai Fungsi

Pengimbas cap jari mula digunakan secara meluas pada tahun 2016. Fungsi yang dahulunya eksklusif kepada peranti utama kini boleh ditemui pada peranti kelas pertengahan dan permulaan. Honor 8 mempunyai pengimbas cap jari pada panel belakang yang mampu menyahkunci dalam masa 0.4 saat. Ini bukanlah perkara paling menarik pengimbas cap jari.

Yang membuatkan Honor 8 berbeza dari kebanyakan peranti pesaing ialah fungsi tambahan yang disertakan. Ia boleh diprogramkan untuk melakukan tiga perkara berbeza bergantung kepada cara ia ditekan. Menekan dengan pantas sekali boleh digunakan untuk melancarkan kamera. Menekan dengan pantas sebanyak dua kali pula boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi lampu suluh. Menekan dengan lama pula boleh melancarkan aplikasi kegemaran seperti WhatsApp misalnya. Ini semua di bawah sistem Smart Key yang disertakan.

Tidak mengejutkan sekiranya fungsi Smart Key ini akan ditiru pengeluar lain kerana ia sebuah fungsi yang mempercepatkan proses menggunakan peranti.

honor-8-smart-keys


02 -Kemasan Premium Pada Peranti Mampu Milik

Kemasan ialah perkara yang mula diambil peduli pengguna sejak dua tahun kebelakangan ini. Zaman peranti kelas pertengahan dengan tubuh dan sisi plastik telah lama berkubur. Kemasan logam kini menjadi standard tetapi jika dilihat di pasaran terlalu banyak peranti kelihatan seperti pelanduk dua serupa. Honor 8 bagi kami mempunyai kemasan yang layak digunakan pada peranti premium. Panel kaca di bahagian belakangnya unik kerana dihasilkan menggunakan 15 lapisan kaca.

Hasilnya ialah ia memantulkan cahaya dengan corak yang unik. Kami akui terasa sedikit berdosa kerana mahu memasang kerangka pada tubuh Honor 8 dan menutup panel belakang peranti pintar paling menarik sepanjang 2016. Kemasan kaca ini bukan sahaja kelihatan cantik tetapi selesa dipegang dengan sisi dibulatkan serta penggunaan kaca 2.5D pada bahagian skrin. Dengan mudah kami boleh nobatkan Honor 8 sebagai peranti yang terbaik di dalam kelasnya di dalam kategori kemasan.

honor-8-panel-belakang


03 – Pemproses Kelas Pertengahan Yang Cukup Berkuasa

Pemproses HiSilicon Kirin 950 yang digunakan pada Honor 8 digunakan sebelum ini pada beberapa peranti utama. Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan di makmal Amanz, ia mencatatkan markah yang lebih tinggi berbanding Snapdragon 810 yang menguasai peranti utama tahun lalu. Pemproses yang berkuasa ini dipadankan dengan RAM sebesar 4 Gigabyte. Jelas sekali gelaran “peranti kelas pertengahan” untuk Honor 8 sebenarnya tidak menggambarkan kemampuan sebenarnya.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menyedari sebarang masalah dengan aplikasi yang dimuat turun. Tiada juga masalah pemanasan melampau serta kegagalan berfungsi. Peranti berjalan dengan cukup lancar sekali. Di dalam dunia di mana peranti pintar menjadi semakin penting untuk aktiviti harian, Honor 8 memang cukup boleh diandalkan.

bench-honor-8

 


04 – Bateri Tahan Lama

Peranti pintar yang berkuasa tidak berguna sekiranya mudah kehabisan bateri. Bateri 3000 mAh yang digunakan mampu membekalkan tenaga sehingga 23 jam pada penggunaan biasa dengan skrin terpasang selama 9 jam. Ini ialah hayat bateri yang cukup baik bagi peranti masa kini. Penggunaan Android Marshmallow memastikan bateri yang turun sekitar 2% selepas enam jam apabila tidak digunakan. Sekiranya kehabisan bateri sekalipun pengguna tidak perlu risau kerana terdapat sokongan pengecasan pantas melalui pengecas 9V 2A yang setanding dengan QuickCharge 2.0 yang dihasilkan oleh Qualcomm.

 


05 – Pemancar Infra Merah

Nota kepada pengeluar peranti utama seluruh dunia. Mengapakah fungsi ini tidak lagi disertakan pada peranti keluaran anda? Sebuah peranti utama sepatutnya mempunyai kesemua fungsi yang boleh ditemui pada sebuah peranti kelas pertengahan. Di dalam hal ini pujian harus diberikan kepada Honor 8 kerana adalah sebahagian kecil peranti yang masih mempunyai pemancar infra merah.

Sebagai penulis teknologi dengan pelbagai peranti di rumah, pemancar infra merah pada peranti pintar membolehkan kami menggunakannya sebagai sebuah pengawal universal. Satu sahaja alat kawalan diperlukan untuk mengawal televisyen LED, kipas angin, pendingin hawa, dekoder televisyen satelit dan sistem audio. Ini mengurangkan amarah apabila alat kawalan hilang atau kehabisan bateri.

honor-8-pemancar-infra-merah


Ini hanyalah ciri-ciri menarik yang terdapat pada Honor 8 dan belum lagi diperincikan mengenai prestasi selfie yang dirakam menggunakan peranti ini. Nantikan siri artikel seterusnya berkenaan Honor 8 pada masa akan datang.

Baca: Ulasan Penuh Honor 8

Penafian: Advertorial dari Honor


TIPS & ULASAN