Apple Dilaporkan Menyimpan Log Panggilan Di iCloud Tanpa Pengetahuan Pengguna

Apple Dilaporkan Menyimpan Log Panggilan Di iCloud Tanpa Pengetahuan Pengguna

Diterbitkan pada November 18, 2016 oleh .

Apple iCloud merupakan perkhidmatan awan daripada Apple, dimana ia membolehkan pengguna sync sejumlah data daripada peranti mereka terus ke awan – sekaligus membolehkan pengguna mengakses data berkenaan melalui peranti-peranti berbeza.

Melalui pilihan yang diberikan oleh Apple, pengguna hanya boleh mengawal sync nota, senarai buku alamat, kalendar, pelayaran web dan sebagainya – tetapi tidak untuk log panggilan. Kini, melalui salah satu syarikat yang melakukan kajian, ia dikatakan Apple menyimpan log panggilan telefon selama 4 bulan di pelayan mereka melalui iCloud.

Pengguna tidak diberikan sebarang pilihan untuk tidak sync log panggilan – seperti pilihan untuk beberapa fungsi lain.

Apple iPhone>

Perkara ini mungkin tidak digemari sejumlah pengguna – terutamanya yang bertugas dalam kerajaan, ataupun sekiranya anda berkongsi akaun Apple ID antara suami isteri atau keluarga. Ini kerana, sekiranya anda berkongsi Apple ID, maka log panggilan anda akan dipaparkan di peranti berbeza – walaupun nombor telefon berbeza digunakan pada setiap peranti.

Menurut syarikat yang melakukan kajian ini, peranti Apple turut menghantar log panggilan walaupun pengguna mematikan sokongan pendua untuk peranti mereka melalui iCloud. Salah satu kaedah untuk menghentikan penghantaran log panggilan ini adalah dengan mematikan fungsi iCloud sepenuhnya – termasuk tidak mengaktifkan sokongan pendua melalui perkhidmatan ketiga, WhatsApp sebagai contohnya.

Beberapa pengguna juga tidak begitu mengemari perkara ini kerana data yang dihantar ke iCloud tidak melalui penyulitan penuh hujung-ke-hujung.

Selain Apple, beberapa peranti lain turut melakukan perkara sama – terutamanya yang mempunyai sokongan salinan pendua ke awan yang hadir terbina pada peranti berkenaan.


TIPS & ULASAN