Facebook Membangunkan Kebolehan Penapisan Kandungan – Tetapi Mungkin Masih Belum Beroperasi Di China

Facebook Membangunkan Kebolehan Penapisan Kandungan – Tetapi Mungkin Masih Belum Beroperasi Di China

Diterbitkan pada November 23, 2016.

Facebook dilaporkan telah membangunkan sebuah fungsi khusus yang membolehkan penapisan dilakukan secara geografi mengikut negara. Perkara ini dikatakan salah satu langkah untuk Facebook menjadikan kerajaan China selesa dengan platform mereka, dan membolehkan Facebook kembali beroperasi di negara berkenaan.

Walaubagaimanapun, ia dikatakan penyertaan semula Facebook di China mungkin tidak berlaku dalam masa terdekat, apatah lagi dengan pelbagai kekangan undang-undang dan perlesenan di negara berkenaan yang lebih menyokong syarikat tempatan.

Mark Zuckerberg sendiri sebelum ini telah melawat China beberapa kali, malah telah menyewa pejabat di Beijing pada 2014 lepas. Syarikat berkenaan masih belum menerima lesen untuk meletakkan pekerja di sana, walaupun mereka ingin menjual iklan untuk diperlihatkan di luar China. Buat masa ini, pasukan jualan iklan beroperasi dari Hong Kong.

Mark Zuckerberg

China merupakan salah satu pasaran besar yang masih tidak disertai oleh Facebook. Informasi dan akses web di negara berkenaan dikawal dan ditapis oleh kerajaan, dan membenarkan Facebook beroperasi mungkin membuatkan berita yang tidak dikehendaki tersebar melaluinya.

Buat masa ini, di China terdapat perkhidmatan WeChat daripada Tencent yang mempunyai lebih 800 juta pengguna aktif setiap bulan, dan menawarkan fungsi yang lebih kurang sama seperti Facebook.

Menurut New York Times, fungsi yang dibangunkan oleh Faebook berkenaan boleh menghalang kandungan daripada dipaparkan di News Feed. Ia akan ditawarkan untuk rakan kerjasama di China untuk menapis kandungan. Zuckerberg dikatakan menyokong langkah ini, mengatakan ia lebih baik Facebook mengalakkan komunikasi dalam negara berkenaan, walaupun bukan komunikasi penuh.

Fungsi ini dikatakan telah dibangunkan, tetapi mungkin tidak diimplementasikan, malah tidak digunakan sehingga kini.

Facebook sebelum ini telah menyewa pejabat di Beijing pada 2014. Nama syarikat berkenaan tidak diperlihatkan pada direktori pejabat, dan beberapa pekerja di bangunan berkenaan mengatakan Facebook tidak beroperasi di pejabat berkenaan buat masa ini.


TIPS & ULASAN