Cari @ Amanz

dsc09360-priime-north

Vivo Y55
Chipset Qualcomm Snapdragon 430
CPU 8 x Cortex A53 1.4 GHz
GPU Adreno 505
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 8MP auto-focus, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 5MP, rakaman 720p
Skrin 5.0-inci IPS, 1280×720 piksel, 294 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem Funtouch OS 2.6 berasaskan Android 6.0
Bateri 2650 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 142g, 7.5mm

Vivo telah melancarkan satu lagi peranti dengan fokus untuk menerangi selfie pengguna menerusi Vivo Y55. Ia tidak didatangkan dengan LED flash pada bahagian hadapan — tetapi menggunakan teknologi Screen Flash yang mampu menganalisa cahaya sekeliling untuk menerangkan penggambaran ketika selfie. Ia juga dipasarkan pada harga mampu milik iaitu RM799 — sekaligus mensasarkan kepada golongan muda yang inginkan peranti yang kompak dengan keupayaan selfie yang baik.

Spesifikasinya juga menawarkan spesifikasi yang cukup berkuasa untuk peranti kelas permulaan melalui kehadiran cip Qualcomm Snapdragon 430 bersama memori 2GB RAM. Cip pemprosesan ini menawarkan prestasi harian yang pantas apatah lagi dipadankan dengan memori 2GB RAM untuk kelancaran menggunakan aplikasi.

Rekaan & Spesifikasi

Sekilas pandang peranti Vivo Y55 ini boleh dikatakan ia membawa rekaan saiz yang sedikit besar berbanding iPhone 6. Ia membawakan rekaan di belakang berasaskan logam dengan penampakan dua garisan antena seperti yang hadir pada kebanyakan peranti lain. Di bahagian atas belakang peranti ini menempatkan kamera 8MP yang tidak tersembul keluar bersama LED flash dengan satu tona warna. Pembesar suaranya terletak di bahagian bawah bersama sambungan Micro USB dan lubang mikrofon.

Secara peribadi, saya suka dengan rekaan peranti ini kerana ia begitu kompak untuk dipegang pada sebelah tangan. Rekaan dengan sedikit lengkungan di bahagian belakang memberikan keselesaan ketika dipegang namun agak licin apabila tidak digunakan bersama sebarang aksesori pada badan peranti. Mujur pihak Vivo menyediakan transparent silicon case secara percuma pada pakej pembelian Vivo Y55 untuk mengurangkan masalah ini.

dsc09410-priime-north

Dari segi paparan Vivo Y55 pula, ia telah hadir dengan saiz skrin IPS LCD sebesar 5.0-inci dengan resolusi 1280×720. Kejituan paparan dengan 294 ppi ini boleh dikatakan memadai untuk penggunaan harian dengan penampakan piksel yang minima bersama darjah pandangan yang agak baik. Ia bersaing dengan peranti Xiaomi Redmi 3s yang juga membawakan saiz skrin, resolusi, dan spesifikasi yang hampir menyamai peranti Vivo Y55 ini.

Pada bahagian bawah hadapan peranti telah menampilkan butang kapasitif untuk menavigasi ke halaman option, homescreen, dan back. Namun menggunakan butang ini pada waktu gelap agak sedikit sukar kerana tidak hadir dengan sokongan lampu pada butang ini. Ia juga tidak hadir dengan sebarang pengimbas cap jari yang dilihat semakin mendapat tempat pada peranti kelas permulaan.

Vivo Y55 telah hadir dengan storan dalaman 16GB yang boleh dinaiktaraf melalui kad microSD sehingga 128GB. Menariknya ia membawakan slot berasingan — dengan kedudukan slot dwi-sim di bahagian sisi kiri peranti dan slot microSD di atas peranti — sekaligus dapat memanfaatkan kedua-dua sim dan microSD secara serentak.

Funtouch OS 2.6 Berasaskan Android 6.0

Antaramuka Vivo Y55 dibina dengan penampilan antaramuka ceria melalui Funtouch OS 2.6 berasaskan sistem Android 6.0. Ia membolehkan pengguna membuat kustomasi ikon dan antaramuka dengan sokongan tema yang boleh dimuat-turun melalui aplikasi yang dinamakan sebagai “i Theme”. Untuk launcher pula, ia membawakan antaramuka tanpa sokongan app drawer seperti yang hadir pada antaramuka MIUI.

vivo-y55-screenshot_20161107_195637-side

Namun apa yang sedikit pelik, ia membawakan antaramuka task switcher yang disatukan pada control center apabila dikeluarkan dari bahagian bawah skrin. Ia hanya memaparkan ikon sahaja tanpa sebarang thumbnail preview seperti yang hadir pada stock Android 6.0. Penampilan seperti ini mengingatkan saya seperti menggunakan sistem operasi iOS 4 sewaktu iPhone 4 dilancarkan.

Kamera

Vivo Y55 didatangkan dengan kamera 8MP yang dilihat berupaya untuk mengambil gambar harian anda. Ia juga didatangkan dengan LED flash satu tona warna dalam menerangi penggambaran ketika malam. Sebagai peranti yang ingin mencerahkan selfie anda, ia hadir dengan kamera 5MP pada bahagian hadapan bersama keupayaan Screen Flash. Fungsi ini akan menganalisa kekuatan cahaya sekeliling dan seterusnya memaparkan paparan flash seperti yang telah hadir pada peranti iPhone 6S sebelum ini.

vivo-y55-screenshot_20161115_155015-side

Antaramuka kamera Vivo Y55 boleh dikatakan banyak dipengaruhi daripada antaramuka kamera iOS. Ia menampilkan rekaan antaramuka yang ringkas bersama kebolehan menukar mod gambar dan video dengan hanya menyeret jari pada skrin dari kiri atau ke kanan. Ia juga menawarkan beberapa fungsi tambahan seperti Professional Mode, HDR, Panorama, dan Ultra HD untuk meningkatkan lagi mutu penggambaran. Bagi anda yang gemar mengambil gambar light trail atau derusan air, ia juga hadir dengan mod Fast dan Slow untuk membantu anda mengambil gambar jenis ini secara automatik.

screenshot_20161107_200514Prestasi

Prestasi yang ditawarkan daripada Vivo Y55 ini sememangnya sangat pantas untuk penggunaan harian melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 430. Menariknya ia berprestasi lebih pantas berbanding cip kelas pertengahan Snapdragon 615 yang dilihat mencatatkan skor sekitar 39,870 pada AnTuTu Benchmark. Penggunaan memori 2GB RAM pada peranti ini turut membantu untuk memberikan prestasi harian yang lancar terutama ketika membuka dan menjalankan beberapa aplikasi di belakang tabir. Begitu juga dari segi prestasi permainan, memainkan beberapa permainan utama seperti Asphalt 8 dan Modern Combat 5 dilihat sangat baik dengan kadar frame rate yang konsisten.

Audio

Kekuatan pembesar suara pada peranti ini boleh dikatakan sangat lantang apabila ditetapkan pada pelarasan maksimum. Cuma kualitinya hanya sekadar memuaskan — tiada sebarang bass dan keperincian pada bunyi clarity — memandangkan peranti ini tidak difokuskan kepada audio. Lokasi pembesar suaranya yang terletak pada bahagian bawah juga adalah lokasi yang bersesuaian — membolehkan peranti mengeluarkan bunyi yang lantang apabila diletakkan di dalam poket seluar pengguna.

Bateri

Dari segi sokongan bateri, Vivo Y55 telah menampilkan kapasiti sebesar 2650 mAh yang dilihat memadai untuk peranti dengan skrin sebesar 5-inci pada resolusi 720p. Ketika awal menggunakannya, saya sering dapat menggunakannya sepanjang hari dengan masa skrin dinyalakan (Screen-on-Time) sekitar 5 jam 13 minit. Ia suatu bacaan yang baik di atas kemampuan SoT yang berada pada atas 4 jam.

Rumusan

Vivo Y55 dilihat sebuah penawaran yang disasarkan oleh golongan muda yang inginkan peranti yang mampu mencerahkan lagi selfie anda. Ia hadir dengan fungsi Screen Flash yang mampu meningkatkan pencahayaan sekeliling apabila menggunakan fungsi selfie pada waktu malam. Ia berfungsi amat baik — dengan menganalisa cahaya yang diperlukan untuk dipaparkan secara flash pada skrin peranti.

dsc09457-priime-north

Rekaannya juga bagi saya sangat kompak, sesuai digunakan pada penggunaan di sebelah tangan. Binaan yang berasaskan logam juga sangat selesa dipegang namun mempunyai sedikit masalah licin apabila tidak digunakan dengan sebarang aksesori. Namun dengan kehadiran silicon case secara percuma, ia dapat mengurangkan masalah ketika memegang peranti ini.

Spesifikasi yang didatangkan juga amat berkuasa bagi peranti sekelasnya dengan penawaran cip pemprosesan Snapdragon 430 bersama memori 2GB RAM. Ia mampu membuka aplikasi dengan pantas disamping memberikan prestasi permainan yang lancar. Ia juga sebuah cip pemprosesan yang efisien — mampu memanjangkan jangka hayat bateri yang lebih lama untuk penggunaan harian.

Dengan tawaran harga RM799, ia antara peranti yang mampu memberikan prestasi yang pantas, selfie yang baik, bersama penawaran bateri sepanjang hari. Ia juga sebuah peranti yang ideal bagi anda yang tidak mahukan peranti yang terlalu besar dengan kehadiran binaan skrin bersaiz 5-inci. Pendek kata, ia sebuah peranti kompak yang sesuai untuk penggunaan harian pada harga tawaran mampu milik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd