Carian
Samsung Mengesahkan Penyertaan Pembantu Maya Dengan Kecerdasan Buatan Pada Galaxy S8
November 7, 2016 Aman

Samsung pada bulan Oktober 2016 lepas telah mengambil-alih salah satu perkhidmatan kecerdasan buatan popular yang dibangunkan oleh bekas pengasas Siri, iaitu Viv. Sejak daripadanya, beberapa desas-desus telah hadir mengatakan ia akan diintegrasikan pada Galaxy S8 kelak.

Menyentuh mengenainya, kini Samsung dilihat mengesahkan mengenai perkara berkenaan kepada Reuters.

Berbeza dengan S-Voice yang hanya beroperasi sebagai pembantu maya berasaskan arahan suaran, dengan integrasi kecerdasan buatan, ia bakal membuatkan pembantu maya berkenaan beroperasi dengan lebih pintar dan dioptimasikan berasaskan kepada penggunaan seseorang pengguna.

Samsung buat masa ini tidak mengatakan sebarang perkara berkenaan apakah jenis perkhidmatan yang akan ditawarkan melalui pembantu maya dengan kecerdasan buatan ini. Namun, mereka mengatakan para pembangun boleh mengintegrasikan perkhidmatan mereka kepadanya. Samsung turut mengatakan dengan lebih banyak perkhidmatan yang diintegrasikan, ia akan menjadi lebih mudah kepada para pengguna.

Seperti ramai sedia maklum, dengan persaingan spesifikasi yang semakin merudum, kini nilai tambah dari segi perisian menjadi fokus utama. Google sedia mengintegrasikan Google Assistant pada Pixel, sementara Apple mempunyai Siri dan Microsoft pula mempunyai Cortana.

Apakah nama akhir untuk pembantu maya dengan kecerdasan pintar daripada Samsung ini masih menjadi tanda tanya.

Komen