Samsung Galaxy S8 Dijangka Menawarkan Pembantu Maya Pintar Yang Diberikan Nafas Baru

Samsung Galaxy S8 Dijangka Menawarkan Pembantu Maya Pintar Yang Diberikan Nafas Baru

Diterbitkan pada Okt 29, 2016 oleh .

Samsung sebelum ini sedia menawarkan S-Voice yang memberikan maklumbalas kepada beberapa persoalan melalui penggunaan kecerdasan buatan. Kini, melalui Galaxy S8 kelak, Samsung dijangka akan memberikan nafas baru dan mengintegrasikan pembantu maya pintar yang lebih baik padanya.

Perkara ini mungkin dijangka ramai, memandangkan baru-baru ini Samsung telah mengambil-alih Viv – kecerdasan buatan daripada pengasas Siri. Samsung tidak mengesahkan lagi sama ada Viv akan diintegrasikan pada Galaxy S8 ataupun sebaliknya – tetapi kemungkinan untuknya adalah agak tinggi.

Samsung Galaxy S7

Akhir-akhir ini, dengan penawaran spesifikasi dan kamera yang hampir serupa antara pelbagai pengeluar, kini mereka turut melihat kepada arena kecerdasan buatan. Apple dan Google masing-masing mempunyai Siri dan Google Assistant, dan Samsung tidak ingin ketinggalan sama. Huawei juga turut telah melakukan pelaburan dalam arena sama baru-baru ini.

Dengan masalah Note 7 yang dialami syarikat berkenaan baru-baru ini, semestinya Samsung perlu hadir dengan sesuatu yang baik melalui Galaxy S8. Selain kecerdasan pintar, Samsung turut dijangka memfokuskan kepada kamera yang ditambah-baik serta rekaan yang bagus pada Galaxy S8.

Samsung kebiasaannya akan mengumumkan Galaxy S baru pada bulan Februari atau Mac. Ia kurang pasti sama ada Samsung akan menangguhkan ia sedikit atau mempercepatkannya – disebabkan oleh masalah Note 7 baru-baru ini.


TIPS & ULASAN