Cari @ Amanz

dsc08830-priime-lighthouse

Samsung Galaxy J7 Prime
Chipset Samsung Exynos 7870
CPU 8 x 1.6 GHz Cortex-A53
GPU Mali-T830
Memori 3GB RAM
Storan 32GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, f/1.9, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 8MP, f/1.9, rakaman 1080p
Skrin 5.5-inci PLS TFT LCD, 1920×1080, 401 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem Android 6.0.1 Marshmallow
Bateri 3300 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 167g, 8mm

Samsung telah mengemaskini beberapa siri Galaxy J (2016) melalui perkenalan model baru yang membawakan nama Prime di bahagian belakang peranti siri ini. Ia menawarkan penaiktarafan yang sedikit berbeza terutama pada bahagian spesifikasi disamping mengekalkan rekaan sejumlah besar peranti. Ia meliputi penaiktarafan dari segi skrin, jumlah RAM, dan keupayaan kamera yang lebih baik. Namun ia juga tidak boleh dinafikan ada mengurangkan beberapa aspek daripada model asalnya bagi membantu untuk mengurangkan kos penghasilan peranti.

Galaxy J7 Prime adalah hasil penaiktarafan dari Galaxy J7 (2016) yang membawakan rekaan peranti dengan skrin 5.5-inci. Berbeza dengan J7 (2016), J7 Prime membawakan skrin 1080p berbanding 720p yang dilihat agak rendah untuk digunakan pada skrin sebesar ini. Namun J7 Prime tidak lagi menggunakan panel berasaskan AMOLED seperti J7 (2016) melalui penggunaan skrin PLS TFT iaitu teknologi proprietary daripada Samsung sebagai alternatif kepada IPS LCD.

Peranti kemaskini Galaxy J7 (2016) ini juga kini membawakan jumlah memori yang lebih besar dengan kehadiran 3GB RAM berbanding 2GB RAM sebelum ini. Ia menawarkan kelancaran multitasking yang lebih baik terutama dari segi masa pembukaan aplikasi. Bermakna, penggunaan RAM sebesar ini anda boleh menjangkakan ia mampu menggalas belasan aplikasi di belakang tabir daripada reload selepas diakses semula.

Memberikan keperincian imej selfie yang lebih menyerlah untuk perkongsian pada media sosial.

Satu bahagian yang menjadi titik jualan peranti ini adalah fungsi selfie yang kian menjadi fokus pada kebanyakan pengeluar sejak akhir-akhir ini. Galaxy J7 Prime telah hadir dengan peningkatan sensor kamera hadapan 8MP f/1.9 berbanding 5MP f/1.9 pada Galaxy J7 (2016). Peningkatan ini sememangnya mampu memberikan keperincian imej selfie yang lebih menyerlah untuk perkongsian pada media sosial.

Namun dengan peningkatan dari segi skrin, jumlah RAM, kamera hadapan yang lebih baik, bolehkah Galaxy J7 Prime menawarkan sebuah peranti yang ideal untuk penggunaan harian?

Rekabentuk

Binaan Galaxy J7 Prime saya boleh katakan menawarkan jenis rekaan yang mudah dijumpai pada kebanyakan peranti mid-range tahun ini dengan binaan berasaskan logam. Ia agak nipis apabila dilihat dengan mata kasar walaupun fizikal ketebalannya ialah 8mm. Cuma apabila memegang peranti seberat 167g ini tidak begitu selesa dipegang kerana binaannya agak licin. Tetapi dengan aksesori perlindungan yang mudah didapati, pastinya ia akan menambah lagi keselesaan ketika memegang peranti ini.

dsc08850-priime-lighthouse

Binaan hadapan peranti ini membawakan skrin bersaiz 5.5-inci namun agak sedikit mengecewakan kerana ia didatangkan dengan panel berasaskan PLS TFT LCD. Agak pelik kerana kesemua siri Galaxy J (2016) utama seperti Galaxy J1 (2016) sehingga Galaxy J7 (2016) kesemuannya hadir dengan paparan berasaskan Super AMOLED. Paparan seperti ini memberikan perwarnaan yang lebih terang disamping menjimatkan lebih kuasa.

dsc08858-priime-lighthouse-downPanel PLS TFT LCD pada J7 Prime secara kasarnya masih menawarkan paparan harian yang baik (walaupun tidak sebaik Super AMOLED) atas kehadiran resolusi 1920×1080. Ia menawarkan ketumpatan piksel sebanyak 401 ppi yang dilihat tidak memberikan sebarang isu penampakan piksel dari padangan kasar. Darjah pandangannya juga saya boleh agak luas — sebaik IPS LCD yang mudah dilihat dari sudut berbeza.

Rekaan pada bahagian hadapan ini bagi saya dilihat agak menarik dengan penampilan citarasa seumpama Oppo F1s dan iPhone 6 Plus. Di bahagian atas hadapan ini menempatkan kamera 8MP f/1.9 bersama ambient dan proximity sensor. Di bahagian bawah pula membawakan butang navigasi kapasitif bersama butang home. Butang ini selain daripada membolehkan pengguna menuju ke halaman homescreen, ia juga bertindak sebagai pengimbas cap jari. Prestasi dan menyahkunci peranti melalui pengimbas cap jari ini saya boleh katakan ia agak pantas — namun tidak dapat menandingi kepantasan pengimbas cap jari Oppo F1s yang lebih lancar dengan masa responsif 0.22s.

Apabila dilihat pada bahagian peranti, rekaannya tidak sebegitu menarik seperti yang hadir pada binaan hadapan. Ia terlalu generik dan saya harapkan ia menampilkan rekaan belakang yang lebih “eye-catching” atas harganya yang telah mencecah RM1200. Di bahagian belakang ini telah menempatkan kamera 13MP f/1.9 bersama penggunaan LED flash dengan satu tona warna. Apa yang saya boleh puji kameranya tidak menawarkan rekaan kamera terkeluar seperti kebanyakan peranti utama tahun ini.

Di bahagian atas peranti ini pula tidak didatangkan dengan sebarang slot dan sambungan earphone jack 3.5mm atas lokasinya yang telah ditempatkan di bahagian bawah peranti. Pada ruang bawah ini membawakan lubang mikrofon bersama sambungan Micro-USB untuk pengecasan dan sambungan data. Sedikit membezakan dengan peranti lain, butang pelarasan suaranya berada pada bahagian kiri peranti sementara butang kuasa ditempatkan pada lokasi kebiasaan iaitu pada bahagian kanan. Lokasi pembesar suaranya juga berada pada lokasi yang agak sedikit unik iaitu pada bahagian sisi kanan peranti.

Dari segi storan dalamanya pula, Galaxy J7 Prime menawarkan storan dalaman 32GB yang dilihat memadai untuk menampung pemasangan sebilangan aplikasi dan gambar anda. Tetapi sekiranya anda gemar mengambil gambar dan video dalam kuantiti yang banyak, J7 Prime ini menyokong storan luaran microSD dengan kapasiti sehingga 256GB. Ia juga hadir dengan slot dwi-sim dan slot microSD secara berasingan sekaligus membolehkan pengguna memanfaatkan kedua-dua sim dan kad microSD secara serentak.

Sistem

Galaxy J7 Prime membawakan antaramuka Touchwiz UI seperti yang anda dapati pada Galaxy S7 dan Galaxy A9 Pro. Ia dibina berasaskan Android 6.0 Marshmallow dengan antaramuka minimal disamping mengutamakan pengalaman yang lancar untuk penggunaan harian. Ia menawarkan launcher dengan app drawer yang diasingkan untuk memberi paparan yang lebih teratur berbanding perletakkan kesemua aplikasi pada homescreen.

screenshot_20161107-151334-side-j7-prime

Antaramuka Touchwiz UI ini dilihat menawarkan penampilan ikon yang diolah dengan baik melalui penggunaan warna moden dan ceria. Seperti Galaxy S7, paparan notification drawer turut membawakan antaramuka minimal yang boleh dipaparkan kepada paparan maksumum apabila pengguna menyeret paparan ini terus ke bawah. Bahagian Settings antaramuka ini juga membawakan senarai tetapan umum seperti tetapan bunyi dan paparan yang dilihat mudah diakses oleh pengguna. Namun, Galaxy J7 Prime tidak menyertakan sebarang sokongan multi-window seperti yang terdapat pada Galaxy S7.

Samsung juga turut memberikan Galaxy J7 Prime dengan kebolehan penukaran tema sekiranya anda tidak menggemari antaaramuka asal peranti ini. Ia hadir dengan Theme Store yang membolehkan anda memuat-turun tema dari pihak ketiga untuk digunakan sebagai tema utama peranti anda.

screenshot_20161107-151411-side-j7-prime

Samsung turut menyertakan beberapa fungsi tambahan seperti aplikasi S Health dengan kebolehan memantau tahap kecergasan melalui aktiviti dan bilangan langkah. Aplikasi S Voice juga turut disertakan yang membolehkan anda berkomunikasi dan mendapatkan info melalui pembantu maya seumpama Siri pada iPhone. Berita baik bagi anda yang gemar menggunakan radio, Galaxy J7 Prime turut hadir dengan aplikasi radio secara terbina bagi mendengar stesen radio kegemaran anda.

Dari segi kehadiran bloatware, Samsung Galaxy J7 Prime hadir dengan sejumlah aplikasi yang didatangkan secara terbina seperti Facebook dan Opera Max. Ia juga mengandungi beberapa aplikasi Microsoft melalui kehadiran Word, Excel, PowerPoint, OneNote, Skype, dan OneDrive yang boleh didapati pada halaman app drawer. Kesemua aplikasi yang didatangkan ini walau bagaimanapun boleh dibuang sekiranya anda tidak menyukai kehadirannya pada peranti anda.

Prestasi

j7-prime-benchmarkSamsung Galaxy J7 Prime menggunakan cip pemprosesan yang sama digunakan pada Galaxy J7 (2016) melalui Samsung Exynos 7870. Ia menawarkan cip pemprosesan lapan-teras Cortex-A53 1.6 GHz yang dilihat sangat lancar untuk penggunaan harian. Apabila diuji pada AnTuTu Benchmark, ia mencatatkan mata 46,371 yang dilihat berprestasi lebih pantas berbanding Snapdragon 615. Namun apabila dibandingkan pada cip pemprosesan terkini seperti Snapdragon 430, ia menawarkan perbezaan mata hanyalah 3,483 melalui bacaan benchmark sekitar 42,888.

Untuk penggunaan di dunia sebenar, Galaxy J7 Prime tidak memberi sebarang masalah untuk memberikan prestasi harian yang konsisten. Ia mampu membuka aplikasi dengan pantas selain memberikan prestasi scrolling yang lancar ketika melayari halaman web pada Chrome. Jujur saya katakan, saya sukar menjumpai sebarang masalah lagging dan hiccup ketika menggunakan peranti ini.

Dari segi multitasking, penggunaan memori 3GB RAM dilihat banyak membantu Galaxy J7 Prime untuk memberikan kelancarkan ketika membuat penukaran aplikasi. Beberapa aplikasi di belakang tabir dilihat dapat mengurangkan masalah reload apabila dibuka semula. Begitu juga tab pada Chrome, J7 Prime dapat menggalas sekitar 10-15 tab tanpa perlu reload untuk mengakses semula tab-tab ini.

Untuk prestasi permainan, Galaxy J7 Prime dapat memainkan permainan popular seperti Clash Royale dan Dead Trigger dengan lancar tanpa sebarang masalah lagging ketika bermain. Beberapa permainan berat seperti Modern Combat 5 dan Asphalt 8 juga mampu menawarkan frame rate yang konsisten cuma grafiknya berada pada tetapan grafik yang rendah. Bagi anda yang sering memainkan permainan secara kasual tanpa menghiraukan dari segi kualiti grafik, peranti ini sememangnya tidak memberi masalah kepada anda.

Kamera

Kamera belakang Galaxy J7 Prime membawakan sensor 13MP f/1.9 yang memberikan penggambaran yang sangat baik pada waktu siang dan malam. Saya sendiri tidak menyangka peranti ini mampu menawarkan prestasi penggambaran sebaik ini memandangkan rata-rata peranti sekelasnya tidak begitu memuaskan untuk kedua-dua situasi penggambaran.

Pada penggambaran pada waktu siang, Galaxy J7 Prime mudah untuk memberikan hasil penggambaran yang terang bersama perwarnaan yang hampir kepada neutral. Ia tidak saturated dan saya berpuas hati dengan warnanya yang tidak ke arah pudar. Dari segi kawalan white balance juga amat baik, peranti dapat menganalisa pencahayaan sekeliling agar tidak terlalu warm.

Galaxy J7 Prime membuktikan pada peranti sekelasnya juga mampu memberi kualiti penggambaran yang baik.Galaxy J7 Prime membuktikan pada peranti sekelasnya juga mampu memberi kualiti penggambaran yang baik — tidak kira pada keadaan mesra cahaya mahupun low-light. Ia kurang memberikan masalah noise yang begitu ketara atas kehadiran aperture sebesar f/1.9. Keperincian imej pada low-light ini juga kurang memberikan masalah gambar soft berbanding peranti sekelasnya seperti Oppo F1s. Sekiranya anda mahukan gambar malam yang lebih baik, Galaxy J7 Prime turut dibekalkan dengan LED flash dengan satu tona warna untuk meningkatkan pencahayaan pada gambar anda.

Samsung dilihat telah memasarkan Galaxy J7 Prime sebagai sebuah peranti yang mampu memberikan selfie yang lebih baik melalui kehadiran sensor 8MP f/1.9. Kehadiran sensor ini mampu memberi penggambaran kamera hadpaan yang lebih terang walaupun terdapat pencahayaan yang kurang ketika berselfie. Kualitinya saya boleh kata agak terang namun memberikan selfie yang sedikit soft apabila diambil pada lokasi kurang cahaya. Tetapi apabila tiba pada waktu siang, kualitinya agak tajam dengan keperincian selfie yang sangat baik.

[amanz-gallery]

Samsung juga turut menawarkan beberapa mod utama pada Galaxy J7 Prime seperti Panorama, Continuous Mode, HDR, dan Night Mode. Pada bahagian kamera ini juga menampilkan beberapa pilihan filter seperti negative, sephia, dan grayscale yang dilihat tidak memberikan kualiti yang menarik untuk digunakan. Namun bagi anda yang inginkan tetapan manual pada kamera, ia hadir dengan fungsi Pro Mode yang membolehkan pengguna menetapkan ISO, white balance, dan exposure.

screenshot_20161107-152134-side-j7-prime

Peranti ini mungkin tidak begitu disyorkan sekiranya anda mengutamakan fungsi rakaman video yang disebabkan ketiadaan sokongan 4K. Beberapa peranti pada harga sekitarnya seperti Xioami Mi Max telah hadir dengan rakaman 4K, yang menariknya, ia ditawarkan pada harga RM999. Bercakap mengenai kualiti, saya boleh kata rakaman video 1080p@30fps pada J7 Prime adalah sekadar memadai untuk rakaman harian atas ketiadaan sokongan EIS dan OIS secara terbina.

Bateri

Bateri Galaxy J7 Prime boleh dikatakan agak besar dengan kapasiti 3300 mAh. Ia masih tidak dapat menandingi kapasiti bateri Redmi Note 3 dengan 4000 mAh, namun kapasiti yang berada di atas 3000 mAh adalah amat baik untuk peranti dengan skrin 5.5-inci. Tidak seperti Galaxy J7 (2016), bahagian belakang peranti ini tidak boleh dibuka sekaligus tidak membenarkan proses penukaran bateri daripada perspektif pengguna.

Dari pengalaman menggunakan peranti ini, prestasi baterinya mudah untuk mencapai pengguna pada satu hari dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) yang memuaskan. Saya mula menggunakannya pada pukul 9 pagi dan pada pukul 11 malam, barulah ia memberikan notifikasi bateri lemah di bawah 10% — dengan bacaan SoT selama 6 jam 53 minit. Ia suatu bacaan SoT yang boleh dipuji atas kemampuan bacaan di atas 4 jam. Namun sekiranya ia menggunakan paparan berasaskan AMOLED, saya pasti peranti ini akan memberi bacaan SoT yang lebih lama.

Kehadiran bateri sebesar 3300 mAh pastinya memberi sedikit masalah apabila Galaxy J7 Prime ini tidak didatangkan dengan sokongan pengecasan pantas. Ia senasib dengan pesaing terdekatnya iaitu Oppo F1s yang juga tidak dibekalkan dengan teknologi VOOC. Implikasi daripada ketiadaan sokongan ini, Galaxy J7 Prime memerlukan masa sekitar 2 jam 15 minit untuk mengecas penuh peranti dari 0-100%.

Rumusan

Galaxy J7 Prime menawarkan sebuah peranti yang sangat baik apabila digunakan untuk penggunaan harian. Ia mempunyai kamera pada bahagian belakang yang terang bersama kamera hadapan yang begitu menyerlah untuk penggambaran selfie. Kehadiran kamera dengan aperture sebesar f/1.9 banyak membantu bahagian kedua-dua kamera peranti ini terutama pada penggambaran low-light. Kualiti gambar yang ditawarkan dilihat tajam dan perwarnaan gambarnya menampilkan warna yang cerah untuk kebanyakan situasi penggambaran.

dsc08831-priime-lighthouse

Galaxy J7 Prime turut membawakan prestasi harian yang sangat pantas terutama ketika membuka aplikasi dan membuat scrolling ketika melayari web. Ia tidak memberikan masalah lagging dan hiccup yang mana sering menjadi isu utama pada kebanyakan peranti yang menggunakan antaramuka tersendiri. Penggunaan memori 3GB RAM banyak membantu J7 Prime dalam meningkatkan prestasi disamping mampu menggalas sebilangan aplikasi di belakang tabir untuk kelancaran multitasking. Jangka hayat baterinya juga dilihat mampu memberikan penggunaan sepanjang hari dengan masa Screen-on-Time (SoT) sekitar 6 jam 53 minit.

Sebagai sebuah peranti kelas pertengahan, ia juga mempunyai kemampuan dwi-sim dan peningkatan storan melalui kad microSD. Menariknya, slot dwi-sim dan microSD ini didatangkan secara berasingan sekaligus membolehkan anda memanfaatkan kedua-dua slot ini secara serentak. Perkara ini dilihat sangat bermanfaat bagi anda mempunyai dua nombor dan memerlukan storan microSD sehingga 256GB untuk digunakan pada peranti anda. Bagi peminat fungsi radio pada peranti, Galaxy J7 Prime mampu menjadi peranti pilihan anda atas kehadiran sokongan ini secara terbina.

dsc08892-priime-lighthouse-2-downCuma ada beberapa perkara yang menjadi kelemahan kepada peranti ini antaranya dari segi binaan pada bahagian belakang yang dilihat terlalu generik dan tidak begitu menarik. Paparan J7 Prime yang menggunakan panel PLS TFT juga tidak sebegitu jitu seperti yang terdapat pada Galaxy J7 (2016) yang menggunakan paparan berasaskan AMOLED. Begitu juga ketika memainkan permainan, ia menawarkan prestasi permainan yang pantas namun kualiti yang ditawarkan agak rendah.

Beberapa kekurangan lain turut dapat dilihat melalui ketidakhadiran rakaman 4K yang sepatutnya dilihat sebagai fungsi asas kepada peranti kelas pertengahan. Ia juga tidak menawarkan fungsi IR blaster seperti yang terdapat pada Xiaomi Redmi Note 3 sekaligus menyukarkan saya mengawal perkakasan elektrik berbeza melalui satu peranti. Satu perkara yang agak mengecewakan adalah ketiadaan sokongan pengecasan pantas yang juga sepatutnya hadir pada peranti kelas ini.

Pro
  • Rekaan hadapan dilihat menarik dengan citarasa rekaan seumpama Oppo F1s dan iPhone 6
  • Keupayaan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT 6 jam 53 minit
  • Hadir dengan resolusi 1080p berbanding 720p pada Oppo F1s dan Galaxy J7 (2016)
  • Kemampuan kamera dilihat sangat baik untuk penggambaran mesra cahaya dan low-light
  • Penggunaan 3GB RAM mampu mengurangkan masalah reload aplikasi apabila diakses semula
  • Prestasi keseluruhan sangat pantas, baik untuk penggunaan harian dan permainan
  • Hadir dengan slot dwi-sim dan kad microSD secara berasingan
Kontra
  • Rekaan belakang agak generik dan tidak begitu menarik
  • Menggunakan panel PLS TFT berbanding AMOLED seperti yang terdapat Galaxy J7 (2016)
  • Prestasi permainan dilihat baik namun kualiti grafik yang ditampilkan agak rendah
  • Tiada fungsi pengecasan pantas
  • Tidak menyokong rakaman 4K
  • Tidak didatangkan dengan fungsi IR Blaster

Namun saya boleh katakan, Galaxy J7 Prime telah memberikan keupayaan yang cemerlang dari segi prestasi, kamera, dan jangka hayat bateri. Ia sebuah peranti yang mampu menawarkan anda prestasi harian yang pantas, kamera dengan keperincian dan perwarnaan imej yang baik, bersama jangka hayat bateri sepanjang hari. Dengan harga RM1,199, ia sebuah peranti kelas pertengahan yang berbaloi dimiliki sekiranya anda mahukan peranti yang seimbang untuk digunakan sebagai peranti harian anda.

galaxy-j7-prime

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd