Cari @ Amanz

dsc09209-priime-embody

Huawei MediaPad M3
Chipset HiSilicon Kirin 950
CPU 4 x Cortex A53 1.8 GHz
4 x Cortex-A72 2.3 GHz
GPU Mali-T880
Memori 4GB RAM LPDDR4
Storan 32GB/64GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 8MP auto-focus, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 8MP, rakaman 1080p
Skrin 8.4-inci IPS, 1600×2560 piksel, 359 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem EMUI 4.1 berasaskan Android 6.0 Marshmallow
Bateri 5100 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 310g, 7.3mm

Pasaran tablet pada saat ini boleh dikatakan agak perlahan tetapi ia tidak mematahkan semangat pengeluar untuk terus menghasilkan peranti seperti ini. Huawei antara pengeluar yang ingin meneruskan permintaan pasaran tablet ini dengan menghasilkan Huawei MediaPad M3 bersama pemfokusan terhadap multimedia. Ia hadir dengan sistem penataan audio Harman Kardon dalam memberikan pengalaman audio terbaik dalam bentuk peranti tablet.

MediaPad M3 juga boleh digunakan sebagai telefon melalui sokongan selular secara terbina untuk kebolehan internet dan panggilan suara. Ia memudahkan pengguna menjadikan tablet ini sebagai telefon kedua atau sebagai peranti kasual apabila tidak bersama komputer.

Rekaan & Spesifikasi

Binaan Huawei MediaPad M3 boleh dikatakan hadir dengan rekaan seumpama iPad mini dengan penampilan skrin yang sedikit besar iaitu pada saiz 8.4-inci. Binaan hadapannya membawakan rekaan yang ringkas — dengan kehadiran kamera selfie pada bahagian atas dan pengembas cap jari di bahagian bawah skrin. Binaan sisi kanan peranti ini menempatkan butang pelarasan suara dan butang kuasa — iaitu kedudukan yang ideal seperti yang telah hadir pada kebanyakan telefon pintar.

Sebagai peranti yang memfokuskan kepada multimedia, MediaPad M3 menampilkan dua pembesar suara terbina dengan dua lokasi berbeza iaitu berada di bahagian atas dan bawah peranti. Kedudukan ini dilihat sangat membantu untuk memberi penghayatan audio yang imersif, apatah lagi tablet ini diletakkan pada kedudukan horizontal.

dsc09221-priime-embody

Paparan skrin IPS LCD 8.4-inci pada peranti ini memberikan hasil pandangan yang begitu memuaskan dengan kehadiran resolusi setinggi 1600×2560. Ia didatangkan dengan ketumpatan piksel yang tinggi iaitu 359 ppi sekaligus memberikan hasil paparan yang tajam.

Di bahagian bawah skrin ini menempatkan pengimbas cap jari dalam bentuk butang berkeadaan statik. Menggunakannya pada peringkat awal, ia mampu menyahkunci peranti dengan amat pantas setanding dengan apa yang ditawarkan pada Huawei P9. Ia juga mampu menjadi sebagai butang Home apabila pengguna menekannya pada seketika waktu dan mampu menjadi butang Back apabila menekannya dengan sekali sentuhan. Apabila anda menyeret dari kiri atau kanan pada butang ini, ia akan membawa pengguna ke paparan multitasking dengan mudah.

Pada bahagian storan dalaman, MediaPad M3 membawakan dua pilihan storan berbeza iaitu 32GB atau 64GB yang mana boleh dinaiktaraf sehingga 128GB melalui sokongan microSD. Ia juga masih membawakan sokongan selular 4G LTE dengan fungsi panggilan suara melalui penggunaan satu sim bersaiz nano.

EMUI 4.1 Berasaskan Android 6.0 Marshmallow

Dari segi antaramuka, MediaPad M3 membawakan antaramuka EMUI 4.1 iaitu antaramuka yang sama digunakan pada Huawei P9. Ia menawarkan launcher tanpa sokongan app drawer dengan penampilan yang boleh ditukar melalui 3 pilihan tema secara terbina. Cuma apa yang sedikit mengecewakan, ia tidak didatangkan sokongan multi-window seperti iPad dan mungkin bakal diperkenalkan sekiranya tablet ini menerima kemaskini Android 7.0 Nougat.

mediapad-m3

Kamera

Tablet ini turut menawarkan keupayaan fotografi melalui kehadiran sensor 8MP untuk kamera di bahagian belakang. Seperti kebanyakan peranti tablet yang lain, ia tidak menempatkan lampu flash dan laser autofokus di atas rupa fizikal yang tidak diutamakan untuk fotografi. Di bahagian hadapannya pula menempatkan kamera 8MP fixed focus yang dilihat memadai untuk penggunaan selfie.

mediapad-m3-2

Antaramuka kamera peranti ini turut membawakan rekaan antaramuka seumpama Huawei P9 dengan pilihan pelbagai mod yang boleh dipilih apabila pengguna membuat slide pada skrin ke arah kanan. Ia menampilkan beberapa fungsi menarik seperti Beauty, HDR, Good Food, dan Light Painting untuk meningkatkan lagi kreativiti pada gambar yang diambil. Ia juga turut membawa fungsi kawalan manual melalui mod Pro Photo dengan kebolehan menetapkan ISO sehingga 1600 dan shutter speed sehingga 8 saat.

screenshot_2016-11-10-16-32-14Prestasi

Dari segi prestasi, MediaPad M3 menampilkan cip pemprosesan pantas HiSilicon Kirin 950 — iaitu cip pemprosesan yang sama seperti yang terdapat pada Mate 8. Ia menawarkan prestasi harian dan multitasking yang pantas apatah lagi dibantu dengan penggunaan memori setinggi 4GB LPDDR4. Memainkan permainan terkini seperti Asphalt Xtreme memberikan prestasi permainan yang lancar melalui sokongan grafik Mali-T880.

Audio

MediaPad M3 ini turut direka untuk penggunaan multimedia dengan kehadiran penataan audio berkualiti tinggi daripada Harman Kardon. Ia menawarkan kualiti pendengaran audio yang cukup jitu — melalui kehadiran cip AK4376 yang mampu memainkan audio berkualiti Hi-Fi.

Bateri

Dari segi bateri, MediaPad M3 menawarkan kapasiti sebesar 5100 mAh untuk memberikan prestasi bateri sepanjang hari walaupun digunakan dengan penggunaan yang berat. Namun ia tidak menawarkan fungsi pengecasan pantas sekaligus memerlukan masa pengecasan yang sedikit lama untuk mengecas penuh peranti ini.

Rumusan

Huawei MediaPad M3 dilihat menawarkan sebuah tablet yang begitu baik apabila dinilai dari segi spesifikasi yang didatangkan. Penggunaan cip HiSilicon Kirin 950 dan memori 4GB RAM sememangnya memberikan prestasi harian dan permainan yang amat baik pada tablet ini dengan prestasi yang cukup lancar.

dsc09206-priime-embody

Ia juga menjadi alternatif iPad mini yang baik bagi yang ingin mendapatkan tablet berasaskan sistem operasi Android. Dengan kebolehan kustomasi yang pelbagai pada Android, MediaPad M3 memudahkan anda untuk melakukan perubahan pada antaramuka dan penghantaran fail antara peranti.

Namun tablet berasaskan Android masih tidak sebaik iPad mini sekiranya anda mengutamakan penggunaan aplikasi berbentuk content creation. Beberapa aplikasi seperti iMovie, Garageband, VocaLive, Matter, dan Paper by 53, kesemuanya masih tidak mempunyai alternatif terbaik pada Android. Tetapi sekiranya anda menggunakan aplikasi umum seperti aplikasi permainan dan media sosial, MediaPad M3 tidak memberi sebarang isu untuk penggunaan aplikasi-aplikasi seperti ini.

Harganya mungkin agak tinggi iaitu RM1699 tetapi penawarannya dari segi multimedia antara yang terbaik bagi sebuah peranti berbentuk tablet. Ia hadir dengan kualiti audio yang baik bersama paparan yang begitu tajam untuk tontonan video dan memainkan muzik. Rekaannya juga didatangkan dalam pakej yang menarik — sangat disyorkan bagi pengguna yang inginkan peranti tablet yang elegan untuk kegunaan harian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd