Cari @ Amanz

Xiaomi merupakan nama yang tidak asing lagi dalam pengeluaran peranti mudah-alih. Mereka sedia mencuri perhatian dengan memperkenalkan pelbagai telefon pintar yang menawarkan spesifikasi baik pada harga lebih murah berbanding pesaing. Selain telefon pintar, Xiaomi turut telah memperluaskan penawaran dibawah peranti berhubung, selain turut memperkenalkan komputer riba pertama mereka pada tahun ini.

Dinamakan sebagai Mi Notebook Air, ia telah diperkenalkan pada bulan Julai lepas. Mi Notebook Air hadir dalam dua versi – iaitu pada saiz skrin 13.3-inci dan juga 12.5-inci. Selain saiz skrin, ia juga turut membawakan sedikit perbezaan dari segi spesifikasi yang ditawarkan. Menariknya mengenai Mi Notebook ini, ia membawakan saiz sedikit kecil berbanding beberapa komputer riba lain disebabkan oleh saiz bingkai tepi skrinya. Walaubagaimanapun, ia masih sedikit besar jikalau dibandingkan dengan Dell XPS.

Mi Notebook Air

Mi Notebook Air bersaiz 13.3-inci hadir dengan paparan HD penuh, dilengkapi cip Intel Core i5 generasi ke-6, kad grafik NVIDIA GeForce 940 MX, dan memori sehingga 8GB RAM. Melengkapkan komputer riba ini adalah storan SSD sebesar 256GB.

Mi Notebook Air 12.5-inci turut membawakan skrin paparan HD penuh, dijana menggunakan cip Intel Core M3, memori sebesar 4GB RAM, dan storan SSD sebesar 128GB. Berbeza dengan versi 13.3-inci, tiada sokongan kad grafik yang disertakan.

Kedua-dua komputer riba ini menggunakan pengecasan berasaskan kepada port USB-C, selain turut dilengkapi port USB-A untuk memudahkan anda menggunakan pelbagai aksesori dan kabel sedia ada.

minotebook_07

Apa yang menariknya mengenai komputer riba ini adalah ia tidak membawakan sebarang penjenamaan pada bahagian luaran komputer riba berkenaan, selain hanya memaparkan sebuah logo Mi pada bahagian bawah panel skrin komputer riba berkenaan. Ini membawakan kerangka luaran atas yang kosong dan agak menarik minat kami berbanding dengan pelbagai komputer riba lain di pasaran yang hadir dengan logo jenama pengeluar berkenaan.

Binaan yang dibawakan oleh Mi Notebook Air juga sangat berkualiti. Kebiasaan kami mencuba untuk membuka skrin komputer riba terkini, ia memerlukan anda menggunakan dua tangan dimana perlu memegang tapai (bahagian papan kekunci) sebelum membuka skrin – ataupun ia akan terangkat sama. Untuk Mi Notebook, ia berbeza, dimana anda boleh hanya menggunakan sebelah tangan untuk menarik skrin ke atas.

minotebook_06

Secara keseluruhan, rekaan berasaskan logam yang dibawakan sangat baik, selain skrin yang jelas paparannya. Penggunaan ringkas kami mencuba papan kekuncinya juga adalah sangat baik, selain trackpad yang selesa digunakan.

Walaupun membawakan prestasi dan rekaan yang baik, Xiaomi Mi Notebook Air ini tidak akan dipasarkan di luar China. Ini adalah kerana ia hadir dengan penggunaan perlesenan Windows 10 Single Language, dan ia menggunakan bahasa China secara terbina pada komputer riba berkenaan. Pengguna yang mendapatkannya daripada penjual tidak rasmi, mungkin perlu membuat pemasangan kembali sistem operasi Windows 10 pada komputer riba ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd