Rekaan Dan Spesifikasi Peranti Project Ara Yang Ditangguhkan Kini Diketahui

Rekaan Dan Spesifikasi Peranti Project Ara Yang Ditangguhkan Kini Diketahui

Diterbitkan pada November 12, 2016 oleh .

Projek peranti modular Project Ara ditangguhkan pada bulan September yang lalu. Selepas menjalani ujian selama tiga tahun, projek ini ditangguhkan kerana masih belum bersedia untuk dipasarkan kepada umum. Antara sebab yang diberikan ialah ia tidak cukup tahan lasak selepas menjalani ujian dalaman di Google.

project-ara-prototaip-1

Penangguhan projek ini dikesali ramai pihak kerana peranti modular seperti Ara dapat mengurangkan kos membeli peranti baru saban tahun. Komponen baru yang lebih berkuasa boleh ditambah mengikut peredaran masa.

Pihak Phandroid berjaya mendapatkan salah satu peranti ujian yang dihasilkan. Ia sebuah peranti dengan skrin 5.45″ IPS LCD HD penuh, pemproses Snapdragon 810, RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Kamera utama ialah sebesar 2.1-Megapixel dan kamera hadapan pula 5-Megapixel. Bateri pula ialah sebesar 3450 mAh.

project-ara-prototaip-2

Kerangka Ara diperbuat daripada logam tetapi komponen modular diperbuat daripada plastik. Kesemua komponen modular bersambung kepada tubuh peranti menggunakan magnet. Kerana sistem modular peranti ini adalah agak berat dengan ketebalan 12.5mm. Ini adalah jauh lebih tebal dari kesemua peranti Android di pasaran sekarang.

Melihat peranti ujian ini kami memahami mengapa projek ditangguhkan. Rekaanya langsung tidak menarik dan adalah terlalu tebal untuk menjadikannya praktikal. Bagi pembaca Amanz yang masih mahukan peranti modular, anda boleh memilih LG G5 ataupun Lenovo Mot Z/Z Play yang sudah memasuki pasaran Malaysia.


TIPS & ULASAN