Sony PlayStation 3 menyambut ulang tahunnya yang ke sepuluh bulan ini. Ya, pejam celik konsol ini sudah sedekad muncul di pasaran. Di Malaysia ia hanya dijual secara rasmi pada 20 September 2008. Sebab mengapa ia dijual secara rasmi lebih lewat di Malaysia tidak diketahui tetapi apabila PlayStation 4 dilancarkan tempohari pengguna tempatan tidak perlu menanti terlalu lama. Sementara ulang tahun ke-10 PlayStation 3, kami menyenaraikan 10 permainan yang pada hemat kami adalah yang terbaik dan perlu dimiliki pemilik PS3.
10 – Tomb Raider
Lara Croft kembali dengan jalan cerita baru di bawah studio Crystal Dynamics. Selepas versi terdahulu seperti Angel of Darkness dan Chronicles gagal menarik minat pembeli, perubahan drastik dilakukan ke atas Lara. Kali ini Tomb Raider hadir sebagai permainan yang menyerupai dunia terbuka. Pemain bebas mengawal Lara yang tersadai ketika mencari pulau misteri Yamatai. Dari segi corak permainan Tomb Raider banyak mengambil sistem yang diperkenalkan di dalam siri Uncharted.
Watak Lara Croft direka semula untuk kelihatan seperti wanita sebenar dan bukannya Pamela Anderson dengan dada berisi belom helium. Senjata yang dibawa Lara boleh dinaik taraf bagi memberikan fungsi-fungsi tambahan. Kesemua perubahan yang dilakukan berjaya menarik minat pengkritik dan pemain. Hasilnya Tomb Raider mencatatkan markah purata 85% dan telah terjual melebihi 8.5 Juta unit.
9 – Batman Arkham City
Terdapat tiga permainan Batman dihasilkan untuk PS3. Arkham Asylum, Arkham City dan Arkham Origins. Pada hemat kami Arkham City ialah yang terbaik diantara ketiga-tiga ini kerana ia lebih terbuka. Anda benar-benar boleh memenuhi impian anda untuk menjadi Batman dan menentang kejahatan di Arkham City selepas ianya diambil alih oleh banduan.
Permainan ini bukan sahaja dipenuhi pelbagai aksi malahan dipenuhi dengan teka-teki yang mencabar minda. Untuk menghabiskan kesemua misi, anda perlu menghabiskan puluhan jam di dalam Arkham City. Bagi mereka yang mahukan nilai wang yang baik dan benci permainan dengan misi single player yang pendek, Batman Arkham City perlu dimiliki.
8 – God of War III
Permainan terakhir di dalam trilogi Kratos menentang Olympus ini adalah sebuah permainan yang epik. Dari minit pertama GoW III menunjukkan kemampuan grafik PlayStation 3 yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Pemain mengawal Kratos yang mendaki tubuh Gaia, seekor Titan gergasi yang sedang mendaki gunung Olympus. Kamera bergerak keluar dan masuk bagi menunjukkan bertapa kerdilnya Kratos jika dibandingkan dengan dewa-dewa serta Titan.
GoW III memegang takhta sebagai permainan tercantik di PS3 sehinggalah munculnya The Last of Us pada tahun 2013. Sehingga sekarang ia masih kelihatan cantik walaupun PS3 bukanlah konsol paling berkuasa di pasaran sekarang. Sekiranya anda memiliki PS3, memiliki edisi trilogi amat kami sarankan sementara menanti kemunculan God of War untuk PlayStation 4.
7 – Assassin’s Creed IV Black Flag
Siri Assassin’s Creed muncul setiap tahun sejak 2007 sehinggalah ia dihentikan tahun ini selepas Syndicate mencatatkan jualan yang mengecewakan. Terdapat banyak permainan Assassin’s Creed dihasilkan tetapi sekiranya anda perlu memilih satu sahaja, kami dengan mudah menyarankan Black Flag.
Tidak seperti permainan lain, anda boleh memainkan Black Flag tanpa mengetahui jalan cerita dari Altair ataupun Ezio. Black Flag memperkenalkan dunia terbuka di mana anda bebas menjadi lanun yang menakutkan warga kepulauan Caribbean pada awal kurun ke-18. Watak utama Edward Kenway juga lebih menarik kerana tidak terlalu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kumpulan pembunuh upahan.
6 – Metal Gear Solid IV Guns of The Patriot
Setiap generasi PlayStation akan menerima sekurang-kurangnya satu permainan Metal Gear Solid dari Hideo Kojima. Metal Gear Solid IV Guns of The Patriot ialah permainan yang diharap dapat meningkatkan jualan PlayStation 3. Ia menggunakan sepenuhnya kapasiti cakera BlurRay dan ini ialah sebab mengapa Xbox 360 tidak pernah menerima versi MGS IV sehingga sekarang.
Guns of The Patriot menjadi penutup kepada kisah Solid Snake dan menjawab beberapa persoalan tergantung dari Sons of Liberty. Dengan kemampuan grafik PS3 yang tinggi, Hideo Kojima menjadikan permainan ini sebagai filem interaktif. Kerana sebab itulah kami meletakkannya di tangga ke-enam. Ia benar-benar menunjukkan kemampuan grafik PS3 tetapi turun mendedahkan kelemahan Kojima sebagai pengarah “filem”.
5 – The Walking Dead
Jika MGS IV menunjukkan kekurangan permainan video sebagai platform menghasilkan “filem”, The Walking Dead yang dihasilkan oleh Telltale Games pula menunjukkan kelebihannya. The Walking Dead membuktikan dengan penulisan yang baik, sebuah filem interaktif dengan pelbagai cabang cerita boleh dihasilkan dengan baik. Permainan ini menghidupkan semula genre Adventure Games yang nazak sejak dekad 90an.
Paling menarik ialah mereka membuktikan sebuah permainan video zombie pasca apokalips tidak semestinya meniru Left For Dead atau Resident Evil. Mereka membuktikan terdapat pasaran untuk permainan dengan jalan cerita yang baik dan penuh emosi walaupun tanpa sebarang aksi melampau. Selepas menghasilkan The Walking Dead, Telltale Games menghasilkan permainan untuk Games of Thrones dan Batman dengan jayanya.
4 – Uncharted 2 : Among Thieves
Uncharted : Drake’s Fortune ialah permainan yang baik tetapi tidak memperkenalkan perkara baru. Drake hanyalah watak gabungan Lara Croft dan Indiana Jones dengan sentuhan sarkasis. Dengan Uncharted 2 kesemuanya berubah. Permainan bermula di tengah-tengah jalan cerita dengan Drake cedera parah tergantung di dalam gerabak kereta api yang tergantung di atas gaung. Bagaimanakah beliau berada di dalam situasi genting ini akan diceritakan dengan cukup bijak dan menarik.
Walaupun telah terdapat dua lagi permainan selepas Among Thieves, kedua-duanya gagal memberikan kepuasan yang sama. Terdapat terlalu banyak babak-babak epik sepanjang permainan ini termasuk sebuah babak kejar mengejar di atas kereta api yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
3 – Grand Theft Auto V
Permainan GTA terakhir untuk PS3 ini memperkenalkan tiga watak baru yang boleh dimainkan secara berasingan. Dari segi grafik ia lebih baik berbanding GTA IV dengan peta yang lebih besar. Tiada lagi masalah “kawan-kawan” yang kerap menelefon untuk keluar minum bersama. GTA V masih lagi dimainkan sekarang menerusi GTA Online. Kepopularannya menyebabkan DLC baru untuk jalan cerita perseorangan masih enggan dihasilkan oleh Rockstar Games.
Sehingga kini GTA V ialah permainan yang mencatatkan keuntungan jualan tertinggi di dunia. Ia terus mencetak wang untuk Rockstar kerana pemain membelanjakan wang sebenar di dalam GTA Online. Kehebatan GTA V hanya dapat disaingi oleh sebuah lagi permainan Rockstar yang kami nobatkan di tempat kedua.
2 – Red Dead Redemption
Kami merasakan Read Dead Redemption ialah permainan yang jauh lebih baik berbanding GTA V walaupun tidak mempunyai grafik yang menakjubkan. Sehingga kini masih terdapat pengguna PC yang mahukan RDR dihasilkan untuk platform mereka tetapi ditolak oleh Rockstar. Dengan Red Dead Redemption anda menjadi John Marston, koboi penyangak yang cuba memulakan hidup baru.
Kehidupan baru beliau terganggu kerana dipaksa memburu teman-teman lama sebagai cara menebus kesilapan yang lalu. Dunia Wild Wild West RDR dipenuhi misi menarik, aneh dan menakutkan. Ianya berakhir dengan pengakhiran yang akan membuatkan anda mahu menumbuk dinding dengan kemarahan. Kami tidak sabar menantikan Read Dead Redemption 2 tahun hadapan.
1 – The Last of Us
Kami yakin ramai yang sudah dapat mengagak permainan ini akan berada di tempat pertama. Kemunculannya amat mengejutkan kerana studio Naughty Dog lebih dikenali dengan Uncharted dan Crash Bandicoot. The Last of Us ialah permainan yang cuba memberikan nafas baru kepada genre “zombie” yang dipenuhi klise. Zombie di dalam The Last of Us ialah manusia yang dijangkiti fungus yang mengambil alih tubuh mereka dan bukannya virus seperti kebiasaannya.
Pengembaraan Joel dan Ellie akan mengubah persepsi pemain tentang apa yang mampu dilakukan di dalam medium permainan video. Bermula dengan babak yang merobek jiwa anda kemudian menaiki roller coaster emosi sehingga akhir. Kepopularan The Last of Us membuatkan Troy Baker menjadi pelakon yang paling dikehendaki di dalam industri permainan video. Filem The Last of Us turut akan dihasilkan. Persoalannya adakah kita memerlukan sebuah filem sedangkan permainan ini sudahpun cukup sempurna untuk menyampaikan kisah Joel dan Ellie.
Ini adalah senarai 10 permainan konsol PlayStation 3 kegemaran kami. Adakah anda bersetuju dnegan pilihan kami? Apakah permainan yang terbaik pada konsol ini pada pendapat anda. Konsikannya di ruangan komen di bawah.