Selepas memperkenalkan telefon pintar flagship Xiaomi pada minggu lepas, kini mereka turut telah memperkenalkan peranti dibawah keluarga Redmi – yang mana memfokuskan kepada peranti berspesifikasi rendah-pertengahan.
Redmi 4 yang telah diperkenalkan untuk pasaran China buat masa ini adalah kemaskini kepada Redmi 3 sebelum ini. Redmi 4 menggunakan pengimbas cap jari pada bahagian belakang, serta dijana menggunakan MIUI. Ia membawakan saiz 5-inci, dikuasakan bateri berkapasiti 4100mAh dan menggunakan kamera belakang 13-megapixel. Versi biasa hadir dengan skrin 720p, memori 2GB RAM, dan ruangan storan 16GB, serta cip Snapdragon 430.
Sementara versi Redmi 4 Pro pula hadir dengan skrin 1080p, memori 3GB RAM, ruangan storan 32GB, serta menggunakan Snapdragon 625.
Bersama-sama dengannya juga, Xiaomi turut hadir dengan satu lagi variasi dinamakan Redmi 4A yang menggunakan skrin 5-inci, paparan 720p, Snapdragon 425, memori 2GB RAM, ruangan storan 16GB, bateri 3120mAh, dan kamera belakang 13-megapixel.
Redmi 4 dijual pada harga bermula 699 Yuan (~RM435), sementara Redmi 4A pula dijual pada harga bermula 499 Yuan (~RM310). Buat masa ini, pengumuman untuk pasaran luar China masih belum dilakukan lagi.