Carian
Samsung Mengambil Alih Firma Peranti Berhubung Harman Pada Harga $8 Billion
November 14, 2016 Effi Saharudin

Industri automotif ialah cabang yang dijangka berkembang dalam masa terdekat. Pembangunan kereta pemanduan automatik kini berkembang dengan penglibatan Google dan Apple. Samsung tidak mahu ketinggalan dan mengesahkan pengambilalihan firma peranti berhubung Harman International Industries pada harga $ 8 Billion (~RM 35 Billion).

Harman dilaporkan menguasai pasaran peranti berhubung di dalam industri automotif. Dengan pembelian ini Samsung mempunyai akses terus kepada pengeluar kenderaan lain serta 8000 jurutera perisian di bawah Harman. Selain peranti berhubung Harman juga adalah pemegang teknologi audio Harman Kardon, AKG dan JBL. Mereka juga pemegang lesen untuk sistem audio kereta Bang & Olufsen. Dengan pembelian ini Samsung dapat mempertingkatkan ekosistem mereka dengan sokongan untuk peranti mudah alih, audio, peranti berhubung dan kenderaan pintar di masa hadapan.

Komen