Lenovo Moto Z dan Moto Z Play mula dijual di Malaysia minggu ini lengkap dengan aksesori modular Moto Mods mereka. Buat masa ini aksesori kamera Hasselblad, projektor, bateri tambahan, panel belakang dan pembesar suara sahaja ditawarkan kepada yang berminat. Pihak Lenovo ingin mencari idea Moto Mods yang menarik dari orang ramai. Oleh itu mereka bekerjasama dengan Verizon untuk menganjurkan Transform the Smartphone Challenge.
Melalui cabaran ini mereka akan memberikan sebuah Moto Z dan kit pembangunan Moto Mods kepada individu dengan idea kreatif untuk aksesori modular. Sekiranya anda memiliki idea bernas, anda boleh memohon untuk menyertai cabaran ini. Idea yang terbaik kemudian akan diundi dengan dana menghasilkannya dikutip melalui Indiegogo. Idea yang berjaya kemudian akan dijual oleh Verizon di kedai mereka. Pemenang juga berpeluang melawat kampus Motorola di Chicago.