Mozilla merupakan salah satu syarikat yang memfokuskan kepada teknologi web dan juga pelayar web. Terkini, mereka berkongsi mengenai pembangunan sebuah projek baru yang dinamakan Quantum – enjin web generasi baru yang akan menawarkan pelbagai pembaharuan.
Quantum akan menggunakan kelebihan pada pelbagai hardware baru dan menawarkan pengalaman pelayaran yang lebih lancar dan pantas kepada para pengguna – tidak kira pada desktop atau peranti mudah-alih.
Mozilla memberi gambaran yang mana sesuatu web akan dibuka dengan lebih pantas, pengguna juga boleh menatal web dengan pantas – selain animasi dan kandungan berat boleh dibuka dan memberikan respon serta-merta.
Quantum akan menjayakannya dengan turut mengoptimasikan penggunaan GPU pada peranti, dan bukan bergantung kepada CPU semata-mata. Mozilla akan menggunakan sejumlah teknologi dalam pembangunannya, termasuk Servo dan juga Rust.
Mozilla dijangka mengimplementasi Quantum pada pelayar web Windows, Android, Mac dan Linux menjelang penghujung 2017 kelak.