Google Berkongsi Trend Semasa Dalam Penggunaan Dan Penemuan Aplikasi Mudah-Alih

Google Berkongsi Trend Semasa Dalam Penggunaan Dan Penemuan Aplikasi Mudah-Alih

Diterbitkan pada November 11, 2016 oleh .

Pada hari ini, telefon pintar telah menjadi salah satu peranti yang sering berada bersama seseorang pengguna. Dan bercakap mengenai telefon pintar sendiri, salah satu komponen utama yang popular padanya adalah penggunaan aplikasi.

Terkini, Google Malaysia telah berkongsi hasil kajian dan bancian mereka bersama pihak TNS, dimana ia memperlihatkan beberapa perkara menarik dikalangan pengguna tempatan jikalau dibandingkan dengan pengguna dari negara lain.

Kadar Penggunaan Mobile Web Dan Aplikasi Adalah Lebih Kurang Sama

Google TNS

Salah satu perkara menarik adalah dimana pengguna di Malaysia menghabiskan masa yang lebih kurang sama pada web mudah-alih (melalui pelayar web) ataupun melalui aplikasi pada telefon pintar.

Perkara ini sekaligus memberikan idea yang mana penyedia perkhidmatan dan kandungan di Malaysia perlu turut mengoptimasikan web mereka supaya mesra peranti mudah-alih, dan tidak hanya memfokuskan kepada aplikasi semata-mata. Google juga turut mengalakkan pembangun untuk mengambil kelebihan pelbagai teknologi mudah-alih baru dalam memberikan pengalaman pelayaran web yang baik dan selari pada peranti mudah-alih.

Pengguna Malaysia Lebih Banyak Menemui Aplikasi Baru Melalui Carian Di Kedai Aplikasi

Google TNS

Terdapat beberapa kaedah seseorang pengguna menemui aplikasi baru untuk dipasang pada telefon pintar. Untuk pengguna di Malaysia, ramai yang menemui aplikasi baru daripada carian di kedai aplikasi – dan diikuti dengan cadangan dan perkongsian daripada rakan-rakan, serta daripada apa yang diperlihatkan di halaman utama kedai aplikasi.

Google juga turut berkongsi mengatakan pengguna di Malaysia lebih kepada membaca ulasan daripada pengguna lain sebelum memasang aplikasi berkenaan di peranti mereka. Pengguna tempatan juga turut melihat kepada rating dan juga saiz aplikasi sebelum memasangnya.

Disebabkan ramai pengguna tempatan menggunakan carian untuk menemui aplikasi baru, para pembangun digalakkan untuk menambah tag yang sesuai untuk aplikasi mereka, selain turut memantau statistik menggunakan Firebase. Disamping itu, sekiranya mempunyai duit untuk pemasaran – seperti biasa mereka boleh membeli pengiklanan daripada Google untuk Play Store.

Aplikasi Berbentuk Permainan Adalah Yang Paling Popular Dikalangan Pengguna

Google TNS

Jikalau dilihat dari segi kategori aplikasi yang popular, di Malaysia, bancian memperlihatkan permainan adalah yang paling popular, dan diikuti oleh permesejan dan juga perkhidmatan sosial.

Disebabkan oleh populariti yang tinggi, selain kadar pemasangan dan ruangan storan yang diperlukan adalah tinggi – pengguna juga akan memilih permainan untuk dinyah-pasang daripada peranti mereka ketika ingin memasang sesuatu aplikasi baru atau ketiadaan ruangan storan.

Untuk mengatasi perkara ini, pihak Google mengalakkan pembangun untuk hadir dengan aplikasi yang sentiasa memberikan sesuatu yang baru dari masa ke semasa.

Pengguna Tempatan Tidak Gemar Membayar Untuk Kandungan Digital

Google TNS

Perkara ini mungkin sedia diketahui ramai, dimana pengguna tempatan tidak begitu gemar membayar untuk kandungan digital. Daripada bancian yang dilakukan, sekitar 78% lebih selesa mendapatkan kandungan percuma – sebaliknya baki ada pernah membuat pembelian kandungan digital.

Walaubagaimanapun, agak menarik untuk para pengemar permainan, dimana mereka terbuka untuk melakukan pembayaran dalam-aplikasi – termasuk untuk membeli kredit tambahan, “nyawa” tambahan dan lain-lain.


Berkongsi lanjut mengenai penemuan hasil bancian, pihak Google mengatakan lebih 29% pengguna di Malaysia pernah melakukan pembelian barangan menggunakan aplikasi, selain hampir 38% pengguna yang mematikan sokongan notifikasi daripada sesuatu aplikasi yang sering menghantar promosi dan sebagainya.


TIPS & ULASAN