Apple Tidak Lagi Membangunkan Penghala Tanpa-Wayar Tersendiri

Apple Tidak Lagi Membangunkan Penghala Tanpa-Wayar Tersendiri

Diterbitkan pada November 22, 2016.

Apple sedia mempunyai beberapa produk dibawah mereka, dan kini ia dilihat Apple sedang membubarkan beberapa bahagian yang tidak membawa pendapatan yang tinggi. Terkini, Apple dilihat telah membubarkan bahagian pembangunan penghala (router) tanpa wayar mereka, dan mula membawa jurutera sedia ada kepada bahagian pembangunan yang lain.

Apple telah mula membubarkan pasukan disebalik pembangunan penghala tanpa wayar sejak tahun lepas, membawa jurutera sedia ada menyertai produk lain, termasuk kepada Apple TV.

Apple AirportApple sendiri tidak mengemaskini penghala tanpa-wayar mereka sejak 2013. Pembubaran ini sekaligus memperlihatkan syarikat berkenaan tidak lagi ingin hadir dengan penghala versi baru. Jurucakap Apple tidak mengeluarkan sebarang komen ke atas perancangan syarikat berkenaan.

Penghala adalah salah satu titik akses untuk menghubungkan komputer riba, iPhone, dan peranti lain ke web tanpa memerlukan kabel. Apple buat masa ini menawarkan tiga penghala tanpa-wayar, AirPort Exporess, AirPort Extreme dan AirPort Time Capsule (yang turut menawarkan storan pendua untuk komputer Mac).

Masing-masing produk berkenaan berharga RM499, RM899 dan RM1329, membawa kepada sumbangan kecil pada pendapatan Apple, dan dikategorikan dibawah “Produk Lain-Lain” dalam penyata kewangan Apple. Kategori berkenaan yang turut menyertakan Apple Watch dan Apple TV, membawa kepada $11.1 bilion pada tahun fiskal 2016, atau sekitar 5% daripada jualan penuh.

Peralihan keluar daripada perniagaan penghala ini juga akan membuatkan ekosistem produk Apple tidak begitu tertutup. Beberapa fungsi pada penghala AirPort, termasuk penawaran memainkan muzik tanpa wayar memerlukan peranti seperti iPhone atau Mac. Sekiranya Apple tidak lagi menjual penghala tanpa-wayar, maka pengguna akan mempunyai kelonggaran untuk menggunakan telefon atau PC lain.

Apple AirPort sendiri sedikit ketinggalan berbanding syarikat seperti D-Link Corp, Netgear Inc dan Belkin International dalam mengadaptasi piawaian terkini. Apple, mengenakan caj yang lebih tinggi untuk penghala mereka, dan memfokuskan dalam mengintegrasikan kawalan peranti ke sistem operasi komputer dan juga rekaan industri. Langkah Apple meninggalkan perniagaan ini mungkin memberikan kelebihan kepada pengeluar penghala tanpa-wayar yang lain.

Awal tahun ini, Apple turut telah menghentikan pembangunan monitor mereka tersendiri, dan pada Oktober mereka telah memperkenalkan strategi baru dengan menjual skrin resolusi tinggi untuk pengguna professional yang dibangunkan oleh LG Electronics.


TIPS & ULASAN