Cari @ Amanz

Kejadian kanak-kanak hilang semakin meruncing. Laman sosial seperti Facebook kerap menjadi saluran utama untuk menyebarkan maklumat kanak-kanak hilang dalam membantu pencarian. Pada hari ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan Facebook menjadi salah satu saluran rasmi menerusi sistem National Urgent Response (NUR) Alert mereka.

nuralert-pdrm-facebook-1

Sistem NUR Alert ini berfungsi apabila terdapat kes kehilangan kanak-kanak, ia akan menyebarkan maklumat tersebut kesemua ahli pencarian yang terlibat. Setiap minit amat berharga apabila terjadinya kes kehilangan kanak-kanak dan lebih cepat maklumat tersebar dapat meningkatkan kebarangkalian kanak-kanak tersebut ditemui semula. Facebook merupakan komponen ke-36 di dalam sistem ini dalam memberikan amaran dan maklumat bagi membantu pencarian.

Apabila terdapatnya kes kehilangan kanak-kanak yang telah disahkan oleh PDRM dan layak menerima NUR Alert, aplikasi Facebook akan memaparkan amaran berkenaan kanak-kanak yang hilang di ruang News Feed. Maklumat seperti foto kanak-kanak tersebut, kenderaan yang dinaiki, pemakaian, lokasi terakhir dan apa jua maklumat yang membantu akan dapat dipaparkan pada aplikasi tersebut.

Sistem ini telah mula diaktifkan pada hari ini dan jumlah amaran adalah bergantung sekiranya pengguna berada di dalam kawasan yang telah dilaporkan kehilangan kanak-kanak tersebut atau sekiranya pengguna memasuki kawasan pencarian kanak-kanak yang hilang. Pengguna tidak perlu mengemaskini aplikasi mereka bagi mendapatkan amaran sebegini.

Sejak sistem NUR Alert ini dimulakan pada tahun 2010, sistem amaran ini telah diaktifkan sebanyak 29 kali dan 21 kes berjaya mengembalikan kanak-kanak manakala 8 kes lagi masih dilaporkan hilang. Dengan adanya kerjasama di antara Facebook bersama PDRM, kewujudan NUR Alert pada laman sosial ini bakal mempercepatkan pencarian dan meningkatkan kebarangkalian kanak-kanak yang hilang ditemui semula.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd