Cari @ Amanz

Mantan CEO Microsoft Steve Balmer memang terkenal dengan beberapa kuotasi yang pernah disebutkan beliau. Tetapi kuotasi beliau yang sering disebut dan diulangi sehingga menjadi bahan jenaka ialah ramalan beliau mengenai masa depan iPhone. Pada tahun 2007 beliau meramalkan iPhone tidak akan mampu mempunyai jumlah peratusan pasaran yang tinggi. Ini adalah kerana harga jualannya yang terlalu mahal ($700 sebelum subsidi) dan tidak dilengkapi papan kekunci fizikal.

Selepas hampir sepuluh tahun Steve Ballmer kini mengakui pendapat beliau mengenai Apple adalah salah sama sekali di dalam temuramah bersama Bloomberg. Beliau merasakan Microsoft sepatutnya lebih awal memasuki pasaran penghasilan perkakasan (ini hanya bermula dengan Surface RT pada tahun 2012) dan mengikuti langkah memberikan subsidi pembelian peranti seperti yang dilakukan oleh Apple.

Apple kini adalah pengeluar peranti mudah alih kedua terbesar di dunia dengan pegangan 12% pasaran. Peranti pintar keluaran Microsoft pula menunjukkan penurunan jualan yang mendadak sehingga tidak termasuk di dalam senarai 10 pengeluar terbesar dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd