Cari @ Amanz

Apple telah diperkatakan beberapa kali sebelum ini yang mana mereka akan menyertakan sokongan pengecasan tanpa wayar seawal 2017. Kini, laporan terbaru daripada Nikkei turut memberikan petanda perkara sama, dan mengatakan Foxconn sedang menguji modul pengecasan tanpa wayar untuk iPhone.

Foxconn dikatakan sedang membuat modul untuknya yang bakal diintegrasikan di dalam iPhone – tetapi ia masih kurang pasti sama ada ke semua model iPhone pada 2017 akan mengintegrasikannya ataupun sebaliknya.

Pengenalan fungsi tersebut oleh Apple juga akan bergantung kepada kemampuan pihak Foxconn membuat pengeluaran peranti dengan integrasi modul berkenaan.

Sokongan pengecasan tanpa wayar telah diminta ramai pengguna sebelum ini, dan terdapat beberapa peranti di pasaran yang menyokongnya buat masa ini. Namun, menjadi persoalan adalah sekiranya Apple mengumumkannya kelak, adakah ia akan menggunakan sokongan teknologi pengecasan tanpa wayar sedia ada, atau hadir dengan penawaran berbeza.

Apple dijangka akan menawarkan sejumlah perkara baru melalui iPhone 2017 kelak – bersempena dengan ulang-tahun ke-10 sejak iPhone pertama diperkenalkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd