Minggu lalu kami laporkan Persatuan Pengguna China menggesa Apple supaya menyiasat masalah bateri yang melanda pengguna iPhone 6. Pengguna merungut peranti mati secara tiba-tiba sungguhpun masih mempunyai lebih 50% cas bateri. Peranti kemudian tidak boleh dihidupkan semula dan perlu disambungkan kepada pengecas.
Pihak Apple mengeluarkan kenyataan dan mendapati masalah berlaku kerana penggunaan pengecas yang tidak rasmi. Pengecas tidak rasmi dan asli ini menyebabkan berlaku kerosakan kepada litar pengawal pengecasan peranti. iPhone pengguna mungkin menunjukkan 50% bateri tetapi sebenarnya bateri sudahpun kehabisan cas.
Apple menambah lagi masalah penggunaan pengecas murahan di China adalah serius kerana boleh dibeli pada harga serendah $0.50 (~RM 2.50) sahaja. Langkah penjimatan kos jangka pendek oleh pengguna mengakibatkan kerosakan yang jauh lebih mahal dalam jangka panjang. Seperti yang laporkan sebelum ini, 90% aksesori Apple yang dijual di Amazon didadapti adalah palsu keluaran syarikat China.
Oleh itu kepada pemilik peranti pintar kami sarankan hanya membeli pengecas dan aksesori yang dibekalkan oleh pengeluar. Pengecas murahan majoritinya tidak mempunyai sijil SIRIM dan tidak diketahui kualitinya.