Cari @ Amanz

dsc08332-priime-gold

Honor 8
Chipset HiSilicon Kirin 950
CPU 4 x 1.8 GHz Cortex A53
4 x 2.3 GHz Cortex-A72
GPU Mali-T880 MP4
Memori 4GB RAM
Storan 32GB/64GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 12MP dwi-kamera, f/2.2, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 8MP, f/2.4, rakaman 1080p
Skrin 5.2-inci LTPS, 1920×1080, 423 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n/ac, A-GPS, Bluetooth 4.2
Sistem Android 6.0 Marshmallow
Bateri 3000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 153g, 7.5mm

Honor 8 adalah peranti flagship di bawah jenama Honor yang memfokuskan kepada binaan yang menarik disamping menawarkan spesifikasi yang cukup berkuasa. Ia menampilkan binaan berasaskan kaca di bahagian hadapan dan belakang peranti dalam memberikan suatu sudut rekaan yang mampu menjadi daya tarikan apabila melihat buat kali pertama. Binaan seperti ini pernah direka pada beberapa peranti sebelum ini seperti iPhone 4, Nexus 4, dan Galaxy S7 edge namun Honor 8 memberikan proses binaan kaca yang lebih unik.

Ia menampilkan rekaan skrin 5.2-inci yang dilihat begitu ideal atas kehadiran paparan yang tidak begitu besar seperti kebanyakan peranti yang hadir pada akhir-akhir ini. Rekaan seperti ini amat selesa di tangan seperti mana memegang peranti Huawei P9 yang juga hadir dengan saiz seperti Honor 8. Ia memudahkan penggunaan peranti di sebelah tangan dengan rekaan yang mudah dipegang.

Pihak Honor juga memberikan Honor 8 dengan keupayaan spesifikasi yang begitu menarik seperti kehadiran cip pemprosesan pantas HiSilicon Kirin 950. Cip ini pernah hadir pada peranti Huawei Mate 8 yang membuktikan prestasi yang begitu lancar untuk penggunaan harian mahupun ketika memainkan permainan. Dengan kehadiran memori 4GB RAM, Honor 8 turut menjanjikan kemampuan dari segi kelancaran multitasking yang pantas dan sempurna.

Honor 8 juga dilihat memfokuskan kepada keupayaan fotografi dengan kehadiran dwi-sensor 12MP pada bahagian kamera peranti ini. Teknologi dwi-sensor kamera ini hampir menyerupai kepada teknologi kamera yang terdapat pada Huawei P9 dengan kehadiran sensor berwarna dan monokrom. Namun dengan penawaran rekaan dan spesifikasi yang menarik, bolehkah Honor 8 memberikan nilai yang terbaik kepada pengguna?

dsc08428-priime-gold-6-priime-gold

Rekabentuk

dsc08260-priime-gold-down

Perkara utama yang menjadi daya tarikan peranti ini semestinya adalah dari segi rekaan pada bahagian hadapan dan belakang yang dibina berasaskan kaca. Ia mengandungi 15 lapisan kaca dalam memberikan perspektif cahaya berbeza apabila dilihat daripada sudut berlainan. Namun antara masalah yang dihadapi dengan rekaan seperti ini, ia mudah memerangkap cap jari dengan binaan yang agak licin apabila anda tidak menggunakan sebarang aksesori perlindungan untuk peranti ini.

Bahagian hadapan peranti ini menampilkan skrin 5.2-inci dengan paparan yang dijana berasaskan kepada panel LTPS LCD. Paparan ini saya boleh katakan ia memberi prestasi yang hampir menyerupai panel AMOLED dengan perwarnaan yang sangat terang bersama mendapan warna yang lebih mendalam. Dengan kehadiran dengan resolusi 1920×1080 pada skrin bersaiz 5.2-inci, paparan ini dilihat tajam dengan ketumpatan piksel sebesar 423 ppi. Melihat paparan skrin dari sudut berbeza juga tidak memberi masalah atas keupayaan paparan peranti yang cukup terang.

Di bahagian belakang peranti ini menempatkan kamera dwi-sensor 12MP dengan rekaan rata — tidak seperti kebanyakan flagship yang hadir dengan binaan kamera yang sedikit terkeluar. Berhampiran dengan bahagian ini turut menampilkan sensor untuk pemfokusan laser bersama dengan lampu dual-tone LED flash untuk penggambaran yang lebih neutral. Di bahagian bawah pula menempatkan pengimbas cap jari yang dilihat berada pada lokasi yang sama seperti Huawei P9.

Menariknya pada bahagian atas peranti menempatkan IR blaster yang membolehkan Honor 8 dijadikan sebagai alat kawalan jauh untuk mengawal perkakasan elektrik di dalam rumah anda. Di kanan sisi peranti menempatkan butang pelarasan suara dan butang kuasa yang mudah untuk dicapai apabila dipegang pada sebelah tangan. Di bahagian sisi kirinya pula menempatkan slot dwi-sim hibrid yang dikongsi bersama kad microSD. Akhir sekali di bahagian bawah peranti, ia menempatkan lubang earphone jack 3.5mm, pembesar suara, dan sambungan USB Type-C untuk pengecasan dan sambungan data.

Dari segi storan dalaman, Honor 8 mempunyai dua variant storan berbeza iaitu variant dengan storan 32GB dan 64GB. Bagi anda yang ingin mendapatkan warna Gold atau Blue seperti di dalam ulasan ini, pihak Honor hanya menawarkan variant 64GB dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM1899. Untuk variant asas 32GB, terdapat dua warna yang anda boleh pilih iaitu pilihan warna White atau Black pada harga RM1699. Sekiranya storan dalaman peranti tidak mencukupi, storan Honor 8 boleh ditingkatkan melalui sokongan kad microSD sehingga 128GB.

Pengimbas Cap Jari

Honor 8 membawakan prestasi tindak balas pengimbas cap jari yang amat baik iaitu sekitar 0.4 saat — sama seperti Huawei P9. Ia menawarkan masa menyahkunci peranti yang amat responsif dengan kadar kecekapan sekitar 80% apabila diuji. Ia mungkin tidak sebaik peranti OnePlus 3 yang memberikan kadar kecekapan sekitar 90% namun bagi saya, prestasi pengimbas cap jarinya sudah cukup memuaskan untuk menyahkunci peranti.

dsc08452-priime-gold

Apa yang saya sukakan dengan peranti Honor adalah fungsi pengimbas cap jarinya yang cukup padat dengan pelbagai fungsi menarik. Ia mempunyai sokongan mengunci dan melancarkan aplikasi menggunakan jari tertentu bersama sokongan file safe untuk memberi keselamatan pada fail peribadi anda. Ia juga masih mengekalkan fungsi gesture dalam membolehkan anda mengawal slideshow gambar menggunakan gerakan jari selain memudahkan anda mengambil selfie dengan meletakkan jari pada pengimbas ini.

Pengimbas cap jari Honor 8 juga bukanlah sekadar pengimbas cap jari kerana ia juga boleh berfungsi sebagai sebuah butang untuk melancarkan sesuatu aplikasi. Fungsi yang dinamakan sebagai Smart Key ini mempunyai tiga pilihan tetapan yang membolehkan anda menetapkan tiga aplikasi berbeza apabila ditekan.

Seperti contoh, sekiranya saya menekap butang pengimbas cap jari ini dengan satu kali, ia boleh melancarkan kamera dengan serta merta. Sekiranya butang ditekan ini sebanyak dua kali, ia membolehkan lampu flash dihidupkan pada waktu gelap. Sekiranya butang ini ditekan lama dalam seketika waktu, ia boleh melancarkan aplikasi Smart Controller untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh.

Sistem

Honor 8 membawakan antaramuka yang sama seperti Huawei P9 iaitu antaramuka EMUI 4.1 yang dibina berasaskan Android 6.0 Marhsmallow. Ia menampilkan launcher tanpa sebarang kehadiran app drawer seperti yang terdapat pada antaramuka MIUI pada peranti Xiaomi. Penampilan antaramuka ini boleh dikatakan moden terutama dari segi antaramuka settings dan aplikasi terbina namun rekaan ikonografinya masih perlu diperbaiki dengan rekaan yang lebih minimal.

Antaramuka ini turut memberikan pengguna dengan 4 pilihan tema yang boleh digunakan seperti Halo, Pink, Gold, dan Pure. Sekiranya anda tidak menggemari dengan pilihan tema yang didatangkan ini, anda boleh memasang pelbagai tema yang lebih menarik menerusi sokongan tema yang boleh dimuat-turun pada aplikasi Themes.

honor-8-screenshot-1

Antara fungsi menarik yang dibawa pada EMUI 4.1 adalah sokongan motion control yang membolehkan pengguna melancarkan sesuatu tugasan dengan hanya menggerakkan peranti. Seperti contoh, anda boleh menjawab sebarang panggilan dengan hanya meletakkan peranti ini berhampiran dengan telinga anda tanpa perlu menekan sebarang butang pada skrin. Fungsi motion ini turut menampilkan knuckle gestures yang membolehkan anda mengambil screeenshot dan membuat screen recording dengan membuat isyarat knuckle pada skrin.

honor-8-screenshot-2

Beberapa fungsi lain turut didatangkan pada EMUI 4.1 seperti Floating Dock dengan kehadiran butang navigasi yang terapung pada skrin apabila ia diaktifkan. Ia memudahkan penggunaa yang sering menggunakan peranti dengan sebelah tangan lebih-lebih kehadiran one-handed mode yang didatangkan secara terbina dapat membantu lagi penggunaan fungsi ini. Fungsi penggunaan satu tangan pada Honor 8 boleh diaktifkan dengan menyeret jari anda ke kiri atau ke kanan pada bahagian navigation bar di bawah skrin.

honor-8-screenshot-3

Dari segi kehadiran bloatware, EMUI 4.1 pada Honor 8 membawakan 6 aplikasi yang tidak diundang yang terdiri daripada aplikasi Facebook, Shazam, Booking.com, Clean Master, HiGame, dan WPS Office. Kesemua aplikasi boleh walau bagaimanapun boleh dibuang dengan selamat sekiranya anda tidak berasa selesa dengan kehadiran bloatware ini dalam peranti anda.

Prestasi

screenshot_2016-09-22-00-00-57Honor 8 menawarkan prestasi yang cukup pantas atas penggunaan cip HiSilicon Kirin 950 berasaskan CPU lapan-teras. Ia merangkumi dua penggunaan yang terdiri daripada kluster untuk penggunaan berat dan kluster untuk penggunaan kasual. Apabila peranti dibebankan dengan penggunaan berat seperti memainkan permainan bergrafik tinggi, kluster empat-teras Cortex-A72 2.3 GHz akan menggalas penggunaan secara intensif ini. Apabila peranti digunakan secara kasual, kluster empat-teras Cortex-A53 1.8 GHz digunakan dengan lebih menyeluruh untuk menjimatkan penggunaan tenaga.

Apabila diuji daripada ujian benchmark, Honor 8 tidaklah begitu menyinar dari segi bacaan mata seperti beberapa pesaing terdekatnya. Ia mencatatkan skor sebanyak 87,477 sekaligus memberikan bacaan seumpama Huawei P9 dengan bacaan sekitar 91,711. Peranti yang ditawarkan pada harga sekitarnya seperti OnePlus 3 memberikan skor yang jauh lebih tinggi iaitu 140,288 — mencatatkan perbezaan 52,811 mata di belakang.

Walaupun mata yang diberi tidak sebaik peranti pesaingnya, prestasi Honor 8 sebenarnya cukup cemerlang di dunia sebenar. Meneroka antaramuka peranti dan melancarkan aplikasi terasa sangat pantas tanpa sebarang isu lagging. Begitu juga dari segi prestasi multitasking, ia mampu menahan sekitar 20-30 aplikasi atau tab di Chrome dengan jayanya tanpa perlu reload semula. Perkara ini dibantu dengan penggunaan memori 4GB RAM yang dilihat cukup besar untuk menggalas keseluruhan besar tugasan berat.

Begitu juga dari segi prestasi permainan, Honor 8 mampu memainkan permainan bergrafik tinggi seperti Dead Trigger 2 dan Assassin’s Creed Pirates melalui bacaan FPS yang begitu konsisten. Penggunaan pemproses grafik Mali-T880 MP4 pada peranti ini juga mampu menetapkan permainan dengan tetapan grafik tinggi apabila memainkan permainan GTA: San Andreas dan Modern Combat 5.

Kamera

Honor 8 menawarkan penggunaan kamera dwi-sensor 12MP seumpama yang terdapat pada Huawei P9. Ia terdiri daripada sensor berwarna dan sensor monokrom dalam memberikan pencahayaan yang baik pada gambar yang diambil. Namun tidak seperti Huawei P9, ia tidak disertakan dengan pengesahan daripada Leica seperti ketidakhadiran fungsi pengambaran monokrom secara natif.

Saya sebenarnya amat menyukai kamera Honor 8 ini atas hasilan gambar dengan perwarnaan yang sangat baik berbanding Huawei P9. Warna gambarnya hadir dengan warna yang lebih terang dan vivid — tidak seperti Huawei P9 yang dilihat agak sedikit pudar. Ia juga kini tidak lagi menampilkan gambar yang oversharped seperti Huawei P9 sekaligus memberikan hasil imej yang lebih neutral apabila diambil pada waktu siang.

Prestasi kamera malamnya pula saya boleh katakan ia mempunyai peningkatan ketara dari segi perwarnaan dan kawalan noise berbanding Huawei P9. Gambar yang diambil kebanyakannya masih dilihat tajam disamping tidak memberikan masalah noise yang begitu ketara. Warna gambar yang dihasilkan juga dilihat lebih cerah dan meriah apatah lagi digunakan untuk penggambaran pada acara seperti Citrawarna.

[amanz-gallery]

Satu perkara yang membuatkan saya amat merindui dengan Huawei P9 adalah akses kepada sensor monokrom secara natif. Ia membolehkan pengguna mendapatkan imej hitam dan putih yang lebih tajam berbanding mengubahnya melalui suntingan daripada aplikasi. Ia juga memudahkan penggemar fotografi hitam dan putih membuat tweak dalam masa-nyata pada viewfinder untuk meningkatkan mood penggambaran monokrom.

Keupayaan kamera hadapannya juga saya boleh katakan sangat baik atas hasilan gambar selfie yang cukup terang dan tajam. Seperti kebanyakan peranti yang ada pasaran ketika ini, ia membolehkan pengguna menetapkan aras kecantikan sehingga 10 tahap untuk dipadankan bersama selfie anda. Apabila digunakan pada waktu malam, skrin pada peranti ini akan mula memberikan paparan flash dalam membantu untuk mendapatkan selfie yang baik ketika suasana gelap.

Antaramuka kamera Honor 8 boleh dikatakan hampir menyerupai dengan apa yang ditawarkan pada Huawei P9 tanpa sokongan fungsi penggambaran monokrom. Ia menawarkan beberapa fungsi penggambaran menarik seperti Good food, Light painting, dan Night shot. Fungsi penggambaran manualnya pula mampu memberikan tetapan shutter speed sehingga 30 saat disamping kebolehan menetapkan ISO sehingga 3200.

honor-8-screenshot-4

Fungsi Aperture Mode pada Huawei P9 juga masih dikekalkan pada Honor 8 ini dalam menawarkan efek penggambaran seolah-olah diambil daripada DSLR. Fungsi penggambaran ini menawarkan kesan objek yang difokuskan dengan penghasilan blur di bahagian belakang objek. Prestasinya boleh dikatakan baik namun mempunyai sedikit kecacatan fokus pada sisi objek. Menariknya, ia membolehkan pengguna untuk mengubah kekuatan dan kedudukan blur ini selepas sesuatu gambar diambil.

honor-8-aperture-mode

Untuk fungsi rakaman video pula, Honor 8 didatangkan dengan sokongan rakaman video 1080p dengan pilihan frame 60 fps dan 30 fps. Hasil rakaman video daripada peranti ini dilihat sangat baik walaupun tidak didatangkan dengan sokongan OIS. Rakaman yang diambil tidak memberi kesan gegaran yang ketara atas keupayaan EIS yang masih menyokong peranti ini. Cuma audionya tidak begitu memuaskan dengan bunyi background noise yang tidak ditapis dengan begitu baik. Satu perkara lagi, ia tidak didatangkan dengan fungsi rakaman 4K sekaligus menyukarkan penggemar rakaman mudah-alih untuk memilih peranti ini sebagai peranti utama.

Bateri

screenshot_2016-10-31-13-42-44Salah satu perkara yang menarik mengenai Honor 8 adalah dari segi keupayaan jangka hayat bateri yang cukup lama untuk penggunaan harian. Ia menawarkan bacaan Screen-on-Time (SoT) melebihi 4 jam yang menjadi standard minima untuk penggunaan bateri yang mencukupi.

Menariknya pada Honor 8, bacaan SoT ini ditawarkan dengan bacaan yang begitu lama iaitu sekitar 9 jam 28 minit untuk tempoh masa bertahan selama 23 jam. Sebagai perbandingan, peranti dengan harga sekitarnya seperti OnePlus 3 menawarkan SoT sekitar 4 jam 37 minit manakala Axon 7 membawakan bacaan SoT sekitar 6 jam 13 minit.

Dari segi masa pengecasan, Honor 8 hadir dengan fungsi pengecasan pantas tersendiri dengan kemampuan mengecas sekitar 47% dalam masa 30 minit. Ia tidak sebaik kedua-dua peranti yang dibandingkan di atas yang menawarkan masa pengecasan yang lebih singkat. Axon 7 memberikan masa pengecasan 50% untuk 30 minit disamping OnePlus 3 menawarkan masa pengecasan 60% untuk 30 minit.

Honor 8 dilihat membawakan fungsi Smart Power 4.0 untuk pengurusan tenaga dan aplikasi melalui beberapa power plan mengikut penggunaan. Sekiranya anda memerlukan penggunaan tenaga yang minima, anda boleh memilih tetapan Ultra untuk memanjangkan jangka hayat bateri peranti ini. Sekiranya anda inginkan peranti dengan penggunaan tenaga yang seimbang, anda boleh memilih tetapan Smart untuk digunakan sebagai tetapan penggunaan tenaga harian anda. Ia juga turut didatangkan dengan ROG mode dengan menurunkan resolusi skrin kepada 720p untuk menjimatkan lagi penggunaan bateri.

Rumusan

Honor 8 menawarkan sebuah peranti dengan rekaan yang paling menarik bersama keupayaan spesifikasi yang cukup berkuasa. Ia membawakan cip pemprosesan Kirin 950 yang beraksi cemerlang untuk penggunaan harian mahupun ketika memainkan permainan bergrafik tinggi. Dengan kehadiran memori setinggi 4GB RAM, melancarkan aplikasi dan membuat multitasking dilihat sangat cemerlang dengan pengurangan aplikasi yang perlu direload semula.

dsc08324-priime-gold

Honor 8 juga menampilkan sebuah peranti yang amat baik dari segi penggambaran dengan penampilan dwi-sensor 12MP di bahagian belakang peranti ini. Ia memberikan hasil gambar dengan perwarnaan yang menyerlah dengan hasil penggambaran pada situasi kurang cahaya yang agak jitu. Begitu juga dari segi prestasi kamera hadapannya, ia memberikan hasil selfie yang cemerlang apabila berjaya menghasilkan penggambaran wajah yang tajam dengan perwarnaan kulit yang dilihat hampir kepada netural.

dsc08297-priime-gold-downPeranti ini juga cukup dipuji apabila dinilai dari segi jangka hayat baterinya dengan bacaan Screen on Time (SoT) sekitar 9 jam 28 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Ia turut menampilkan fungsi pengecasan pantas secara terbina dengan kemampuan mengecas peranti sehingga 47% dalam masa 30 minit. Saya juga suka dengan fungsi IR blaster yang terbina pada Honor 8 dalam memudahkan saya mengawal penghawa dingin dan TV dengan hanya menjadikan peranti ini sebagai alat kawalan jauh.

Namun Honor 8 masih mempunyai kekurangan tersendiri terutama dari segi rekaannya yang mudah memerangkap cap jari. Fungsi penggambarannya walaupun dilihat baik pada perwarnaan gambar, ketidakhadiran OIS sedikit sebanyak menyukarkan pengambilan gambar yang stabil. Fungsi rakamannya videonya juga terhad kepada rakaman video 1080p tanpa sebarang sokongan rakaman video 4K. Begitu juga dari segi antaramukanya, EMUI perlu diperbaiki dari segi penampilan ikonografi pada launcher agar kelihatan lebih minimal.

Pro
  • Rekaan yang kecil dan selesa untuk dipegang
  • Ketahanan bateri dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 9 jam 23 minit
  • Didatangkan dengan paparan LTPS yang sangat terang hampir menyerupai skrin AMOLED
  • Kemampuan kamera menawarkan prestasi yang sangat baik untuk siang dan malam
  • Menawarkan prestasi harian dan permainan yang sangat pantas
  • Penggunaan 4GB RAM memberikan pengalaman multitasking yang sangat lancar
  • Hadir dengan sokongan IR blaster
Kontra
  • Peranti mudah memerangkap cap jari
  • Tiada sokongan OIS
  • Tidak menyokong rakaman 4K
  • EMUI perlu diperbaiki dari segi ikonografi yang lebih minimal

Secara keseluruhannya, Honor 8 menjanjikan sebuah peranti yang cukup anggun dan menawan — baik dari segi luaran mahupun di dalamnya. Ia menampilkan saiz yang begitu selesa di tangan bersama rekaan yang begitu memukau dari pandangan mata manusia. Spesifikasi yang ditampilkan juga amat seimbang dari segi prestasi, paparan, kamera, dan jangka bateri sekaligus menjanjikan sebuah peranti yang cukup berbaloi dimiliki tidak kira dari aspek binaan dan penggunaan. Sekiranya anda mahukan peranti yang kelihatan menarik dengan penawaran spesifikasi yang seimbang, Honor 8 adalah peranti yang sangat disyorkan untuk anda.

honor-8-markah-2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd