Carian
Microsoft Dilaporkan Bakal Memperkenalkan Sokongan Pelagak x86 Pada Telefon Pintar
November 22, 2016 Aman

Microsoft melalui platform Windows 10 Mobile sedia menawarkan sokongan Continuum yang membolehkan telefon pintar dihubungkan ke skrin monitor atau televisyen dan digunakan sebagai sistem operasi Windows 10 penuh. Namun, salah satu kekurangan untuknya adalah menjalankan perisian dan aplikasi Windows sedia ada yang biasanya dalam bentuk x86.

Kini, Microsoft dilihat mempunyai jawapan untuknya. Menurut laporan daripada ZDNet, ia dikatakan Microsoft mungkin menawarkan sokongan pelagak x86 pada cip pemprosesan ARM pada 2017 kelak.

HP Elite x3

HP sedia menawarkan sokongan lebih kurang sama tetapi dalam bentuk terhad melalui HP Elite X3. HP menawarkan sokongan HP Workspace, dan menyokong beberapa aplikasi x86 yang dijalankan secara maya.

Namun, sekiranya Microsoft sendiri yang menawarkannya, ia akan memberikan impak positif kepada pengguna, selain akan menarik lebih ramai pengguna perusahaan untuk beralih ke platform Windows 10 Mobile.

Buat masa ini, sokongan pelagak x86 pada ARM ini masih dikategorikan sebagai ura-ura, dan mungkin sekiranya benar, kita akan mendengar lanjut mengenainya pada 2017 kelak.

Komen